Skip to content

Laman Utama » Vaksinasi Dewasa » Vaksinasi untuk Ibu Bapa, Pengasuh dan Ibu Mengandung

Vaksinasi untuk Ibu Bapa, Pengasuh dan Ibu Mengandung

Sebagai ibu bapa, datuk nenek, atau pengasuh, kita boleh menjadi punca jangkitan penyakit kepada bayi. Oleh itu, dapatkan imunisasi dan lindungi diri anda untuk melindungi anak, cucu dan bayi dibawah jagaan anda.

JIKA SAYANGKAN ANAK ANDA, DAPATKAN VAKSIN!

Sebagai ibu bapa atau penjaga, anda boleh melindungi anak anda dari penyakit merbahaya dengan mendapatkan vaksinasi yang bersesuaian untuk diri anda sendiri.

Selepas seharian di tempat kerja, anda pasti tidak sabar untuk pulang ke rumah dan bermain dengan anak anda. Tetapi tunggu sebentar! Mungkinkah anda telah mendedahkan anak tersayang kepada kuman yang anda bawa pulang tanpa disedari?

Sebagai ibu bapa, kita akan melakukan apa sahaja untuk memastikan anak-anak kita sihat dan selamat. Namun, sudahkah kita mendapatkan vaksinasi untuk melindungi diri sendiri dari penyakit berjangkit supaya tidak menyebarkannya kepada anak-anak kita?

Kita mungkin terdedah kepada pelbagai penyakit cegahan vaksin ketika di tempat kerja, mengembara, melalui pilihan gaya hidup dan aktiviti, malah apa yang kita makan dan minum. Akibatnya, kita menjadi sumber kepada pelbagai jangkitan termasuklah influenza, difteria, batuk kokol, cacar air, kayap, campak, Hepatitis A dan B, dan penyakit pneumokokus.

Kita menghadapi risiko menyebarkan penyakit-penyakit ini kepada anak-anak kita. Walaupun tidak keluar dari rumah, mereka masih boleh jatuh sakit.

Vaksinasi sekeluarga bermula dengan anda, sama ada sebagai ibu bapa atau penjaga kanak-kanak. Sebagai ibu bapa, anda juga perlu memastikan bahawa datuk, nenek, pembantu rumah dan penjaga di dalam keluarga anda turut mendapatkan suntikan yang penting ini.

Penjaga kanak-kanak bertanggungjawab untuk melindungi kesihatan dan keselamatan kanak-kanak yang dijaga. Jangan lupa bahawa pembantu rumah anda juga perlu mendapatkan vaksinasi bagi orang dewasa.

Suntikan bukan hanya untuk kanak-kanak

Bukan bayi dan kanak-kanak sahaja yang memerlukan vaksinasi. Malah, orang dewasa yang tidak mendapat vaksinasi atau suntikan penggalak semasa kecil juga boleh dijangkiti dan menyebarkan sesetengah “penyakit zaman kanak-kanak”, seperti difteria, batuk kokol, cacar air (chickenpox) dan rubela. Empat kumpulan berikut memainkan peranan yang penting dalam memberi perlindungan kanak-kanak: bakal ibu bapa, ibu bapa, datuk nenek dan penjaga kanak-kanak.

Untuk wanita merancang untuk memulakan keluarga

Bakal ibu boleh mendapatkan vaksin tertentu lebih awal sebelum hamil. Vaksin pertama adalah vaksin kombinasi MMR yang melindungi ibu daripada penyakit campak, beguk dan rubela. Wanita boleh mendapatkan vaksin ini sekurang-kurangnya sebulan sebelum hamil.

Bayi yang terdedah kepada demam campak boleh mendapat pneumonia atau kerosakan otak, manakala beguk boleh membawa kepada pekak, kemandulan atau meningitis. Rubela pula boleh menyebabkan kecacatan pada bayi baru lahir atau keguguran.

Vaksin kedua adalah vaksin cacar air, yang juga boleh diberikan sebulan sebelum hamil. Jika cacar air menjangkiti bayi yang baru lahir, ia boleh mengakibatkan ensefelitis (radang otak), pneumonia atau komplikasi pendarahan.

Bagi wanita hamil

Vaksin kombinasi Tdap, yang melindungi daripada penyakit tetanus, difteria dan pertusis, boleh diberikan apabila ibu sedang hamil.

Tetanus pada bayi (tetanus neonatal) boleh menyebabkan kekejangan otot yang teruk, manakala difteria membawa kepada masalah pernafasan dan kegagalan jantung. Vaksin tetanus toksoid boleh diberikan sewaktu tempoh kehamilan. Pertusis atau batuk kokol boleh menyebabkan pneumonia, sawan atau kerosakan otak.

Ibu yang hamil juga perlu mendapatkan vaksin untuk influenza. Flu berbeza daripada demam selesema biasa dan merbahaya terutamanya kepada kanak-kanak di bawah usia lima tahun. Flu boleh mengakibatkan komplikasi yang serius seperti pneumonia, serta kerosakan jantung, otak atau otot.

Kajian mendapati bahawa suntikan flu yang diberikan kepada ibu sewaktu tempoh kehamilan boleh melindungi bayi baru lahir daripada flu selama kira-kira lapan minggu selepas kelahiran. Ini penting kerana vaksin flu tidak boleh diberikan kepada bayi di bawah usia enam bulan.

Untuk ibu bapa dan penjaga kanak-kanak

Ibu, bapa dan ahli keluarga lain yang menjaga kanak-kanak perlu tahu bahawa bayi dibawah umur 6 bulan sangat mudah dijangkiti kuman disebabkan sistem imun yang belum matang.

Selain ibu, ahli keluarga lain yang berhubung dengan bayi dan kanak-kanak juga perlu mendapatkan vaksinasi tertentu.

Bapa, datuk, nenek dan semua individu lain yang menjaga bayi perlu juga mendapatkan suntikan vaksin terhadap tetanus,difteria dan batuk kokol (vaksin kombinasi Tdap) dan influenza. Dalam kes influenza, ahli keluarga perlu mendapatkan vaksin setiap tahun kerana virus flu sentiasa bermutasi.

Orang dewasa yang tidak mendapat vaksin polio semasa kecil juga perlu mendapatkan vaksin ini kerana banyak negara di seluruh dunia masih mengalami wabak polio.

Vaksinasi tanda sayang

Kita ingin melindungi anak-anak kita dari semua jenis bahaya di luar rumah. Ingatlah bahawa kita perlu melindungi diri sendiri terlebih dahulu supaya boleh memberikan persekitaran yang sihat dan selamat untuk mereka membesar.

Dapatkan suntikan vaksin hari ini dan pastikan kesemua penyakit yang boleh membawa maut ini tidak akan menjangkiti anak anda.

Artikel sumbangan program ‘Vaxin Check For Adults’ oleh Persatuan Penyakit Berjangkit & Kemoterapi Malaysia, dengan kerjasama Immunise4Life.

Tentang Immunise4Life
Hubungi Kami
Direktori Klinik
Dasar Privasi
Terma Penggunaan
Penafian

Sekretariat Immunise4Life
Ultra Works Sdn Bhd
23-5, Block B, the Suites, Jaya One,
72A, Jalan Universiti,
46200 Petaling Jaya, Selangor.

© Immunise4Life, 2021
Reka bentuk oleh Ultra Works Sdn Bhd