Home Muslim Penolakan vaksin untuk mencegah penyakit berjangkit yang mengancam nyawa adalah berdosa: Mufti...

Penolakan vaksin untuk mencegah penyakit berjangkit yang mengancam nyawa adalah berdosa: Mufti Perlis

Kangar: Individu yang menolak penggunaan vaksin untuk mencegah penyakit berjangkit mengancam nyawa adalah berdosa, kata Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Beliau berkata ibu bapa yang memilih tidak membenarkan anak divaksin tanpa langkah pencegahan lain yang terbukti lebih efektif, juga berdosa kerana meletakkan anak mereka dalam bahaya.

Katanya syariat Islam antaranya menuntut pemeliharaan kesihatan serta nyawa dan dalam konteks berkaitan, penggunaan vaksin perlulah berpegang kepada konsep Islam.

“Islam melarang manusia memusnahkan diri secara sia-sia seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud ‘jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan’.

“Ayat ini jelas menyuruh kita melindungi diri dari sebarang bahaya. Tindakan yang mengakibatkan kemudaratan tidak wajar dipatuhi,” katanya selepas program Menghayati Ramadan di sini, hari ini.

Mengulas mengenai wabak difteria, Mohd Asri menasihatkan golongan antivaksin supaya bercakap berdasarkan fakta dan ilmu, bukan sekadar membuat andaian bahawa penggunaan vaksin memberi kesan sampingan.

“Jika mereka (antivaksin) ada alternatif lebih baik untuk mengatasi sesuatu penyakit tidak mengapa tetapi yang berlaku sekarang adalah sebaliknya. Tanpa vaksin lebih memudaratkan kecuali mereka boleh membuktikannya,” tambahnya.

Menurutnya hukum penggunaan vaksin yang mengandungi bahan tidak bersih atau dari sumber bersifat najis adalah diharuskan dalam Islam jika tiada kaedah lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2016 @ 5:40 PM
Kredit Dari : Harian Metro, Ibu bapa antivaksin berdosa: Mufti