Siapa Yang Perlu Diberikan Imunisasi?

Kita harus bersyukur kerana terdapat perkembangan dalam bidang perubatan; sekarang terdapat 26 penyakit yang boleh dicegah melalui imunisasi. Setiap penyakit adalah berbeza. Usia dan gaya hidup seseorang individu akan mempengaruhi pendedahan mereka terhadap sesetengah penyakit. Ketahui mengenai penyakit yang paling mudah menjejaskan anda dan orang tersayang supaya anda dapat imunisasi yang betul.

Kanak-kanak

Kanak-kanak paling mudah terjejas pada tempoh 2 tahun pertama dalam kehidupan mereka. Ini adalah sebab utama mereka menerima paling banyak imunisasi . Doktor dan pakar amat berhati-hati dalam menyediakan jadual imunisasi kanak-kanak (juga dikenali sebagai Program Imunisasi Kebangsaan) untuk memastikan anak anda menerima perlindungan asas yang amat diperlukan daripada 12 jenis penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin.

Orang dewasa

Perlindungan daripada sesetengah vaksin kanak-kanak mungkin berkurangan dengan peredaran masa. Kita juga mudah terjejas kepada penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin disebabkan oleh faktor usia, kesihatan, tempat perjalanan dan keperluan pekerjaan kita.

Orang muda

Orang dewasa yang muda dan sihat juga boleh terjejas. Sesetengah penyakit lazim berlaku dalam kalangan orang muda dan sebab itu sesetengah negeri di Amerika Syarikat mewajibkan pelajar kolej supaya mendapatkan imunisasi terhadap penyakit seperti meningitis.

Ibu bapa dan Pengasuh Kanak-Kanak

Tindakan melindungi bayi anda daripada penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin adalah satu keutamaan. Bagaimanapun, ini tidak terhad kepada bayi-bayi sahaja. Ibu bapa, datuk nenek, adik-beradik dan pengasuh pusat jagaan perlu diberikan imunisasi sepenuhnya sebelum mereka dibenarkan untuk menjaga kanak-kanak.

Orang tua (65 tahun ke atas)

Orang yang lebih tua biasanya mempunyai sistem imun yang lebih lemah, jadi mereka lebih mudah terdedah kepada penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin. Satu contoh penyakit yang paling lazim berlaku di kalangan orang tua adalah pneumonia, Oleh itu mereka perlu diberi imunisasi dengan vaksin pneumokokus. Warga emas juga turut mudah terjejas terhadap penyakit lain yang boleh dicegah melalui vaksin.

Pengembara

Terdapat penyakit yang telah menjadi endemik di sesetengah tempat di dunia. Oleh sebab itu, terdapat vaksin yang disarankan (contoh demam kuning) sebelum melawat negara-negara tersebut (contoh negara Afrika). Jemaah haji yang pergi menunaikan haji juga dinasihatkan untuk mengambil sesetengah vaksin (contoh vaksin meningokokus). Walaupun peraturan tersebut tidak wujud, namun imunisasi ketika mengembara adalah satu idea yang sangat baik. Ini untuk mengelakkan diri anda daripada dijangkiti ketika berada di luar negara dan membawa pulang kuman dan seterusnya menjangkiti orang tersayang.


Mereka yang Mempunyai Masalah Kesihatan

Jika seseorang menderita akibat penyakit kronik (contoh diabetes dan penyakit hati), ia mungkin melemahkan sistem imunisasi mereka, menjadikan mereka lebih mudah terjejas terhadap penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin. Keberkesanan vaksin ini juga semakin berkurangan dengan peredaran masa.

Oleh itu, anda sangat digalakkan untuk mendapatkan imunisasi secepat mungkin.

Bila Imunisasi Tidak Disarankan

Sebelum anda atau sesiapa di dalam keluarga anda menerima vaksin, adalah penting untuk berbincang dengan doktor mengenai sejarah perubatan keluarga, keadaan perubatan yang sedia ada atau alergi anda.

Ini akan membantu anda, atau sesiapa jua di dalam keluarga anda membuat keputusan untuk menerima vaksin tertentu. Individu-individu berikut dinasihatkan untuk berbincang dengan doktor sebelum mendapatkan imunisasi:

  • Mereka yang mengalami tindak balas serius terhadap dos vaksin yang terdahulu.
  • Mereka yang mempunyai masalah perubatan yang sedia ada seperti kanser, HIV/AIDS, diabetes atau penyakit jantung dan paru-paru.
  • Mereka yang menerima rawatan untuk kanser atau terapi steroid, kerana ini melemahkan sistem imun.
  • Wanita mengandung, kerana sesetengah vaksin hidup tidak digalakkan semasa mengandung.
  • Mereka yang berasa tidak sihat pada hari tersebut untuk mendapatkan vaksinasi (contohnya, jika mengalami demam atau selesema)

Jika anda mempunyai sebarang isu atau soalan, berbincanglah dengan doktor anda.