Home Beat The FLU Vaksinasi Melindungi Individu-Individu Berisiko Tinggi dari Influenza dan Komplikasi-Komplikasi yang Berkaitan Dengannya

Vaksinasi Melindungi Individu-Individu Berisiko Tinggi dari Influenza dan Komplikasi-Komplikasi yang Berkaitan Dengannya

Ramai orang tersalah anggap bahawa flu adalah demam selesema, tetapi kedua-dua penyakit ini berbeza[1]. Flu adalah penyakit sistem pernafasan berjangkit yang disebabkan oleh virus-virus influenza[2]. Ia boleh terjadi secara tiba-tiba dan individu yang dijangkiti flu biasanya akan mengalami simptom-simptom seperti demam, batuk, sakit tekak, hidung berair atau tersumbat, sakit otot atau badan, sakit kepala, lesu (keletihan), muntah dan dalam kes yang jarang berlaku, cirit-birit (lebih kerap terjadi pada kanak-kanak berbanding orang dewasa)[3].

Malangnya, sesetengah orang mungkin mengalami masalah dan komplikasi lebih serius yang adakalanya boleh membawa maut[3]. Antara komplikasinya termasuklah radang paru-paru (pneumonia), jantung (miokarditis), otak (ensefalitis) atau tisu otot (miositis) dan kegagalan beberapa organ[3].
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) mengkategorikan individu-individu ini kepada kumpulan-kumpulan berisiko tinggi seperti berikut:[4]
• Kanak-kanak di bawah umur 5 tahun (terutamanya yang berusia 2 tahun ke bawah)
• Wanita hamil
• Warga emas melebihi 65 tahun
• Pesakit penyakit kronik
• Individu yang mempunyai masalah pernafasan.

Semua orang yang tergolong dalam kumpulan-kumpulan berisiko tinggi ini perlu mengelak dari dijangkiti flu. Salah satu cara yang paling berkesan ialah dengan mendapatkan vaksin untuk mencegah penyakit tersebut[5]. Vaksin flu kuadrivalen memberi perlindungan meluas daripada empat virus utama flu – dua virus influenza A dan dua virus influenza B[6]. Periksa dengan doktor anda untuk mengetahui sama ada ia sesuai untuk anda.

Individu-individu yang tidak berisiko tinggi juga digalakkan untuk mendapatkan vaksin[7]. Malah, CDC menyarankan semua orang yang berusia 6 bulan ke atas untuk mendapatkan vaksin flu setiap tahun (bagi melindungi daripada virus-virus flu yang baru bermutasi dalam suatu tahun)[7]. Ini benar kerana tiada siapa yang ingin terlantar sakit beberapa hari, atau menyebarkan penyakit kepada ahli keluarga, kawan-kawan, rakan-rakan sekerja atau yang lebih teruk lagi, individu-individu yang berisiko tinggi di sekeliling kita.

Flu berbahaya kepada kanak-kanak kerana berjuta-juta daripada mereka jatuh sakit akibat flu, ada yang dimasukkan ke hospital dan ada juga yang meninggal dunia akibatnya[8]. Kanak-kanak di bawah usia 5 tahun dan terutamanya yang berumur 2 tahun ke bawah berisiko tinggi mendapat komplikasi-komplikasi serius yang berkaitan dengan flu[8]. Kanak-kanak yang menghidap masalah kesihatan kronik seperti lelah dan diabetes jenis 1 juga berisiko tinggi; seperti yang ditunjukkan dalam sebuah kajian, mereka adalah 4-21 kali lebih cenderung untuk dimasukkan ke hospital akibat flu[9]. Memberikan vaksin flu kepada kanak-kanak memberi manfaat kepada ibu bapa dan kanak-kanak dengan mengurangkan kekerapan berjumpa doktor, mengelakkan ketidakhadiran ke pejabat dan sekolah, dan yang paling penting, mengelakkan kesengsaraan akibat flu yang teruk dan komplikasi-komplikasinya[8].

Kehamilan menyebabkan pelbagai perubahan pada sistem imun, jantung dan paru-paru[10]. Ini boleh membuatkan wanita hamil (dan sehingga dua minggu selepas bersalin) lebih cenderung untuk mengalami penyakit yang teruk akibat flu dan risiko yang lebih tinggi untuk dimasukkan ke hospital[10]. Mujurlah vaksinasi flu boleh diberikan semasa hamil dan telah terbukti dapat melindungi ibu dan bayi dari flu selama beberapa bulan selepas kelahiran[10]. Bincanglah dengan doktor anda tentang vaksin flu yang sesuai.

Ramai rakyat Malaysia menghidap satu atau lebih penyakit tidak berjangkit seperti diabetes melitus jenis 2, penyakit jantung, tekanan darah tinggi, kanser, penyakit buah pinggang kronik, dan penyakit hati. Masalah-masalah kesihatan seperti ini membebankan sistem imun dan menyukarkan tubuh untuk melawan dan sembuh dari jangkitan flu[11]. Pelbagai perkara yang tidak dingini boleh berlaku – flu boleh menjadikan penyakit kronik sedia ada lebih serius (cth meningkatkan paras glukosa darah penghidap diabetes ke tahap bahaya) atau menyebabkan serangan jantung atau strok[11]. Semua ini menjadi lebih teruk apabila komplikasi-komplikasi flu mula muncul. Inilah sebabnya penghidap-penghidap penyakit kronik lebih cenderung untuk dimasukkan ke hospital atau meninggal dunia apabila dijangkiti flu[11].

Warga emas, terutamanya yang berusia 65 tahun ke atas, sangat terdedah kepada jangkitan flu. Kebanyakan mereka menghidap penyakit-penyakit tidak berjangkit. Risiko ini semakin meningkat kerana sistem imun mereka sudah lemah kerana usia yang lanjut[11].

Berdasarkan semua sebab ini, pesakit-pesakit penyakit kronik dan warga emas disarankan untuk menjadikan vaksinasi flu tahunan sebahagian daripada gaya hidup mereka[11]. Ini akan menghasilkan perbezaan yang sangat bermakna untuk kesihatan dan kualiti hidup mereka.

Masalah pernafasan atau paru-paru melibatkan lelah, penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD), emfisema, bronkitis kronik dan fibrosis pulmonari[12]. Sesiapa yang menghidap masalah-masalah ini perlu mengetahui risiko-risiko yang dibawakan oleh flu. Tambahan pula, kira-kira 17% kematian berkaitan flu setiap tahun boleh dilihat dalam kalangan penghidap-penghidap penyakit pernfasan kronik[13].

Lelah ialah masalah pernafasan yang paling lazim dan menjejaskan sejumlah besar golongan dewasa dan kanak-kanak[14]. Bagi mereka, flu adalah ancaman yang serius walaupun lelah dan simptom-simptomnya terkawal dengan ubat-ubatan[14]. Bagi orang dewasa dan kanak-kanak, jangkitan-jangkitan virus pernafasan adalah pencetus utama episod lelah mereka[15]. Influenza boleh menyebabkan keradangan yang lebih teruk pada laluan udara dan paru-paru mereka yang sensitif[14]. Ini akan memburukkan lagi simptom-simptom lelah dan meningkatkan kebarangkalian terjadinya radang paru-paru atau penyakit-penyakit pernafasan akut yang lain[14].

Setiap hari adalah cabaran untuk golongan yang menghidap masalah paru-paru. Bernafaslah dengan lebih mudah dengan menjadikan vaksinasi flu sebahagian daripada regimen penjagaan kesihatan anda[14].

Vaksinasi Flu untuk Pengembara & Jemaah Haji dan Umrah
Flu ialah risiko kesihatan boleh dicegah vaksin yang paling lazim untuk mereka yang mengembara atas tujuan perniagaan, percutian dan menunaikan haji atau umrah[16]. Mereka mungkin dijangkitinya semasa menaiki kapal terbang atau berada berhampiran individu-individu yang dijangkiti di tempat-tempat yang sesak. Mujurlah para pengembara boleh mencegah flu dari mengganggu perjalanan mereka dengan mendapatkan vaksin sekurang-kurangnya 2 minggu sebelum berlepas (untuk memberi tempoh yang mencukupi bagi membentuk imuniti vaksin yang diingini)[17].

Berikut adalah nota ringkas untuk jemaah-jemaah Haji dan Umrah. Mereka sering mendapat jangkitan saluran pernafasan (termasuk flu) semasa berada di Tanah Suci[18]. Kajian menunjukkan lebih daripada 90% rakyat Malaysia akan dijangkiti sekurang-kurangnya 1 simptom pernafasan semasa menunaikan Haji atau Umrah. Ini membawa masalah terutamanya kepada golongan yang lanjut usia atau yang turut menghidap penyakit kronik.

Untuk membantu mereka menunaikan tuntutan agama dengan tenang, para jemaah dinasihatkan untuk mendapatkan vaksin bagi melindungi diri mereka dari flu[20].


References:
[1]CDC (2018). Cold vs Flu. Retrieved on Jul 18, 2018 from: https://www.cdc.gov/flu/about/qa/coldflu.htm
[2]CDC (2017). Key Facts About Influenza. Retrieved on Jul 18, 2018 from: https://www.cdc.gov/flu/keyfacts.htm
[3]CDC (2018). Flu Symptoms and Complications. Retrieved on Jul 18, 2018 from: https://www.cdc.gov/flu/consumer/symptoms.htm
[4]CDC (2018). People at High Risk of Developing Flu-Related Complications. Retrieved on Jul 18, 2018 from: https://www.cdc.gov/flu/about/disease/high_risk.htm
[5]CDC (2018). Influenza Preventive Steps. Retrieved on Jul 18, 2018 from: https://www.cdc.gov/flu/consumer/prevention.htm
[6]CDC (2017). Quadrivalent Influenza Vaccine. Retrieved on Jul 18, 2018 from: https://www.cdc.gov/flu/protect/vaccine/quadrivalent.htm
[7]CDC (2018). Seasonal Flu Shot. Retrieved on Jul 18, 2018 from: https://www.cdc.gov/flu/about/qa/flushot.htm
[8]CDC (2017). Children, The Flu and Flu Vaccine. Retrieved on Jul 18, 2018 from: https://www.cdc.gov/flu/protect/children.htm
[9]Izurieta et al. 2000. Influenza and the rates of hospitalization for respiratory disease among infants and young children. New England Journal of Medicine. 342:232-239
[10]CDC (2017). Pregnant Women and Influenza (Flu). Retrieved on Jul 18, 2018 from: https://www.cdc.gov/flu/protect/vaccine/pregnant.htm
[11]Sollito, M. (2018). Chronic Health Conditions and Flu. Retrieved on Jul 18, 2018 from https://www.agingcare.com/articles/chronic-health-conditions-flu-can-be-deadly-154570.htm
[12]NHS UK (2016). Who should have the flu jab. Retrieved on Jul 18, 2018 from: http://www.nhs.uk/conditions/vaccinations/pages/who-should-have-flu-vaccine.aspx
[13]Department of Health United Kingdom. An Outcomes Strategy for COPD and Asthma: NHS Companion Document. Retrieved on Jul 18, 2018 from: https://assets.publishing.service.gov.uk/government/uploads/system/uploads/attachment_data/file/216531/dh_134001.pd
[14]CDC (2017). Flu and People With Asthma. Retrieved on Jul 18, 2018 from: https://www.cdc.gov/flu/asthma/index.htm
[15]The Australian Lung Foundation (2012). The Risks of Influenza for People with Lung Disease and the Benefits of Getting Vaccinated Now. Retrieved from: https://lungfoundation.com.au/wp-content/uploads/2013/12/lungnetnewsmay2012.pdf [16]Influenza Specialist Group. (2016). Travel Vaccination. Retrieved on Jul 18, 2018 from: http://www.isg.org.au/index.php/vaccination/travel-vaccination-/
[17]CDC (2016). Influenza Prevention: Information For Travellers. Retrieved on Jul 18, 2018 from: https://www.cdc.gov/flu/travelers/travelersfacts.htm
[18]Balkhy et al. (2004). Influenza a Common Viral Infection among Hajj Pilgrims: Time for Routine Surveillance and Vaccination
[19]Deris et al. 2010. The prevalence of acute respiratory symptoms and role of protective measures among Malaysian Hajj pilgrims. Journal of Travel Medicine. 17(2):82-88
[20]MSIDC. (2014). Malaysian Guideline For Adult Immunisation.

SPMY.IFLU.18.08.0191 (08/18)