Kontroversi Di Sebalik Imunisasi

Adab sopan yang baik adalah tunggak agama Islam. Salah satu syarat dalam adab bermasyarakat ialah kita mesti sentiasa mengamalkan tabbayun (pemeriksaan teliti) apabila berurusan dengan berita, hujah atau pendapat untuk membezakan antara yang benar atau tidak.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini. Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” Surah Al-Hujurat ayat 6

Tabayyun ialah bahagian paling penting dalam adab yang baik kerana ia mengelakkan perbalahan dan perdebatan yang mungkin meretakkan hubungan dan persahabatan dikalangan umat Islam. Amalan ini menghindarkan penyebaran maklumat salah dan khabar angin yang boleh mengakibatkan hilang kepercayaan dan meruntuhkan asas ukhuwwah (persaudaraan) dalam masyarakat kita.

“Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.” Surah An-Nahl ayat 43

Dalam isu imunisasi, pakar-pakarnya ialah ahli vaksinologi dan ahli imunologi dalam bidang perubatan. Umat Islam bertanggungjawab mendapatkan pendapat pakar-pakar ini jika mereka ingin memahami imunisasi.

“Allah-lah yang menciptakan tujuh langit dan seperti itu pula bumi. Perintah Allah berlaku padanya, agar kamu mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu, dan sesungguhnya Allah ilmu-Nya benar-benar meliputi segala sesuatu.” Surah At Thalaq ayat 12

Dalam bidang sains, ilmu pengetahuan diasaskan pada kajian mendalam. Hasil kajian dihantar untuk diterbitkan dalam bentuk jurnal yang dinilai pakar dalam bidang yang sama untuk mendapatkan penelitian dan kritikan sains yang lebih luas, samada dengan mengulangi kajian tersebut atau menjalankan kajian lain untuk menentukan kemungkinan hasil yang sama atau berlainan.

“Umat Islam bertanggungjawab mendapatkan pendapat pakar-pakar ini jika mereka ingin memahami imunisasi.”

Tradisi ilmu sains adalah sama seperti tradisi metodologi Islam tentang ilmu pengetahuan dimana hujah dan sebab mesti berdasarkan sumber yang sahih. Contohnya dalam penilaian hadis, kita mempunyai tatatingkat sahih (sangat bagus), hassan (bagus), dhaif (lemah) atau maudhu (palsu).

Inilah turut menjadi asas kepada sains imunisasi. Walaupun amalan tersebut dianggap mantap berdasarkan fakta sains yang kukuh, ia masih terbuka kepada sebarang kritikan dan perbahasan bagi para doktor dan golongan ahli sains untuk meningkatkan amalan tersebut dan mengelakkan atau mengurangkan sebarang risiko. Amalan ini memastikan sebarang rawatan atau intervensi perubatan selamat untuk diberikan kepada pesakit.

Tidak dinafikan imunisasi mungkin membawa kesan sampingan dan ianya dijelaskan kepada orang ramai. Pakar perubatan sentiasa berusaha untuk mengurangkan kesan sampingan ini dan ia tidak sepatutnya dijadikan sebab untuk menolak imunisasi kerana manfaatnya telah terbukti dan lebih besar berbanding jika tidak mengambil vaksin.

Umat Islam seharusnya menumpu pada perkara yang dapat memperkukuhkan ummah dari terlibat dalam kontroversi yang membabitkan imunisasi.

“Sesiapa yang meninggalkan perbalahan, sedangkan dia dipihak yang benar, nescaya dibinakan untuknya sebuah rumah di sekitar Syurga”. Diriwayatkan oleh Abu Daud, disahkan sahih oleh Al-Bani.

Bagaimana pula jika seseorang itu tidak berpengetahuan dalam sesuatu perkara dan dia mengelakkan diri daripada perdebatan mengenainya? Ini adalah lebih mulia di sisi masyarakat kerana ia mengelakkan perselisihan faham dan perpecahan.

Dan apabila mereka mendengar perkataan yang sia-sia, mereka berpaling daripadanya sambil berkata: “Bagi kami amal kami dan bagi kamu pula amal kamu; selamat tinggallah kamu; kami tidak ingin berdamping dengan orang-orang yang jahil”. Surah Al Qasas ayat 55

Sesungguhnya, wajib bagi kita menjauhkan diri dari sebarang wacana yang boleh membawa perbalahan dan perpecahan dalam masyarakat, apatah lagi bagi mereka yang menyertainya tanpa pengetahuan yang mendalam.

“Barangsiapa yang percaya kepada Allah dan Hari Kiamat, dia sepatutnya hanya berkata apa yang benar atau berdiam diri.” Diriwayatkan oleh Al Bukhari dan Muslim

Kita tidak perlu membincangkan dengan panjang lebar tentang perdebatan ini. Sebaiknya kita biarkan ulama dan pakar untuk membuat kajian tentang perkara ini. Hasil kajian mereka harus menjadi asas kepada pengetahuan dan amalan kita tentang imunisasi.