
Laman Utama » Vaksinasi Kanak-Kanak » 5 Vaksin Tambahan Yang Disyorkan Bagi Kanak-Kanak
5 Vaksin Tambahan Yang Disyorkan Bagi Kanak-Kanak

Terdapat juga vaksin untuk penyakit yang lazim menjangkiti kanak-kanak, tetapi vaksin ini tidak termasuk dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) Malaysia. Ianya dikenali sebagai Vaksin Tambahan Yang Disyorkan. Anda digalakkan untuk memberi imunisasi dengan Vaksin Tambahan Yang Disyorkan ini kepada anak anda bagi mendapatkan perlindungan yang maksimum.
1. Apa itu Vaksin Tambahan Yang Disyorkan?
Pada masa kini, terdapat 5 vaksin lain bagi mencegah penyakit yang boleh membawa maut kepada kanak-kanak.
Cacar air (varisela)
Penyakit mudah berjangkit yang menyebabkan demam dan kulit melepuh.
Hepatitis A
Jangkitan hati disebabkan virus hepatitis A.
Influenza
Jangkitan virus pada hidung, tekak dan paru-paru.
Penyakit Meningokokus
Jangkitan bakteria pada lapisan otak dan saraf tunjang yang boleh menyebabkan hilang upaya yang kekal.
Rotavirus
Menyebabkan muntah dan cirit-birit teruk dalam kalangan bayi.
2. Adakah anak kita memerlukan Vaksin Tambahan Yang Disyorkan?
Kebanyakan vaksin yang disebutkan di atas memberi perlindungan terhadap penyakit yang sering menjangkiti kanak-kanak. Malah, Vaksin Tambahan Yang Disyorkan ini juga boleh mengelakkan wabak atau epidemik penyakit. Ia penting seperti mana imunisasi rutin dalam memberi perlindungan kepada anak anda daripada penyakit cegahan vaksin.
3. Di mana kita boleh dapatkan Vaksin TambahanYang Disyorkan?
Vaksin Tambahan Yang Disyorkan ini boleh didapati di hospital dan klinik swasta, di serata Malaysia dengan dikenakan bayaran.
4. Bila anak saya perlu mendapatkan Vaksin Tambahan Yang Disyorkan?
Seperti NIP, terdapat jadual yang disyorkan untuk memastikan anak anda mendapat perlindungan terbaik. Doktor anda akan memberi nasihat mengenai masa yang sepatutnya untuk mendapatkan vaksin.
5. Mengapa kerajaan tidak memberikan Vaksin Tambahan Yang Disyorkan ini secara percuma?
Kerajaan telah menyediakan perlindungan yang menyeluruh menerusi NIP. Terpulang kepada kita untuk memberi perlindungan maksimum kepada anak kita. Anggap Vaksin Tambahan Yang Disyorkan sebagai pelaburan kecil demi kesihatan dan kesejahteraan mereka.
6. Adakah Vaksin Tambahan Yang Disyorkan mahal?
Vaksin yang baru biasanya lebih mahal kerana ia memberi perlindungan yang tidak terdapat sebelum ini. Contohnya termasuk vaksin terhadap penyakit cacar air dan rotavirus.

Penafian: Jadual ini sebagai panduan sahaja. Sila rujuk doktor anda untuk maklumat lanjut mengenai vaksin-vaksin ini.