Skip to content

Laman Utama » Vaksinasi Dewasa » Vaksinasi untuk Jemaah Haji dan Umrah

Vaksinasi untuk Jemaah Haji dan Umrah

Haji dan Umrah adalah peluang yang datang hanya sekali seumur hidup bagi kebanyakan umat Islam termasuk keluarga anda. Sekiranya ada ahli keluarga anda yang berpeluang menunaikan haji atau umrah tidak lama lagi, anda boleh menolong mereka untuk tetap sihat sepanjang haji dengan memastikan mereka telah menerima vaksin terhadap penyakit meningokokus, penyakit pneumokokus dan selesema.

Bawa Pulang Barakah, Elak Mudarat.

Penyakit Meningokokus

Keluarga dan sahabat handai Pn Fatima gembira menyambut kepulangannya dari menunaikan ibadah Haji. Namun sebulan kemudian mereka diselubungi kesedihan kerana Pn Fatima dan cucunya telah pulang ke rahmatullah selepas mengalami demam panas. Sukar dipercayai tetapi bagi sesetengah keluarga, kisah Pn Fatima ini adalah realiti yang mereka telah hadapi. Demam panas yang disebabkan oleh penyakit meningokokus amat merbahaya dan boleh membawa maut dalam masa yang singkat. Para jemaah Haji & Umrah amat berisiko mendapat penyakit ini dan menyebarkannya kepada orang lain sekiranya mereka tidak mengambil langkah pencegahan seperti pengambilan vaksinasi meningokokus.

Bahaya Penyakit Meningokokus

Penyakit meningokokus berpunca daripada jangkitan bakteria Neisseria meningitidis dan boleh menyebabkan keradangan pada lapisan otak dan saraf tunjang serta jangkitan dalam darah. Penyakit ini boleh menyebabkan berlakunya kematian atau cacat kekal seperti pekak dan hilang anggota badan jika tidak dirawat dengan segera. Ia berjangkit secara langsung melalui rembesan dari mulut dan hidung seperti bersin, batuk dan berkongsi peralatan makanan & minuman. Penyakit ini boleh menular dan menyebabkan wabak. Penyakit meningokokus boleh membunuh dalam masa 24 jam selepas simptom awal seperti demam panas muncul. Peluang untuk merawat yang singkat, simptom yang tidak spesifik serta kadar kematian atau kecacatan yang tinggi dalam kalangan pesakit menyebabkan kaedah pencegahan amat penting.

Simptom/Gejala Jangkitan:

Simptom awal penyakit ini boleh disalah anggap sebagai simptom demam biasa. Terdapat kes dimana simptom yang lebih teruk hanya muncul apabila keadaan sudah terlambat dan peluang untuk sembuh sepenuhnya adalah rendah. Antara simptom atau tanda – tanda jangkitan penyakit meningokokus adalah:

  • Sakit kepala
  • Demam panas
  • Muntah
  • Kecelaruan mental
  • Mata sensitive kepada cahaya
  • Ruam pada badan yang tidak hilang apabila ditekan


Vaksinasi, Pencegahan Terbaik

Terdapat 2 jenis vaksin meningokokus:

Vaksin Konjugat

  • Melindungi diri dan orang yang terdekat
  • Boleh didapati di klinik swasta


Vaksin Polisakarida

  • Hanya memberi perlindungan kepada diri sendiri, anda masih boleh menjangkiti orang lain


Langkah Pencegahan Lain
 

  • Pastikan sentiasa menutup mulut ketika bersin/batuk
  • Elak dari individu yang mempunyai simptom seperti batuk, bersin dan muntah
  • Sentiasa cuci tangan selepas bersin atau batuk
 

 

Pneumonia

Pneumonia penyebab utama kemasukan ke hospital dalam kalangan jemaah Haji, menghalang ibadah yang sempurna.

Penyakit pneumokokus adalah disebabkan oleh jangkitan bakteria Streptococcus pneumoniae. Ia boleh menyebabkan radang paru-paru atau pneumonia dan merupakan faktor utama kemasukan ke hospital di kalangan jemaah Haji. Kes kemasukan ke hospital banyak berlaku semasa atau selepas jemaah Haji melakukan wukuf. Ini disebabkan oleh kedudukan jemaah haji yang rapat dan sesak semasa di dalam khemah-khemah di Mina. Bagi sesetengah jemaah, mereka jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital sebelum sempat menunaikan wukuf. Ini boleh mengakibatkan mereka tidak dapat melaksanakan salah satu rukun Haji dan Haji mereka boleh dianggap tidak sah.

Anda mungkin terdedah kepada penyakit pneumokokus

Jemaah Haji berisiko diserang penyakit pneumokokus. Selain boleh menyebabkan radang paru-paru yang teruk, ia juga boleh menyebabkan jangkitan dalam darah dan kematian. Sekiranya anda berumur 65 tahun ke atas, mempunyai penyakit kronik sedia ada seperti sakit jantung atau diabetes atau merokok, risiko kematian dan sakit tenat disebabkan oleh jangkitan pneumokokus adalah sangat tinggi.

Jemaah Haji amat digalakkan mengambil vaksinasi pneumokokus

Pengambilan vaksin pneumokokus adalah antara kaedah pencegahan jangkitan pneumokokus yang efektif dalam kalangan jemaah Haji. Kementerian Kesihatan Malaysia menggalakkan para jemaah Haji untuk mengambil vaksin ini sebelum pergi menunaikan Haji.

Terdapat 2 jenis vaksin Pneumokokus:

  1. Vaksin Pneumokokus Polisakarida
  2. Vaksin Pneumokokus Konjugat


Tanya doktor anda untuk mengetahui lebih lanjut tentang vaksin ini.

 

Influenza

Mengapa Vaksin Influenza?

Influenza ialah jangkitan virus yang sering dihidapi jemaah Haji dan Umrah. Ia boleh disalahanggap sebagai demam biasa. Wabak influenza juga sering berlaku semasa musim Umrah dan Haji. Jemaah Haji yang telah dijangkiti oleh virus influenza akan mempunyai simptom seperti:

– – Batuk
– Pening
– Muntah
– Demam
– Sengal tot
– Selsema
– Kelesuan
– Ciribt-birit
– Sakit tekak

Faktor Risiko dan Komplikasi

Individu yang telah dijangkiti influenza berisiko untuk mengalami komplikasi yang serius seperti radang paru-paru, jangkitan paru-paru (bronkitis), jangkitan pada rongga hidung (sinusitis) dan jangkitan telinga. Jika ahli keluarga anda terdiri daripada golongan warga emas atau mempunyai penyakit kronik terutamanya penyakit paru-paru, mereka berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi dan jangkitan sampingan yang boleh mengakibatkan kemasukan ke hospital.

Lebih membimbangkan, influenza juga boleh menyebabkan kematian. Pada tahun 2017, 22% kematian dilaporkan dalam kalangan jemaah Haji disebabkan oleh jangkitan pada saluran pernafasan. Jangkitan influenza mudah merebak dan malangnya ramai tidak menyedari akan kepentingan untuk mendapatkan rawatan sehingga keadaan menjadi teruk. Rawatan untuk jangkitan influenza yang lewat boleh memudaratkan pesakit influenza.

Bagaimana Vaksin Dapat Membantu

Pihak berkuasa kesihatan Malaysia dan Arab Saudi menyarankan pengambilan suntikan vaksin influenza untuk jemaah Haji dan Umrah Malaysia. Kajian terhadap jemaah Haji Malaysia mendapati bahawa suntikan vaksin influenza adalah 50-60% berkesan untuk mencegah pneumonia serta kemasukan ke hospital, dan 80% berkesan dalam mencegah kematian pesakit yang berumur lebih dari 60 tahun.
Ingatkan ahli keluarga anda untuk mendapatkan suntikan vaksin influenza sekurang-kurangnya 2 minggu sebelum memulakan perjalanan ke tanah suci, atau lebih baik lagi, bawalah mereka ke klinik atau hospital berdekatan untuk mereka dapatkan suntikan vaksin. Ini adalah tanda kasih sayang dan keprihatinan anda terhadap mereka. Walaupun kelihatan kecil namun pemberian vaksinasi influenza ini mampu membantu mereka untuk menyempurnakan ibadah Haji dan Umrah.


Artikel ini dihasilkan oleh kempen Imunisasi Haji dan Umrah anjuran program Immunise4Life bersama Persatuan Pakar Perubatan Keluarga Malaysia, Persatuan Perubatan Islam Malaysia dan Persatuan Perubatan Malaysia. Disokong oleh Sanofi Pasteur Malaysia.

Tentang Immunise4Life
Hubungi Kami
Direktori Klinik
Dasar Privasi
Terma Penggunaan
Penafian

Sekretariat Immunise4Life
Ultra Works Sdn Bhd
23-5, Block B, the Suites, Jaya One,
72A, Jalan Universiti,
46200 Petaling Jaya, Selangor.

© Immunise4Life, 2021
Reka bentuk oleh Ultra Works Sdn Bhd