Skip to content

Laman Utama » Vaksinasi Dewasa » Vaksinasi dan Nikmati Usia Emas Anda

Vaksinasi dan Nikmati Usia Emas Anda

Adakah anda ingin berasa bahagia dan menikmati usia emas? Adakah anda mahu terus melakukan perkara yang anda gemari? Mahu meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga dan rakan-rakan? Jika jawapan anda adalah Ya, jangan lupa untuk dapatkan imunisasi terhadap empat jenis penyakit utama dan jalanilah kehidupan sihat yang anda patut miliki.

WARGA EMAS, JANGAN BIARKAN PENYAKIT BERJANGKIT MELEMAHKAN ANDA

Nikmati hidup di usia 60-an dan seterusnya! Kekal sihat dengan mendapatkan vaksin untuk jangkitan-jangkitan lazim.

Apabila meningkat usia, kita mempunyai kebijaksanaan dan pengalaman untuk menyedari bahawa kesihatan dan kegembiraan adalah perkara yang paling penting dalam kehidupan.

Waktu untuk mengejar kemewahan harta benda dan peningkatan kerjaya sudah berlalu. Kini, kita menggunakan tenaga yang ada untuk kekal sihat dan cergas.
Untuk menikmati hidup selepas persaraan, kita perlu menjaga kesihatan dengan menjaga pemakanan, bersenam, mendapat tidur yang mencukupi dan menjalani pemeriksaan berkala.

Namun, tidak dinafikan apabila mencapai usia 60-an, sistem imun kita mula menjadi lemah. Ini meningkatkan risiko jangkitan yang boleh menyebabkan penyakit yang serius dan komplikasi yang berlanjutan pada usia tersebut.

Vaksinasi adalah perlindungan yang terbaik daripada jangkitan-jangkitan ini. Terdapat empat vaksin yang penting bagi mereka dalam linkungan 50 tahun keatas. Vaksin tersebut adalah vaksin influenza, pneumokokus, zoster dan pertusis.

Elakkan dari dijangkiti flu

Vaksin yang pertama adalah vaksin influenza yang memberi perlindungan daripada flu bermusim.Influenza atau flu tidak sama seperti demam selesema, walaupun kedua-duanya berkongsi simptom yang serupa seperti demam, batuk, sakit tekak dan hidung berair. Flu boleh membawa kepada penyakit dan komplikasi yang lebih merbahaya seperti pneumonia, dan kerosakan jantung, otak atau otot.

Mereka yang berusia melebihi 65 tahun berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi flu yang serius, dengan antara 70% hingga 85% kematian berkait dengan flu berlaku di kalangan warga emas.

Virus flu sentiasa bermutasi, jadi anda perlu mendapatkan vaksinasi flu setiap tahun, sebaik-baiknya semasa pemeriksaan kesihatan tahunan.

Cegah penyakit pneumokokus

Anda hanya memerlukan satu suntikan untuk mencegah penyakit pneumokokus yang disebabkan oleh bakteria Streptococcus pneumoniae. Ia adalah satu penyebab utama kematian di kalangan warga emas. Jangkitan bakteria ini boleh membawa kepada pneumonia, septisemia (jangkitan dalam darah) dan meningitis (radang pada selaput otak dan saraf tunjang).

Warga emas bukan sahaja lebih cenderung untuk dijangkiti penyakit pneumokokus, mereka juga berisiko tinggi maut akibat penyakit ini.

Orang dewasa yang lebih berusia juga mudah dijangkiti jika mereka menghidap kencing manis, penyakit jantung atau penyakit kronik paru-paru dan hati.

Cegah Kayap

Kayap adalah sejenis jangkitan virus menyakitkan yang menjangkiti satu daripada lima individu berusia lebih 50 tahun. Jika anda pernah menghidap cacar air (chickenpox/varicella), anda berisiko menghidap kayap (atau zoster) kerana kedua-duanya berpunca dari virus varicella zoster (VZV), yang boleh terus kekal di dalam tubuh dalam keadaan tidak aktif selepas anda sembuh dari cacar air.

Salah satu komplikasi kayap adalah post-herpetic neuralgia yang menyebabkan rasa pedih sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun selepas ruam dan bintik air telah hilang. Walaupun kayap jarang mengancam nyawa, rasa sakit yang berpanjangan dan rawatan yang mahal sangat membebankan.

Apa yang paling membimbangkan adalah anda boleh dijangkiti kayap lebih daripada sekali. Oleh itu, cara yang paling baik untuk melindungi diri anda adalah dengan mendapatkan vaksinasi zoster.

Lindungi cucu-cucu anda dari batuk kokol (pertusis)

Sambil anda membantu menjaga cucu, cuba fikirkan tentang penyakit yang boleh anda sebarkan kepada mereka. Salah satu daripadanya adalah pertusis atau batuk kokol, sejenis penyakit sistem pernafasan bakteria yang sangat mudah berjangkit.

Pertusis boleh membawa kesan yang sangat merbahaya kepada bayi dan kanak-kanak yang masih terlalu muda untuk diberikan vaksinasi, kerana ia boleh menyebabkan pneumonia, kesukaran bernafas, malah maut. Vaksin pertusis terdapat dalam vaksin kombinasi Tdap yang boleh mencegah orang dewasa daripada menyebarkan jangkitan tetanus, pertusis dan difteria.

Elakkan diri dari menjadi beban kepada orang lain

Di usia ini, anda pasti tidak mahu melihat dunia dari katil hospital.

Namun, ini boleh berlaku jika anda menjadi mangsa kepada penyakit-penyakit cegahan vaksin diatas. Ia biasanya bermula sebagai jangkitan biasa tetapi boleh menyebabkan komplikasi jangka panjang, dimasukkan ke hospital untuk tempoh yang lama dan rawatan perubatan yang mahal.

Elakkan dari menjadi beban kepada keluarga dan komuniti anda, kekal sihat dengan mendapatkan vaksin untuk diri anda.

Artikel sumbangan program ‘Vaxin Check For Adults’ oleh Persatuan Penyakit Berjangkit & Kemoterapi Malaysia, dengan kerjasama Immunise4Life.

Tentang Immunise4Life
Hubungi Kami
Direktori Klinik
Dasar Privasi
Terma Penggunaan
Penafian

Sekretariat Immunise4Life
Ultra Works Sdn Bhd
23-5, Block B, the Suites, Jaya One,
72A, Jalan Universiti,
46200 Petaling Jaya, Selangor.

© Immunise4Life, 2021
Reka bentuk oleh Ultra Works Sdn Bhd