Skip to content

Home » COVID-19 » Dos Penggalak COVID-19: Apa Yang Anda Perlu Tahu!

Dos Penggalak COVID-19: Apa Yang Anda Perlu Tahu!

Adakah anda atau ahli keluarga layak untuk mendapat dos penggalak vaksin COVID-19 tetapi masih mempertimbangkan sama ada untuk mendapatkannya? Jika ya, artikel ini adalah untuk anda.

1) Saya telah menerima 2 dos vaksin COVID-19, kenapa saya perlukan dos penggalak lagi?

Kajian terkini menunjukkan bahawa imuniti terhadap COVID-19 yang kita perolehi daripada vaksinasi dan jangkitan semulajadi berkurang dari masa ke masa. Ini bermaksud risiko untuk mengalami jangkitan pasca vaksinasi akan meningkat dengan berlalunya masa.

 

Sebagai contoh, kajian menyarankan bahawa keberkesanan vaksin Sinovac terhadap jangkitan menurun daripada 76% kepada 28% sementara keberkesanan vaksin Pfizer menurun daripada 89% kepada 68% dalam tempoh tiga ke lima bulan setelah lengkap dos kedua.1https://twitter.com/JKJAVMY/status/1463015148264718336 Beberapa kajian turut menunjukkan penurunan imuniti dalam kelompok mereka yang mendapat jangkitan secara semula jadi.2WHO-2019-nCoV-Sci-Brief-Natural-immunity-2021.1-eng.pdf

 

Penurunan tahap imuniti ini perlu diatasi dengan dos penggalak dan kajian telah menunjukkan bahawa dos tambahan adalah efektif dalam mengekalkan imuniti pada tahap yang optimum:

 

Oleh itu, pengambilan dos penggalak akan meningkatkan imuniti anda dan memberikan perlindungan yang optimum terhadap COVID-19.

2) Saya pernah dijangkiti COVID-19 dan telah pun mendapatkan dua dos vaksin COVID-19. Adakah saya masih perlu mendapatkan dos penggalak?

Sekiranya anda pernah dijangkiti dan memilih untuk menerima dan melengkapkan dos utama vaksin COVID-19, ini bermakna anda telah membina “imuniti hibrid”.5https://www.webmd.com/lung/news/20211110/how-covid-immunity-works. Imuniti sedemikian memberikan anda perlindungan yang lebih menyeluruh daripada jangkitan COVID-19. Kajian menunjukkan individu yang pulih daripada COVID-19 dan menerima dos pertama vaksin Comirnaty (Pfizer-BioNTech) mempunyai imuniti sama seperti mereka yang menerima dua dos vaksin. Sekiranya individu ini seterusnya melengkapkan dos kedua, tahap imuniti mereka adalah dua kali ganda lebih tinggi daripada purata imuniti individu yang hanya menerima vaksinasi.6https://codeblue.galencentre.org/2021/11/12/chile-study-shows-mixing-covid-19-vaccine-boosters-highly-effective/

 

Walau bagaimanapun, kajian menunjukkan mereka yang pulih daripada jangkitan COVID-19 dan sudah lengkap dos utama masih boleh dijangkiti semula. Antara faktor-faktor yang menyumbang kepada jangkitan semula termasuklah penurunan imuniti berikutan beberapa tempoh masa selepas pulih daripada jangkitan dan selepas vaksinasi. Oleh itu, anda digalakkan untuk mendapatkan suntikan dos penggalak, 1 bulan selepas anda sembuh daripada COVID-19, untuk memperoleh perlindungan optimum terhadap COVID-19.

3) Para pengkaji mengatakan vaksin COVID-19 yang sedia ada tidak dapat melindungi daripada varian Omicron. Sekiranya ini benar, apa gunanya mendapatkan suntikan dos penggalak?

Benar, satu/dua dos utama vaksin COVID-19 adalah tidak mencukupi untuk memberikan perlindungan terhadap varian Omicron. Walau bagaimanapun, kajian mendapati dos penggalak mampu meningkatkan perlindungan anda terhadap varian Omicron:7https://assets.publishing.service.gov.uk/government/uploads/system/uploads/attachment_data/file/1042367/technical_briefing-31-10-december-2021.pdf:

  • Dos penggalak Comirnaty (Pfizer-BioNTech) selepas dua dos utama daripada jenis yang sama dapat meningkatkan tahap keberkesanan vaksin daripada 40% kepada 76%.

  • Dos penggalak Comirnaty (Pfizer-BioNTech) ) selepas dua dos utama Vaxzevria (Oxford-AstraZeneca) dapat meningkatkan tahap keberkesanan vaksin tersebut daripada kurang 10% kepada 71%.

Penemuan ini menunjukkan bahawa dos penggalak diperlukan dan efektif bagi melindungi orang ramai daripada varian Omicron.

4) Vaksin mana yang perlu saya dapatkan sebagai dos penggalak?

Pada masa ini, pihak berkuasa kawalan dadah kebangsaan telah meluluskan vaksin Comirnaty (Pfizer-BioNTech), Vaxzevria (Oxford-AstraZeneca), CoronaVac (Sinovac) dan Convidecia (CanSino) untuk digunakan sebagai dos penggalak. Kementerian Kesihatan Malaysia mengesyorkan dos penggalak seperti berikut:

 

 

5) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mengesyorkan untuk ‘campur-dan-padan’ semasa pemberian dua dos utama vaksin. Kenapa ia disyorkan untuk dos penggalak?

Sebelum membuat sebarang keputusan dan saranan, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia perlu menilai dan mempertimbangkan data dan bukti yang ada. Semasa di peringkat awal pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, bukti untuk menyokong vaksinasi campur dan padan (heterolog) adalah sangat terhad dan masih dalam kajian. Oleh sebab itu, KKM tidak mengesyorkan vaksinasi campur dan padan untuk dua dos utama.

 

Bagi dos penggalak, lebih banyak bukti sudah tersedia sekarang. Kajian menunjukkan, bergantung kepada jenis vaksin yang anda terima sebagai dos utama, dos penggalak heterolog dapat melindungi anda dengan perlindungan yang lebih menyeluruh terhadap COVID-19:

 

 

6) Adakah benar bahawa WHO dan para pengkaji dari China mengatakan tindakan ‘campur-dan-padan’ vaksin COVID-19 adalah merbahaya?

Pada Julai 2021, Dr Soumya Swaminathan, Ketua Ahli Sains World Health Organisation (WHO) berkata kita sekarang (pada waktu tersebut) berada dalam zon “bebas data” dan “bebas bukti” apabila melibatkan kesan mencampur padan vaksin COVID-19 dan oleh itu, tindakan mencampur padan vaksin adalah berbahaya. Ini menyebabkan ramai orang telah menggunakan kenyataan beliau sebagai asas untuk menolak dos penggalak yang berbeza jenis daripada dos utama mereka.

 

Walau bagaimanapun, Dr Swaminathan segera menjelaskan kenyataanya di Twitter (Jul 13), di mana beliau menerangkan bahawa orang ramai hendaklah mengikuti nasihat agensi kesihatan awam dan tidak membuat keputusan sendiri berkenaan pengambilan dos tambahan dan strategi “campur dan padan”. Kini, banyak kajian telah berjaya menunjukkan bahawa kaedah ‘campur dan padan’ dos penggalak dari jenis yang berbeza bukan sahaja selamat bahkan boleh memberi perlindungan yang lebih menyeluruh terhadap jangkitan COVID-19. Bukti mencadangkan walapun kesan sampingan selepas vaksinasi heterolog biasa terjadi, kesan ini ringan, tidak parah dan tidak menimbulkan kebimbangan. WHO dalam panduan terbaru turut menyokong implementasi dos penggalak heterolog.8https://www.who.int/publications/i/item/WHO-2019-nCoV-vaccines-SAGE-recommendation-heterologous-schedules

 

Berkenaan dengan dakwaan bahawa ahli sains di China menasihatkan untuk tidak mencampur padan vaksin, bukti menunjukkan yang sebaliknya. Sebagai contoh, Shao Yiming, seorang ahli epidemiologi di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China, yang turut merupakan sebahagian daripada pasukan tindak balas vaksin COVID-19 di China mengatakan bahawa strategi campur dan padan mungkin efektif dalam mencetuskan tindak balas imun yang lebih kuat.9https://www.scmp.com/news/china/science/article/3153424/no-mixed-covid-19-booster-shots-china-until-scientists-are-sure Walau bagaimanapun, kumpulannya membuat keputusan untuk menunggu sehingga lebih banyak data tersedia sebelum membuat keputusan berkaitan dengan vaksin heterolog.10https://www.scmp.com/news/china/science/article/3153424/no-mixed-covid-19-booster-shots-china-until-scientists-are-sure Tambahan lagi, Zhong Nanshan, seorang ahli sains di China dalam kenyataan beliau di Forum Greater Bay Science berkata semua negara sepatutnya terbuka dengan suntikan “campur dan padan” sekiranya pendekatan ini berhasil.11https://www.scmp.com/news/china/article/3159343/china-can-learn-west-about-mrna-vaccines-top-disease-expert-says

7) Adakah benar warga emas menghadapi risiko kematian selepas vaksinasi, terutamanya selepas mendapatkan dos penggalak mereka?

Tiada bukti yang menyokong dakwaan bahawa dos penggalak mendedahkan warga emas kepada risiko kematian selepas vaksinasi. Terkini (Dec 7), 3,048,396 individu telah menerima dos penggalak mereka dan tiada kematian yang berlaku akibat vaksin dilaporkan.

 

Kajian dalam kalangan 271,747 dewasa yang berumur 50 tahun ke atas menunjukkan dos penggalak adalah selamat dan efektif. Di kalangan penerima dua dos utama Vaxzevria (Oxford-AstraZeneca) dan dua dos utama Comirnaty (Pfizer-BioNTech), perlindungan terhadap jangkitan bergejala COVID-19 meningkat kepada 93.1% dan 94.0% setelah menerima dos penggalak Comirnaty.12https://khub.net/documents/135939561/390853656/Effectiveness+of+BNT162b2+%28Comirnaty%2C+Pfizer-BioNTech%29+COVID-19+booster+vaccine+against+covid-19+related+symptoms+in+England.docx/a366af4e-9c7f-ce86-bc58-1cb3b88e3378

 

Dos penggalak sangat penting untuk warga emas kerana perubahan dalam sistem imun mereka (immunosenescent). Warga emas bukan sahaja berisiko tinggi terhadap sakit parah dan kematian sekiranya mereka dijangkiti COVID-19, bahkan imuniti mereka juga tidak meningkat sehingga tahap yang optimum dan berkurangan dengan lebih cepat selepas vaksinasi jika dibandingkan dengan orang dewasa yang lebih muda.13https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3901832/

8) Adakah dos penggalak Pfizer menyebabkan kesan sampingan yang lebih serius berbanding dengan Sinovac?

Secara umum, kesan sampingan selepas vaksinasi COVID-19 adalah berbeza di antara individu tanpa mengira jenis vaksin yang diterima. Pada masa ini tiada bukti yang mencadangkan bahawa dos penggalak Comirnaty (Pfizer-BioNTech) akan menyebabkan kesan sampingan yang lebih serius jika dibandingkan dengan dos penggalak CoronaVac (Sinovac). Satu kajian ke atas 2,878 penerima dos penggalak menunjukkan tindak balas lokal dan sistemik daripada suntikan Comirnaty atau CoronaVac adalah sama, dengan kelesuan dan sakit kepala sebagai reaksi sistemik yang paling kerap dan sakit di kawasan suntikan sebagai tindak balas lokal paling kerap, dan tiada kematian yang dicatatkan.14https://www.thelancet.com/journals/lancet/article/PIIS0140-6736(21)02717-3/fulltext

9) Adakah dos penggalak selamat untuk orang yang mempunyai penyakit kronik?

Ya, dos penggalak bukan sahaja selamat bahkan ia sangat disyorkan untuk individu yang mempunyai penyakit kronik termasuk penyakit jantung, kanser, dan diabetes.

 

Sehingga November 1, dos penggalak telah diberikan kepada seramai 8.1 juta orang di UK, termasuk individu dengan penyakit kronik.15https://www.bmj.com/content/375/bmj.n2702 Berdasarkan data yang sedia ada, kesan sampingan vaksin COVID-19 terhadap mereka yang mempunyai imun sistem yang lemah adalah sama dengan individu yang sihat.16https://www.cdc.gov/coronavirus/2019-ncov/vaccines/recommendations/underlying-conditions.html Kesan sampingan ini bersifat sederhana dan sementara, manakala kesan sampingan yang teruk amat jarang berlaku.

 

Pesakit yang menghidap penyakit kronik memerlukan dos penggalak atas pelbagai faktor. Pertama, imuniti selepas vaksinasi tidak berada di tahap yang tinggi dalam kalangan pesakit kronik disebabkan imun sistem yang lemah atau rawatan yang diterima. Sebagai contoh, terapi kanser boleh mengurangkan tindak balas menyeluruh vaksin COVID-19.

 

Kedua, imuniti selepas vaksinasi juga semakin berkurangan dari masa ke masa. Sebagai contoh, perlindungan oleh vaksin Sinovac menurun daripada 76% kepada 28% manakala perlindungan oleh vaksin Pfizer menurun daripada 89% kepada 68% dalam tempoh tiga ke lima bulan setelah lengkap dos kedua.17https://twitter.com/JKJAVMY/status/1463015148264718336

 

Kajian menunjukkan tahap keberkesanan vaksin penggalak (VE) Comirnaty (Pfizer-BioNTech) adalah sama ke atas mereka yang mempunyai atau tidak mempunyai komorbid:18https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S0140673621022492

  • 93% terhadap risiko kemasukan ke hospital berkaitan COVID-19,

  • 92% terhadap risiko sakit COVID-19 yang parah

 

Pesakit yang mempunyai penyakit kronik digalakkan untuk mendapatkan nasihat dari doktor mereka sebelum menerima dos penggalak. Sebarang kejadian buruk selepas imunisasi (AEFI) hendaklah dilaporkan kepada doktor yang merawat mereka.

10) Saya ingin mendapatkan vaksinasi flu. Adakah ianya selamat untuk mendapatkan suntikan flu berdekatan dengan tempoh mengambil suntikan dos penggalak COVID-19?

Ya, ia adalah selamat untuk mendapatkan dos penggalak COVID-19 dan vaksinasi flu dalam masa yang hampir sama.

 

World Health Organisation (WHO) mengesyorkan negara anggotanya untuk mempertimbangkan pemberian vaksin COVID-19 dan vaksin influenza semasa lawatan yang sama dalam menggalakkan pengambilan kedua-dua vaksin.19https://www.who.int/publications/i/item/WHO-2019-nCoV-vaccines-SAGE_recommendation-coadministration-influenza-vaccines

 

Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Malaysia mengesyorkan senggang empat belas hari antara vaksin COVID-19 dan vaksin lain. Sebagai contoh, sekiranya anda dijadualkan untuk menerima vaksin COVID-19 pada 15 hari bulan, anda boleh mendapatkan sebarang vaksin lain, termasuk suntikan influenza, pada 1 hari bulan atau 30 hari bulan pada bulan yang sama.

11) Berapa lamakah perlindungan daripada dos penggalak COVID-19 boleh bertahan?

Untuk sekarang, ianya adalah masih terlalu awal untuk mengetahui berapa lama imuniti daripada dos penggalak boleh bertahan. Lebih banyak bukti akan ditemui dari masa ke masa. Namun begitu, kajian dari Universiti Northwestern di Amerika Syarikat menunjukkan tindak balas antibodi adalah lebih tinggi selepas penerimaan dos penggalak jika dibandingkan dengan selepas penerimaan dos kedua vaksin Comirnaty (Pfizer-BioNTech).20https://www.medrxiv.org/content/10.1101/2021.11.19.21266555v1

 

Kajian ini turut menyarankan bahawa tempoh perlindungan daripada suntikan dos penggalak mungkin bertahan lebih lama.

12) Adakah kita masih perlu memakai pelitup muka dan mematuhi SOP selepas vaksinasi dan dos penggalak?

Vaksinasi (termasuk dos penggalak) mengurangkan risiko jangkitan dan penyakit yang teruk tetapi ia tidak memberi perlindungan yang sepenuhnya. Oleh itu, kita hendaklah terus mengamalkan langkah-langkah kesihatan awam seperti memakai pelitup muka, menjaga jarak yang selamat dan mengamalkan kebersihan tangan yang baik. Dengan amalan ini diharapkan kita dapat melindungi diri kita dan orang tersayang.

13) Bagaimanakah saya boleh mendapatkan vaksin pilihan saya di bawah program dos penggalak percuma Kementerian Kesihatan Malaysia?

Di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan – Penggalak (PICK-B), hanya vaksin Comirnaty (Pfizer-BioNTech), Vaxzevria (Oxford AstraZeneca), CoronaVac (Sinovac) dan Convidecia (CanSino) yang ditawarkan sebagai dos penggalak. Apabila tiba giliran anda untuk mendapatkan dos penggalak, anda akan dimaklumkan mengenai tarikh, masa dan pusat vaksinasi yang ditetapkan (PPV) melalui aplikasi MySejahtera.

 

Kebanyakan pusat vaksinasi akan menawarkan dos penggalak yang disyorkan iaitu Pfizer. Walau bagaimanapun, jika anda tetap mahu memilih vaksin jenis lain atau perlu memilih vaksin jenis lain atas sebab perubatan, sila maklumkan kepada kakitangan pusat PPV. Jika PPV menawarkan vaksin alternatif, mereka mungkin dapat memenuhi permintaan anda pada hari tersebut atau meletakkan nama anda dalam senarai menunggu untuk vaksin yang dimahukan. Jika PPV yang ditetapkan kepada anda tidak menawarkan vaksin pilihan anda, anda boleh menyemak dengan PPV berdekatan lain yang berdaftar dengan ProtectHealth. PPV ini disenaraikan di laman sesawang ProtectHealth: https://bit.ly/3Fky6r8

14) Di mana saya boleh rujuk untuk mendapatkan informasi yang boleh dipercayai berkaitan dos penggalak?

Anda boleh mendapatkan kemas kini terbaru berkenaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan – Penggalak melalui: