Home Dewasa Persatuan Melancarkan Program Promosi Vaksinasi Khusus Untuk Orang Dewasa Yang Pertama Di...

Persatuan Melancarkan Program Promosi Vaksinasi Khusus Untuk Orang Dewasa Yang Pertama Di Malaysia

Acara penting yang melibatkan usaha yang bersungguh-sungguh untuk memenuhi keperluan – bagi membantu mencegah orang dewasa daripada dijangkiti dan menyebarkan penyakit cegahan vaksin.

Petaling Jaya, 24 Mei 2017 – Persatuan Penyakit Berjangkit & Kemoterapi Malaysia (MSIDC) telah melancarkan Vaxin Check For Adults, program pertama seumpamanya di Malaysia yang menampilkan saranan vaksinasi bagi profil khusus, termasuklah ibu bapa & penjaga kanak-kanak, warga emas, penghidap penyakit kronik, dan pengembara.

Majlis pelancaran tersebut telah dirasmikan oleh Dr Ravindran R Naidu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia.

Tidak ramai yang tahu bahawa penyakit cegahan vaksin masih memberi ancaman yang besar kepada orang dewasa.

Antara akibat buruk yang berlaku adalah penderitaan yang disebabkan oleh komplikasi penyakit yang serius, rawatan di hospital yang berpanjangan, bil perubatan yang tinggi, serta berhadapan dengan kemungkinan bahawa ianya akan berakhir dengan kecacatan kekal atau kematian.

Satu lagi kesan yang sangat teruk adalah mengetahui bahawa seseorang itu telah menyebarkan penyakit tersebut secara tidak sengaja kepada keluarga dan orang yang tersayang, seperti bayi dan kanak-kanak di rumah, ibu bapa yang sudah lanjut usia, atau seseorang yang mempunyai sistem imun yang lemah.

Jelas sekali, masyarakat perlu didedahkan tentang vaksinasi sebagai langkah perlindungan dan mereka perlu diberi panduan ringkas mengenai jenis vaksin yang mereka perlukan.

Saranan vaksinasi dewasa perlu dibuat berdasarkan bukti dan biasanya ditentukan berdasarkan parameter Kesihatan, Umur, Gaya Hidup dan Pekerjaan (Health, Age, Lifestyle and Occupation).

Namun, MSIDC memperkembangkan panduan H-A-L-O ini untuk menghasilkan saranan vaksinasi bagi profil khusus seperti ibu bapa dan penjaga kanak-kanak, golongan lanjut usia, pengidap penyakit kronik, dan pengembara, termasuk eksekutif perniagaan, mereka yang pergi bercuti, pelajar yang melanjutkan pelajaran ke luar negara dan jemaah haji atau umrah.

Ini merupakan satu ciri unik bagi program Vaxin Check for Adults ini. Anda tidak perlu menjadi seorang pakar untuk tahu vaksin mana yang diperlukan; anda hanya perlu tahu peringkat atau keadaan hidup anda pada waktu ini.

Mengulas mengenai kepelbagaian profil ini, Presiden MSIDC, Profesor Dr Zamberi Sekawi berkata: “Ibu bapa dan penjaga kanak-kanak perlu mendapatkan vaksin untuk mencegah mereka daripada menyebarkan penyakit kepada bayi dan kanak-kanak yang masih terlalu kecil atau yang tidak boleh diberikan vaksin.

“Malah, kami menyarankan kepada ibu bapa untuk mempertimbangkan vaksinasi sebelum mereka cuba untuk hamil; ini untuk membantu mencegah kecacatan ketika lahir yang boleh disebabkan oleh penyakit cegahan vaksin.”

Vaksin untuk (bakal) ibu bapa dan penjaga kanak-kanak termasuklah influenza, MMR (demam campak, beguk & rubela), varisela (cacar air), Tdap (tetanus, difteria & pertusis) dan polio.

Beralih fokus kepada golongan lanjut usia, Profesor Zamberi menerangkan bahawa vaksinasi memberi perlindungan daripada penyakit yang menyerang sistem imun yang lemah. “Individu yang berusia lebih 50 tahun dinasihatkan untuk mendapatkan vaksin influenza, pertusis, pneumokokal dan kayap,” katanya.

“Begitu juga dengan orang dewasa yang mempunyai masalah kesihatan kronik seperti penyakit paru-paru, kencing manis, penyakit jantung dan penyakit hati kronik, mereka perlu lebih proaktif dalam mengurangkan risiko jangkitan. Vaksin influenza, pneumokokal, hepatitis A dan hepatitis B adalah penting untuk golongan ini,” tambah beliau.

Bagi mereka yang mengembara, beliau berkata: “Vaksinasi melindungi daripada penyakit yang menjadi wabak di sesetengah rantau. Vaksin yang disarankan adalah vaksin influenza, pneumokokal, meningokokal, tifoid, hepatitis A, demam kuning, Japanese ensefalitis, tetanus, difteria, pertusis aselular, dan MMR.”

Akhir sekali, Profesor Zamberi menasihatkan bahawa sesetengah gaya hidup orang dewasa memerlukan mereka untuk mengambil vaksin tambahan. “Orang dewasa yang aktif dalam hubungan seksual disarankan mengambil vaksin HPV dan hepatitis B. Suntikan tetanus adalah penting bagi mereka yang menggemari aktiviti yang berisiko untuk luka. Bagi mereka yang suka makan pula, vaksin hepatitis A dan demam kepialu (tifoid) perlu diambil,” tambah beliau.

Turut berucap di majlis pelancaran tersebut adalah Profesor Madya Dr Ariza Adnan, Naib Presiden MSIDC, yang menggunakan kes influenza atau ‘flu’ untuk menerangkan mengapa tidak ramai orang dewasa mengambil vaksinasi.

Beliau berkata: “Ramai orang dewasa tersalah anggap bahawa penyakit cegahan vaksin ini adalah penyakit lain yang tidak merbahaya. Contoh yang mudah ialah bagaimana orang ramai sering keliru mengenai flu dan demam selesema.

“Mereka juga sering mengambil ringan tentang risiko dijangkiti penyakit cegahan vaksin, dan tidak sedar bahawa penyakit ini rumit dan melibatkan kos yang tinggi untuk dirawat.”

Menurut Profesor Dr Yasmin A Malik, Pengerusi program Vaxin Check For Adults, pelbagai aktiviti berunsur pendidikan juga akan dijalankan untuk mempromosikan vaksinasi kepada profil yang berbeza.

“Ini termasuklah memaparkan video berunsur pendidikan melalui media sosial, memuat naik artikel ke laman web Immunise4Life, menerbitkan artikel dan infografik di dalam surat khabar, menyebarkan risalah, dan meletakkan bahan promosi di klinik yang mengambil bahagian,” kata beliau.

Profesor Yasmin juga menggalakkan orang ramai untuk menggunakan direktori dalam talian Vaxin Check untuk mencari klinik yang menawarkan vaksinasi bagi orang dewasa. “Ciri yang unik ini bertujuan untuk memudahkan orang ramai mencari klinik di mana mereka boleh membincangkan keperluan vaksinasi bersama doktor yang telah dilatih dengan betul.”

Direktori Vaxin Check baru sahaja dimulakan beberapa bulan lalu. Oleh itu, senarai klinik yang mengambil bahagian masih sedang dikembangkan untuk mencapai sasaran liputan seluruh negara.

Direktori klinik dalam talian dan maklumat lain mengenai imunisasi bagi orang dewasa boleh didapati di www.ifl.my/vaxincheck.

Program Vaxin Check For Adults adalah sebuah inisiatif pendidikan masyarakat oleh MSIDC dengan kerjasama Immunise4Life.