
Laman Utama » Yakini Vaksin » Vaksinasi Dibolehkan Dalam Islam
Vaksinasi Dibolehkan Dalam Islam

Proses penghasilan vaksin polio (titisan) dan rotavirus melibatkan sejumlah kecil trypsin yang kemudiannya dikeluarkan semasa proses penapisan ultra. Keadaan ini telah menimbulkan rasa was-was di kalangan kebanyakan umat Islam sehingga terdapat segilintir ibubapa dan pakar perubatan Islam mengelakkan diri dari mengambil vaksin ini, malah semua vaksin secara amnya.
Mengenai hukum menggunakan bahan yang dilarang dalam rawatan perubatan, jumhur ulama berpendapat adalah harus dengan meletakkan beberapa syarat tertentu, iaitu:
- Tidak terdapat ubat alternatif yang dibuat dari bahan halal
- Penggunaannya disyorkan oleh doktor pakar berwibawa yang berpendapat ubat tersebut mesti digunakan dan tiada lagi ubat alternatif
Maqasid as-Shari’ah menyatakan bahawa pemeliharaan nyawa merupakan asas kedua keutamaan Shari’ah selepas mempertahankan Agama. Nyawa manusia adalah anugerah Allah (swt), oleh itu, amat penting untuk melindungi dan mensejahterakannya.
Satu peristiwa di zaman Rasulullah (saw) yang diriwayatkan oleh Iman Nasai, di mana ‘Arfajah bin As’ad yang terputus hidungnya ketika peperangan Kilab telah memperbaiki hidungnya dengan perak. Apabila diketahuinya, Rasulullah (saw) telah mengarahkannya agar menggunakan emas sebagai ganti. (Sunan Nasai, Jilid 8 mukasurat 142)
Sahabat Rasulullah, Anas bin Malik (ra) berkata yang Rasulullah (saw) pernah memberi kelonggaran kepada Abdurrahman bin Auf dan Zubair bin Awwam untuk menggunakan baju sutera kerana mengalami penyakit kulit.(Sunan Nasai, jilid 8 mukasurat 178)
Emas dan sutera diharamkan untuk kaum lelaki tetapi kelonggaran diberikan untuk tujuan rawatan. Kebenaran ini bukan hanya untuk para sahabat tetapi ia adalah konsep umum untuk semua umat Islam dalam keadaan darurat.
Bagaimana pula dengan ubat moden yang mengandungi alkohol atau bahan terlarang yang lain dalam bentuk pejal atau cecair? Hukumnya adalah seperti berikut:
1. Jika tiada alternatif:
Diharuskan sekiranya tiada pilihan lain selain dari ubat yang bercampur dengan bahan haram.
2. Jika terdapat alternatif:
Sekiranya ada ubat alternatif yang bebas dari bahan haram, tetapi jika ubat tersebut sukar diperolehi, harga terlalu mahal, atau ubat tersebut diperlukan tetapi belum sampai ke tahap darurat, hukumnya adalah:
Jika bahan haram dicampurkan tetapi sifat, rasa atau bau bahan terlarang tersebut hilang, maka penggunaan ubat terbabit dibenarkan.
“Emas dan sutera diharamkan untuk kaum lelaki tetapi kelonggaran diberikan untuk tujuan rawatan.”
Imam al-Kaasaniy menjelaskan tentang penggunaan bahan haram yang telah mengalami “istihalah” (transformasi). Istihalah adalah konsep di mana bahan haram telah berubah sama sekali setelah mengalami perubahan fizikal dan kimia.
Imam Ibnul Qayyim menambah: “Allah telah membezakan antara yang halal dan yang haram. Hukum ini tidak hanya terletak pada bentuk fizikalnya sahaja tetapi juga bahan yang terkandung di dalamnya (pada masa tersebut). Sesuatu bahan tersebut tidak boleh dijatuhkan hukum sebagai najis (kotor dan haram) jika sifat najisnya telah hilang dan bertukar kepada bahan atau nama yang berlainan.” (I’lamul muwaqqin ‘an rabbil ‘alamin oleh Imam Ibnul Qayim, jilid 1 mukasurat 298.)
Kesimpulannya, jika bahan yang dianggap najis, khabait (buruk atau keji) dan semua bahan terlarang yang dicampur dengan ubat yang halal, atau apabila ia dididih, diproses atau dihidrolisis dan transformasi telah merubah sifat, rasa dan baunya, ubat tersebut dikategorikan sebagai mubah (dibenarkan) dan boleh digunakan untuk tujuan rawatan.
Jika bahan haram tidak berubah sepenuhnya atau masih terdapat sejumlah besar dalam bentuk asalnya seperti kuantiti atau keadaan tidak larut, hukumnya ialah sama seperti menggunakan bahan haram untuk perubatan:
- Dibenarkan jika ubat tersebut amat diperlukan
- Jika tiada pilihan ubat alternatif lain
- Disyorkan oleh pakar perubatan yang dipercayai