Skip to content

Laman Utama » Vaksinasi Kanak-Kanak » Cara Merancang Vaksinasi Anak Anda

Cara Merancang Vaksinasi Anak Anda

Sebelum ke Klinik

Jadual imunisasi kadangkala boleh menjadi rumit dan mengelirukan. Anda mungkin sukar untuk memahami jenis-jenis vaksin dan bila anak anda memerlukannya. Berikut adalah beberapa panduan untuk membantu anda merancang imunisasi anak anda.

Tepati jadual

Mengikuti waktu yang betul adalah penting supaya anak anda dapat diberi imunisasi serta dilindungi sepenuhnya. Vaksin yang berbeza diberikan pada tempoh waktu berbeza bagi memastikan tubuh anak anda menerima peringatan yang diperlukan secara selamat dalam menghasilkan imuniti yang sepatutnya.

Semasa merancang untuk menerima vaksinasi, tandakan semua tarikh imunisasi secepat mungkin. Tarikh imunisasi mudah dilupakan terutamanya apabila anda mempunyai urusan-urusan lain seperti pekerjaan, kerja-kerja di rumah dan sebagainya. Cuba tandakan jadual temu janji pada kalendar anda, telefon bimbit atau komputer. Sesetengah klinik swasta juga boleh memberikan khidmat peringatan. Rujuk pada Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) jika anda kurang pasti.

Kanak-kanak yang sedang demam

Jika anak anda mengalami demam yang berterusan, ini mungkin tanda bahawa sistem imun anak tidak berada dalam keadaan yang baik. Jika perkara ini berlaku, doktor anda mungkin menasihatkan anda untuk menangguhkan vaksinasi sehingga anak anda pulih. Jika anak anda menghidap selesema, tetapi tiada demam, dia masih boleh diberikan vaksinasi.

Dapatkan nasihat doktor anda jika anda terlepas tarikh

Jika anak anda terlepas satu dos, maklumkan kepada doktor secepat mungkin. Beliau akan memberi nasihat tentang anda apa yang anda perlu lakukan. Secara umumnya, doktor anda akan terus memberikan dos vaksin yang seterusnya.

Pertimbangkan vaksin kombinasi – kurang sakit, lebih perlindungan!

Sebenarnya, doktor anda mungkin mencadangkan kepada anda mengenai vaksin kombinasi bagi menjimatkan masa dan lawatan. Vaksin kombinasi adalah gabungan beberapa vaksin dalam satu suntikan vaksin supaya anak anda akan mendapat perlindungan terhadap pelbagai penyakit dalam suntikan yang lebih sedikit. Ini menjadikan imunisasi kurang menyakitkan dan lebih selesa.

Pakaikan pakaian yang sesuai untuk anak anda semasa temu janji imunisasi

Jika anak anda mendapatkan vaksinasi pada bahagian peha, pakaikan seluar yang mudah ditanggalkan, atau jika anak anda mendapatkan vaksinasi pada bahagian tangan atas, pakaikan baju yang tiada lengan atau yang berlengan pendek.

Elakkan baju tebal, mempunyai pad, ketat serta mempunyai banyak butang dan tali. Ia akan mengambil masa untuk ditanggalkan dan disarungkan semula.

Pilih pakaian yang anda boleh tanggalkan atau lipat dengan mudah.

Buat persediaan untuk anak anda sebelum lawatan

Jika anak anda berusia lebih daripada 2 tahun, ada baiknya mereka diberitahu tentang imunisasi sebelum temujanji mereka.

Anda harus cuba untuk mengekalkan nada suara yang lembut dan bersifat penyayang sepanjang perbualan. Jawab soalan anak dengan jujur dan gunakan perkataan yang boleh mengurangkan kerisauan anak seperti: “Kamu mungkin akan berasa seperti ditekan, dipicit atau rasa menusuk”.

Semasa di Klinik

Sekiranya anda baru pertama kali membawa anak anda ke klinik, anda mungkin tidak pasti apa yang patut anda jangkakan. Mari dapatkan beberapa petua semasa mendapatkan imunisasi untuk anak anda.

Beri Makluman Kepada Doktor Anda

Terdapat beberapa perkara yang anda harus titik beratkan kepada doktor anda dan berbincang sebelum vaksinasi.

  1. Jika anak anda mempunyai alergi yang teruk

    Pada peringkat usia ini, anda mungkin tidak tahu semua perkara mengenai alergi yang dihidapi anak anda tetapi anda patut melaporkan perkara-perkara yang anda tahu.

    Kadang-kadang, kanak-kanak boleh mendapat alergi daripada bahan-bahan yang terdapat di dalam vaksin. Ia biasanya bukanlah satu masalah jika alergi tersebut adalah ringan, tetapi alergi yang serius boleh mengancam nyawa.

  2. Jika anak anda mengalami tindak balas yang teruk terhadap sebarang dos vaksin sebelum ini
    Anak anda mungkin mengalami tindak balas yang tidak normal terhadap vaksin sebelum ini. Ia penting untuk memberitahu perkara tersebut kepada doktor anda.

Pastikan Anak Anda Selesa Semasa Diberi Imunisasi

Di klinik, terdapat beberapa petua imunisasi yang anda boleh praktikkan untuk membantu anak anda lebih selesa semasa temu janji.

  1. Dakapan yang menenangkan
    Dakap bayi anda atau anak anda dengan rapat di pangkuan anda dalam posisi duduk.

    Mengapa? Memegang anak anda dengan rapat akan menenangkan dan membantu kaki dan tangannya tidak bergerak supaya vaksin dapat diberikan dengan selamat. Duduk secara menegak akan membuat anak anda berasa selamat. Tanya doktor anda apakah posisi terbaik bagi anak anda.

  2. Alih perhatian
    Guna barang permainan yang mempunyai lampu atau boleh memainkan muzik untuk mengalih perhatian anak sebelum dan semasa imunisasi diberikan. Untuk kanak-kanak yang lebih berusia, anda boleh alihkan perhatian mereka dengan bertanyakan soalan tentang sesuatu yang boleh membuatkan mereka teruja. Anda juga boleh menggunakan buku, permainan muzik, pertunjukan televisyen untuk mengalih perhatian kanak-kanak yang lebih berusia.

    Mengapa? Kajian menunjukkan bahagian otak yang memproses kesakitan menjadi kurang aktif apabila kanak-kanak di alih perhatian semasa imunisasi.

  3. Memberi penyusuan susu ibu
    Jika anda menyusukan bayi, anda boleh memberi susu ibu sebelum, semasa dan selepas imunisasi.

    Mengapa? Keadaan fizikal yang rapat dan perbuatan menghisap akan mengalih perhatian dan rasa manis susu ibu akan menenangkan bayi anda. Kajian juga mendapati susu ibu mengandungi bahan-bahan semulajadi yang boleh menenangkan bayi.

Cubalah tip-tip imunisasi ini. Lawatan anda selepas ini ke klinik atau temujanji imunisasi boleh memberi satu peluang untuk mendidik kanak-kanak kemahiran menguruskan situasi yang sukar atau menakutkan.

Saranan

Selepas imunisasi diberikan, anda dinasihatkan untuk berada di klinik sekurang-kurangnya setengah jam. Kadangkala anak anda mungkin mengalami tindak balas yang serius terhadap vaksin (tindak balas buruk). Namun jika ia berlaku, ia akan mengambil masa beberapa minit sehingga satu jam selepas suntikan vaksin. Oleh itu,jika anda berada di klinik anak anda akan dapat dibantu dengan segera. Disebaliknya, jika anda berada di rumah, hubungilah doktor anda dengan segera.

Selepas pulang dari Klinik

Selepas diberikan vaksin, sejumlah kecil kanak-kanak mengalami beberapa perubahan, yang dikenali sebagai kesan sampingan. Jangan risau kerana kesan sampingan ini biasanya ringan dan sudah dijangka. Kesan vaksin ini bermakna badan sedang membina imunitinya dengan bertindak balas terhadap vaksin.

Di sini terdapat beberapa tips mengenai perkara yang dijangka berlaku dan apa yang harus dilakukan.

Kemerah-merahan, bengkak atau lembut pada bahagian suntikan

Gejala-gejala ini perlahan-lahan akan hilang dengan sendirinya setelah beberapa hari. Walau bagaimanapun, anda boleh menggunakan tuala basah yang sejuk untuk  melegakan ruam dan bengkak.

Demam

Jika bayi anda menghidap demam, anda boleh mengurangkan suhu badannya dengan lap menggunakan air suam. Pastikan bayi anda diberi banyak cecair untuk diminum. Jika bayi anda mula mengalami demam atau mudah marah, anda boleh merawat mereka dengan ubat yang boleh menghilangkan kesakitan seperti parasetamol. Bagaimanapun, ini tidak seharusnya diberikan sebelum imunisasi atau jika anak anda tidak mengalami demam.

Ini merupakan reaksi terhadap vaksin yang biasa. Akan tetapi, sesetengah tindak balas vaksin biasa tidak dapat dikesan sehinggalah vaksin tersebut digunakan oleh berjuta-juta orang daripada pelbagai latar belakang. Untuk memahami tindak balas buruk ini, kerajaan telah mewujudkan sistem laporan Kesan Sampingan Selepas Imunisasi (AEFI) untuk merekod atau mengkaji tindak balas tersebut.

Tentang Immunise4Life
Hubungi Kami
Direktori Klinik
Dasar Privasi
Terma Penggunaan
Penafian

Sekretariat Immunise4Life
Ultra Works Sdn Bhd
23-5, Block B, the Suites, Jaya One,
72A, Jalan Universiti,
46200 Petaling Jaya, Selangor.

© Immunise4Life, 2021
Reka bentuk oleh Ultra Works Sdn Bhd