Imunisasi Dari Perspektif Maqasid Shari’ah

Maqasid Shari’ah ialah objektif tertinggi dan hikmah yang di hasratkan oleh perundangan Islam. Sebagai petunjuk yang benar dan tulen dalam seluruh bidang perundangan Islam, Maqasid Shari’ah mentakrifkan matlamat utama pengalaman hidup seseorang serta kehidupan bermasyarakat diperingkat kebangsaan dan antarabangsa.

Maqasid Shari’ah boleh dibahagikan kepada dua, iaitu: menganjurkan kebaikan dan manfaat bersama (jalb al-masalih) dan mencegah dan memelihara daripada keburukan (dar’ al-mafasid).

Kejayaan kehidupan manusia dapat dilihat dari kesejahteraan masyarakatnya yang dipelihara dan dilindungi secara menyeluruh terhadap lima perkara penting, iaitu: akhlak dan kepercayaan (deen), kehidupan (nafs), intelek (‘aql), keturunan (nasl) dan kekayaan (mal) (rujuk Al-Quran 2:189; 3:130; 3:200; 5:35; 5:100; 24:31; 28:67; 24:51).  

Tiga dari tunggak utama Maqasid Shari’ah adalah berkaitan langsung dengan kesihatan, sementara yang pertama (akhlak dan kepercayaan) dan kelima (kekayaan) tidak secara langsung tetapi mempunyai kaitan rapat.

“Kejayaan kehidupan manusia dapat dilihat dari kesejahteraan masyarakatnya yang dipelihara dan dilindungi secara menyeluruh terhadap lima perkara penting.”

Ini menunjukkan bahawa dalam dunia perubatan dan kesihatan, sebarang program perubatan mesti menuju ke arah kehidupan yang sihat dan bermoral, menghalang kematian awal dan pramatang, melindungi dari kecacatan fizikal dan mental, menggalakkan perkembangan keturunan manusia dan menjimatkan ekonomi negara.

Allah berfirman dalam Surah Al-Maidah; 5:32

“Bahwa: barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain , atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya . Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.”

Terkandung dalam Maqasid Shari’ah ialah beberapa prinsip utama berkaitan dengan perubatan dan kesihatan. Ini termasuk konsep:

  1. Adlwa-Ihsan (keadilan dengan saksama dan belas kasihan)
  2. Islah (transformasi berterusan kearah kesejahteraan masyarakat)
  3. La Darara Wala Dirara (tidak melakukan kerosakan dan menganjurkan kebajikan)
  4. Amanah (otonomi atau hak individu) dan Maslahah ammah (kepentingan dan manfaat orang ramai)

Keadilan dengan saksama dan belas kasihan dinyatakan dalam ayat Al-Quran yang memerintahkan kita berlaku adl dan ihsan didalam semua aspek kehidupan manusia (Al-Quran 16-90)

Ke arah mengutarakan kesaksamaan dalam pemeliharaan kesihatan kanak-kanak sedunia, jika semua vaksin asas dalam program EPI dan vaksin baru dapat diberikan kepada negara sedang membangun, lebih banyak nyawa boleh diselamatkan dan kecacatan dihindari.

Usaha-usaha (islah) oleh agensi kesihatan sedunia untuk mencegah penyakit berjangkit telah membawa kepada pembasmian penyakit smallpox pada tahun 1980. Dunia sekarang boleh dikatakan bebas dari polio, melainkan di dua buah negara sahaja.WHO sedang mempertingkatkan strategi ke arah menghapuskan demam campak dan sindrom rubella kongenital.

Sebagai ahli profesional perubatan dan kesihatan (HCP), kita mesti sentiasa mengambil langkah proaktif untuk meingkatkan kesihatan masyarakat dan menghindari dari perkara-perkara yang boleh memudaratkan.

“Usaha-usaha (islah) oleh agensi kesihatan sedunia untuk mencegah penyakit berjangkit telah membawa kepada pembasmian penyakit smallpox pada tahun 1980.”

Sebarang intervensi perubatan sudah pasti mempunyai risikonya yang tersendiri. Kesan sampingan daripada proses imunisasi amat kecil jika dibandingkan dengan kebaikan yang dinikmati oleh individu, masyarakat dan ekonomi negara dari Program Imunisasi Global (EPI) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

Tidak mengambil vaksin kerana khuatir mendapat kesan sampigan adalah suatu tindakan yang tidak rasional dan dangkal. Tindakan ini menpunyai risiko nya yang lebih merbahaya seperti peningkatan wabak penyakit,, risiko dimasukkan ke hospital , keperluan mengguna ubat yang mahal, risiko kematian dan peningkatan kecacatan fizikal dan mental.

Pakar perubatan mungkin mempunyai pengetahuan yang lebih luas tentang penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin. Namun begitu, prinsip otonomi (amanah) seperti termaktub dalam usul fiqh menghormati dan menghargai hak individu (atau ibubapa atau penjaga yang sah) sebagai orang yang membuat pilihan di mana mereka akan dipertanggungjawabkan di atas pilihan mereka.

Perkara ini pelu dipertimbangkan dalam konteks kepentingan dan maslahah (kebaikan) masyarakat yang lebih luas. Ini dijelaskan dengan ungkapan prinsip perundangan Islam (al-Qawa’id al- Fiqhiyyah) yang menyatakan; “hak individu mungkin terpaksa dikorbankan untuk melindungi kepentingan ramai.” Berdasarkan prinsip ini program imunisasi global yang telah terbukti berkesan dalam memelihara kesihatan orang ramai mengatasi kepentingan hak individu.

Kaedah maqasid shari’ah dalam menilai isu-isu kesihatan merupakan suatu pendekatan yang menyeluruh, holistik dan universal.Dengan mengamati penilaian maqasid, kita dapati bahawa Program Imunisasi Global terbukti selamat, berkesan dan mengurangkan kos didalam rangka menyelamatkan nyawa kanak-kanak di seluruh dunia.

Kita tidak boleh mudah percaya atau terpengaruh dengan kumpulan tidak bertanggungjawab yang menyebarkan khabar angin di media bahawa imunisasi memudaratkan dan tidak berkesan.