Vaksin dan Anda

Vaksin berfungsi seperti pelan insurans. Ia mengambil masa untuk bertindak dan sesetengahnya hanya bertahan untuk sementara waktu sahaja, tetapi ada juga yang melindungi anda sepanjang hayat. Sama juga seperti anda, kadang-kala anda perlu memperbaharui pelan insurans, jadi anda juga perlu melakukan perkara yang sama untuk vaksin. Pembaharuan untuk keberkesanan vaksin ini dipanggil sebagai dos penggalak. Insurans juga mungkin ada kekurangannya, tetapi lebih baik untuk mengambil insurans daripada tiada langsung, dan semestinya lebih baik untuk mendapatkan vaksinasi daripada tiada langsung.

1. Vaksin mungkin mengambil masa untuk berfungsi

Selepas imunisasi, vaksin akan mengambil masa beberapa minggu untuk berfungsi. Ini bermakna perlindungan daripada jangkitan tidak akan berlaku serta-merta selepas vaksinasi diberikan.

2. Vaksin berbeza, dos yang berbeza

Sesetengah vaksin diperlukan dalam beberapa dos untuk perlindungan yang optimum, manakala vaksin lain hanya memerlukan satu dos sahaja. Pastikan anda menerima kesemua dos yang disarankan (untuk vaksin yang mempunyai banyak dos) supaya anda dapat dilindungi sepenuhnya.

3. Vaksin berbeza menyediakan perlindungan untuk waktu yang berbeza 

Ini merupakan hasil daripada pelbagai cara berbeza vaksin dibuat. Sesetengah vaksin mungkin memberi imuniti seumur hidup. Secara umumnya, vaksin hidup yang telah dilemahkan memberi perlindungan yang lebih lama. Terdapat juga vaksin yang memerlukan dos berkala untuk perlindungan yang berterusan (contoh setiap 10 tahun).

Virus influenza adalah unik, jadi anda disarankan untuk mendapatkan vaksinasi tersebut setiap tahun, disebabkan virus influenza sentiasa berubah. Berbincanglah dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

4. Orang yang berbeza memberi tindak balas berbeza terhadap vaksin

Orang yang berlainan memberi tindak balas yang berbeza terhadap vaksin, jadi sesetengah mereka mungkin tidak menghasilkan tindak balas yang sepatutnya terhadap sesetengah jenis vaksin. Oleh itu, individu ini mungkin tidak dilindungi dengan berkesan selepas imunisasi. Walaubagaimanapun, perlindungan yang diperolehi daripada vaksin adalah lebih baik daripada tiada perlindungan langsung.