Home » Rakan Kerjasama
Rakan Kerjasama


Kementerian Kesihatan Malaysia
Penubuhan program Immunise4Life oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merupakan cara Malaysia menyahut seruan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk meningkatkan usaha dalam mempromosikan imunisasi. KKM adalah tunjang utama dalam menghebahkan kepentingan dan kebaikan imunisasi. Justeru, KKM telah mengambil satu langkah penting dengan memperkenalkan Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) sebagai satu inisiatif untuk menyediakan imunisasi kepada orang ramai. Program ini merangkumi pemberian imunisasi secara percuma kepada kanak-kanak di Malaysia terhadap pelbagai penyakit cegahan vaksin. KKM turut menekankan kepentingan imunisasi untuk orang dewasa melalui program IFL.

Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA)
Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) mengumpulkan pakar pediatrik, jururawat pediatrik dan kakitangan kesihatan lain yang mempunyai peranan utama dalam mengendalikan isu yang berkaitan dengan pediatrik dan kesihatan kanak-kanak – termasuklah imunisasi. Kepakaran ahli MPA dalam jawatankuasa teknikal Immunise4Life telah memberi kredibiliti kepada program ini kerana pakar-pakar dalam jawatankuasa ini terlibat secara langsung dalam pengembangan dan pelaksanaan aktiviti dalam mempromosikan imunisasi.

Persatuan Penyakit Berjangkit & Kemoterapi Malaysia
Persatuan Penyakit Berjangkit & Kemoterapi Malaysia (MSIDC) adalah pertubuhan bukan kerajaan yang terlibat dalam bidang penyakit berjangkit dan kemoterapi antimikrobial. Salah satu objektif persatuan ini termasuklah untuk menyediakan fasiliti bagi penyebaran ilmu dalam bidang penyakit berjangkit – ini termasuklah imunisasi. Kepakaran ahli MSIDC dalam jawatankuasa teknikal Immunise4Life telah memberikan kredibiliti kepada program ini kerana pakar-pakar dalam jawatankuasa ini terlibat secara langsung dalam pengembangan dan pelaksanaan aktiviti dalam mempromosikan imunisasi.
Aktiviti-aktiviti anjuran IFL disokong oleh geran pendidikan atau tajaan dari pelbagai pihak yang merangkumi badan profesional, industri dan beberapa aktiviti dijalankan secara pro bono oleh Sekretariat Program IFL.