
Home » Vaksinasi Dewasa » Rakyat Malaysia Masih Sambil Lewa Terhadap Suntikan Influenza Walaupun Sedar Akan Kepentingannya
Rakyat Malaysia Masih Sambil Lewa Terhadap Suntikan Influenza Walaupun Sedar Akan Kepentingannya
Ramai yang sedar akan kepentingan menjaga kesihatan, namun malangnya tindakan yang diambil masih tidak seiring dengan kesedaran tersebut. Walaupun suntikan influenza tahunan terbukti berkesan mencegah penyakit serius dan komplikasi berbahaya, kadar vaksinasi dalam kalangan golongan berisiko tinggi terutamanya warga emas dan penghidap penyakit kronik, masih berada pada tahap yang amat rendah.
Menurut satu tinjauan kebangsaan pada tahun 2025[i] melibatkan 672 warga emas (60 tahun ke atas), yang dijalankan secara kolaboratif oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, Malaysian Influenza Working Group (MIWG) dan universiti terkemuka, 74% responden sedar tentang bahayanya influenza dan 76% mempunyai pandangan positif terhadap vaksinasi. Namun realitinya, hanya 29% sahaja yang pernah mengambil vaksin, dan hanya separuh daripada jumlah kecil itu yang konsisten mendapatkannya setiap tahun.
Sempena Hari Imunisasi Kebangsaan yang disambut pada 7 Mei 2026, golongan dewasa Malaysia diseru untuk tidak lagi bertangguh dan mula mengutamakan kesihatan diri melalui vaksinasi influenza.
Orang ramai boleh mendapatkan suntikan ini di klinik-klinik swasta (GP) dan hospital swasta.
Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menawarkan vaksinasi influenza kepada golongan sasar yang layak di klinik dan hospital terpilih, iaitu individu berumur 50 tahun ke atas yang mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit kronik dan warga emas berumur 60 tahun ke atas, tanpa mengira status kesihatan.
Orang ramai boleh menyemak ketersediaan stok vaksin di fasiliti kerajaan atau membuat tempahan janji temu melalui aplikasi MySejahtera.
Mengapa Vaksinasi Influenza Itu Penting?
Profesor Dr Zamberi Sekawi, Presiden Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia (MSIDC), menegaskan bahawa vaksinasi adalah benteng pertahanan utama buat golongan berisiko.
“Di Malaysia, influenza tidak mengikut musim tertentu seperti di negara beriklim sejuk; ia menular sepanjang tahun. Ini menjadikan vaksinasi tahunan jauh lebih kritikal untuk mengurangkan risiko jangkitan dan kemasukan ke hospital,” jelas beliau.
Ancaman Tersembunyi Untuk Penghidap Penyakit Kronik (NCD)
Profesor Dr Roslina Manap, Pengerusi Yayasan Paru-Paru Malaysia, turut menekankan bahawa vaksinasi influenza amat penting memandangkan ramai dewasa di Malaysia kini hidup dengan penyakit tidak berjangkit (NCD).
Data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025[ii] menunjukkan 68% warga emas berumur 60 tahun ke atas menghidap sekurang-kurangnya dua penyakit tidak berjangkit (NCD), manakala kira-kira 30% menghidap ketiga-tiga penyakit utama: kencing manis, darah tinggi, dan kolesterol tinggi.
“Keadaan ini meletakkan mereka pada risiko yang jauh lebih tinggi. Sebagai contoh, pesakit jantung menghadapi risiko kematian berkaitan influenza sehingga lima kali lebih tinggi, manakala penghidap diabetes tiga kali lebih berisiko maut. Sebab itu, ramai pakar menasihati supaya vaksinasi dianggap sebagai sebahagian daripada pengurusan rutin penyakit kronik, bukannya pilihan tambahan,” tegas beliau.
Melindungi Kualiti Hidup Warga Emas
Sejajar dengan status Malaysia yang bakal diunjur menjadi negara tua, perlindungan terhadap warga emas menjadi semakin penting. Profesor Tan Maw Pin, Mantan Presiden Persatuan Perubatan Geriatrik Malaysia (MSGM), menjelaskan bahawa faktor usia melemahkan sistem imun, menyebabkan warga emas lebih sukar untuk sembuh.
Data daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)[iii] menunjukkan satu daripada tiga warga emas (65 tahun ke atas) yang dijangkiti influenza mengalami kesan buruk, sama ada dimasukkan ke ICU atau meninggal dunia dalam tempoh setahun akibat komplikasi.
“Jangkitan serius bukan sahaja menjejaskan fizikal, malah mengganggu emosi dan kewangan. Vaksinasi tahunan adalah langkah paling mudah dan ‘baik’ untuk mengekalkan kekuatan serta kualiti hidup mereka,” kata beliau.
Beliau turut meluahkan harapan agar akses kepada vaksinasi influenza terus diperluaskan kepada semua warga emas di masa hadapan, sambil menyifatkannya sebagai satu pelaburan bermakna untuk kesihatan dan kesejahteraan jangka panjang.
Kempen ini merupakan usaha bersama oleh Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia (MSIDC) dengan kerjasama Malaysian Medical Association Foundation-Infectious Diseases Fund (MMAF-IDF). Untuk maklumat lanjut dan sumber mengenai perlindungan warga emas daripada influenza, layari laman web Act of Love (AOL) di http://actoflove.ifl.my.
Rujukan:
Kassim MSA, Sutan R, Harrun NH, Daud F, Noordin Merican N, Abidin SIZ, Bee Kiau H, Radzi AM, Thiagarajan N, Ishak N, Chai Li T, Abdul Rashid R, Ahip SS, Talib NH, Buang SN, Ahmad NA, Sekawi Z, Maw Pin T. Challenges in Integrating Influenza Vaccination Among Older People in National Immunisation Program: A Population-Based, Cross-Sectional Study on Knowledge, Attitudes, Practices, and Acceptance of a Free Annual Program. Vaccines (Basel). 2025 Jun 12;13(6):636. doi: 10.3390/vaccines13060636. PMID: 40573966; PMCID: PMC12197692.
Institute for Public Health. (2026). National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2025: Older persons health – Key findings. National Institutes of Health, Ministry of Health Malaysia. https://iku.nih.gov.my/nhms2025
Malaysian Society of Infectious Diseases and Chemotherapy (MSIDC), Malaysian Society of Geriatric Medicine (MSGM), Sekawi, Z., Manap, R. A., Razali, R. M., Mahadzir, H., Nordin, N., Chai, K. K., Li, W. P., Hasmuk, K., Harrun, N. H., Mokhtar, S. A., & Pin, T. M. (2023). GUIDELINES FOR THE PREVENTION OF INFLUENZA IN OLDER PERSONS.
PERTANYAAN MEDIA:
sila hubungi secretariat@adultimmunisation.my atau Cik Farah Ezleen @ tel: +6013 580 2581.
