PERLINDUNGAN YANG MENYELURUH TERHADAP PNEUMONIA UNTUK KANAK-KANAK

PERLINDUNGAN YANG MENYELURUH TERHADAP PNEUMONIA
UNTUK KANAK-KANAK

Petaling Jaya, 14 November 2018 – Berilah anak anda susu badan, jaga kebersihan, dan pastikan bayi anda menerima vaksinasi untuk melindunginya daripada pneumonia, yang merupakan salah satu punca utama kematian dalam kalangan kanak-kanak bawah usia 5 tahun.  Inilah pesanan pakar yang berucap semasa dialog media yang bertajuk, “Memerangi Pneumonia Dalam Kalangan Kanak-kanak Di Malaysia: Apa Langkah Seterusnya?”

Acara ini dianjurkan oleh program pendidikan masyarakat Immunise4Life (IFL) untuk memperingati Hari Pneumonia Sedunia 2018.  Immunise4Life (IFL) ialah usaha sama tiga pihak yang melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia, badan-badan profesional (terutamanya Persatuan Pediatrik Malaysia dan Persatuan Penyakit Berjangkit Dan Kemoterapi Malaysia), serta badan korporat yang prihatin.

Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik dan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal IFL, menggambarkan pneumonia sebagai penyakit paru-paru yang serius, yang menyebabkan kantung udara (alveoli) dipenuhi cecair atau nanah, lalu mengakibatkan penghidapnya menderita kesakitan dan sukar bernafas.  Bakteria yang menyebabkan pneumonia juga boleh memasuki aliran darah lalu merebak ke seluruh badan dan menyebabkan kegagalan organ.

Beliau berkata, “Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pneumonia menyebabkan 16% kematian dalam kalangan kanak-kanak bawah usia 5 tahun.  Pada tahun 2016 sahaja, penyakit ini mengambil nyawa 880,000 kanak-kanak dalam lingkungan usia ini di seluruh dunia.  Pada tahun itu, pneumonia menjadi punca kematian ke-3 terbesar bagi kanak-kanak yang berusia bawah 5 tahun di Malaysia.”

Semasa bercakap tentang cara ibu bapa dapat melindungi anak mereka daripada penyakit pembawa maut ini, Datuk Dr Zulkifli berkata: “Kami galakkan agar bayi diberi susu badan sahaja selama enam bulan pertama selepas lahir.  Ini seakan-akan imunisasi pertama kerana susu badan mengandungi antibodi yang dapat melindungi bayi daripada pneumonia.

“Selepas itu, kita perlu memberinya perlindungan khususnya terhadap organisma yang menyebabkan pneumonia.  Antaranya ialah bakteria (misalnya Haemophilus influenzae jenis b, pneumokokus, dan Bordetella pertussis) dan virus (misalnya campak, influenza dan cacar air).

“Kebersihan diri, terutamanya amalan membasuh tangan dengan betul menggunakan sabun dan air, juga penting untuk menjauhkan organisma yang menyebabkan pneumonia.”

Dr Hishamshah Mohd Ibrahim, Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Kuala Lumpur, berkata bahawa kanak-kanak bawah usia 2 tahun khususnya mudah terkena.  Beliau menjelaskan: “Merawat pneumonia pada kanak-kanak kecil boleh menjadi kompleks.  Penyakit ini boleh melarat dengan cepat dan pesakitnya akan memerlukan oksigen, drip intravena untuk menghantar ubat antibiotik yang kuat, dan mungkin juga pembedahan untuk menyalirkan cecair keluar dari paru-paru.  Jika berlaku kegagalan paru-paru, kita perlu menyambungkan anak-anak kecil ini dengan mesin ventilator supaya dia boleh bernafas.

“Pneumonia mengancam semua kanak-kanak tetapi golongan miskin mungkin lebih terjejas disebabkan faktor-faktor persekitaran, kerana kurang tahu tentang penyakit ini, dan kerana sumber rawatan sukar didapati.  Alangkah sedihnya melihat kanak-kanak menderita atau meninggal dunia akibat penyakit yang boleh dicegah ini.  Pesakit yang berjaya pulih pula, terdapat kemungkinan kecil mereka akan mengalami kerosakan paru-paru yang kekal seumur hidup akibat pneumonia yang dihidapinya semasa kanak-kanak. Pneumonia lebih baik dicegah supaya tidak berlaku.”

Dr Aminah Bee Mohd Kassim, Pakar Kesihatan Awam & Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan Malaysia, menerangkan bahawa organisma yang menyebabkan pneumonia boleh merebak melalui titisan bawaan udara yang dihembuskan oleh orang yang terjangkit apabila mereka batuk atau bersin.

Menurut beliau, kerajaan kini memberikan vaksin Hib, MMR dan DTaP secara percuma untuk bayi di bawah Program Imunisasi Kebangsaan. Vaksin-vaksin ini memberikan perlindungan terhadap Haemophilus influenzae jenis b, campak dan pertusis (batuk kokol).

Beliau juga menggalakkan ibu bapa agar membawa bayi masing-masing ke klinik dan hospital swasta untuk diberi vaksinasi terhadap influenza, cacar air dan terutamanya pneumokokus supaya mereka mendapat perlindungan optima daripada jenis pneumonia yang boleh dicegah dengan vaksin.

Ketiga-tiga pakar menyatakan sokongan kepada inisiatif Kerajaan Pakatan Harapan yang telah berjanji untuk menyediakan vaksinasi pneumokokus secara percuma kepada kanak-kanak bawah usia 2 tahun di bawah Program Imunisasi Kebangsaan.

Datuk Dr Zulkifli menjelaskan: “Vaksin konjugat pneumokokus (PCV) memberikan perlindungan seumur hidup terhadap bakteria S. pneumoniae, iaitu punca utama pneumonia yang teruk dalam kalangan kanak-kanak bawah usia 5 tahun, yang menyebabkan sepertiga kematian akibat pneumonia, seluruh dunia.

“Setakat bulan Oktober 2018, sebanyak 142 (daripada sejumlah 195) negara sudah menawarkan vaksinasi pneumokokus secara percuma melalui program imunisasi untuk kanak-kanak kebangsaan masing-masing.  Lebih daripada 115 buah negara telah mengambil pilihan menyediakan PCV13 yang memberikan perlindungan terhadap 13 jenis bakteria pneumokokus ini.  Pilihan lain yang boleh diambil ialah PCV10 yang memberikan perlindungan terhadap 10 jenis bakteria tersebut.

“Sementara menunggu kemasukkan vaksinasi pneumokokus ke dalam Program Imunisasi Kebangsaan, kami ingin menasihatkan agar semua ibu bapa berbincang dengan doktor tentang vaksinasi pneumokokus untuk anak mereka.”

PCV sesuai untuk kanak-kanak yang berusia 2 bulan ke atas dan diberikan dengan 3 hingga 4 dos pada usia 2, 4, 6 dan 12 hingga 15 bulan.

ENG Version
 
BM Version
 
CN Version