
Home » Adult Vaccination » FAQ Tdap
Soalan-Soalan Lazim Imunisasi Tdap
Vaksin Tdap (Tetanus, diphtheria, acellular pertussis) adalah sejenis vaksin inactivated untuk mencegah tiga jenis penyakit iaitu tetanus (kancing gigi), difteria dan pertusis (batuk kokol).
Bayi berumur bawah 5 bulan merupakan kumpulan yang paling berisiko untuk mendapat jangkitan pertusis dan mengalami komplikasi penyakit tersebut, seperti pneumonia (radang paru-paru), encephalopathy (kerosakan fungsi otak) dan kematian. Perkara ini berlaku kerana antibodi dalam tubuh bayi hanya akan mencapai tahap perlindungan yang optimum apabila bayi lengkap menerima 3 dos vaksin pertusis pada umur 5 bulan. Ini berdasarkan jadual pemberian vaksin di bawah Program Imunisasi Kebangsaan.
Pemberian vaksin Tdap kepada ibu hamil dapat mencegah jangkitan pertusis dalam kalangan bayi (newborn pertussis) kerana bayi akan menerima antibodi daripada ibunya semasa dalam kandungan setelah ibu menerima suntikan Tdap.
Vaksin Tdap adalah sangat berkesan dalam mencegah jangkitan pertusis yang teruk dalam kalangan bayi baru lahir.
Bagi ibu kehamilan pertama (primigravida), satu (1) dos vaksin lain iaitu tetanus toxoid (TT) akan turut diberikan sekiranya tidak lengkap atau tidak pasti sejarah vaksinasi tetanus.
Semua vaksin yang digunakan di Malaysia adalah vaksin berdaftar yang mempunyai bukti keberkesanan dan keselamatan termasuklah vaksin Tdap. Sebelum vaksin didaftarkan di negara ini dan dipasarkan secara komersial, ia telah diuji dengan teliti menerusi kajian klinikal berskala besar yang melibatkan ribuan orang dan memakan masa yang panjang. Ianya dipantau dengan ketat bagi menjamin keselamatan penerimanya.
Vaksin ini adalah selamat dan kesan sampingan yang telah dilaporkan adalah ringan dan bersifat sementara.
- Kepada ibu
Kesan yang sering berlaku adalah sakit, bengkak atau kemerahan di tempat suntikan. Selain itu, ada individu yang mengalami sakit kepala, keletihan dan loya. - Kepada bayi
Tiada laporan yang menunjukkan sebarang kesan buruk berkaitan vaksin Tdap terhadap janin/bayi baru lahir. Vaksin Tdap telah diberikan kepada beratus-ratus ribu ibu hamil di luar negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan lain-lain.
Berdasarkan kajian-kajian yang ada, vaksinasi Tdap kepada ibu hamil mampu melindungi bayi dari jangkitan pertusis sehingga bayi mendapat imunisasi yang lengkap pada umur 5 bulan.

