
Laman Utama » Vaksinasi Kanak-Kanak » Kepentingan Imunisasi Kepada Kanak-kanak
Kepentingan Imunisasi Kepada Kanak-Kanak

Pada masa kini, masih banyak lagi penyakit yang wujud walaupun kita mempunyai sistem penjagaan kesihatan dan tahap kebersihan yang lebih baik berbanding dahulu. Penjagaan kesihatan dan kebersihan yang baik sememangnya dapat membantu mengurangkan penyebaran penyakit tetapi ia masih belum mencukupi untuk menghapuskan penyakit sama sekali. Ini kerana kebanyakan penyakit disebarkan dari seseorang kepada orang lain. Kanak-kanak adalah golongan yang sangat mudah terjejas akibat penyakit-penyakit ini.
1. Bayi anda sangat mudah terjejas apabila terkena jangkitan
Bayi anda sangat mudah terjejas apabila dijangkiti penyakit cegahan vaksin kerana sistem imun mereka masih belum berkembang sepenuhnya. Vaksin membantu menguatkan sistem imun anak anda untuk melindungi mereka daripada komplikasi yang boleh membahayakan nyawa. Oleh sebab itu, Program Imunisasi Kebangsaan (jadual imunisasi kanak-kanak) mengesyorkan agar kanak-kanak diberi vaksin semenjak lahir dan seterusnya.
2. Perlindungan melalui susu ibu (imuniti daripada ibu) tidak mencukupi
Bayi yang baru dilahirkan mungkin menerima imuniti terhadap sesetengah penyakit (dalam bentuk antibodi) daripada ibu mereka dalam tempoh beberapa minggu terakhir kandungan, sekiranya ibu mereka pernah dijangkiti penyakit tersebut semasa kecil. Bayi juga menerima antibodi melalui susu ibu. Walau bagaimanapun, imuniti daripada ibu hanya melindungi bayi terhadap penyakit yang mana ibu turut mempunyai pertahanan terhadapnya dan boleh bertahan dalam masa 9 bulan. Apabila imuniti semakin berkurangan, bayi akan turut berisiko untuk dijangkiti penyakit.
Apakah imuniti daripada ibu?
Ibu mampu untuk memindahkan antibodi-antibodi yang mereka perolehi kepada anak yang baru lahir melalui pemindahan plasenta dan susu ibu. Namun, imuniti ini hanya bersifat sementara kerana antibodi tersebut adalah diberi dan bukan dihasilkan sendiri oleh tubuh.
3. Imuniti melalui jangkitan semulajadi adalah berbahaya. Badan kanak-kanak selalunya tidak boleh melawan penyakit ini.
Untuk membentuk imuniti semulajadi terhadap suatu penyakit, anak anda perlu mendapat penyakit dan sembuh daripadanya. Hal ini akan meletakkan anak anda dalam risiko akibat komplikasi yang boleh membahayakan nyawa. Pemberian imunisasi kepada kanak-kanak menawarkan perlindungan yang sama seperti imuniti semulajadi, tanpa anak anda menderita dengan risiko penyakit tersebut.
4. Anak anda masih boleh mendapat jangkitan berbahaya walaupun dia kelihatan sihat dan kuat
Anak anda mungkin aktif dan sedang berlari-lari, menjerit serta bermain. Akan tetapi, tiada jaminan yang kanak-kanak sihat akan selalu bebas daripada penyakit cegahan vaksin yang berbahaya. Penyakit cegahan vaksin boleh menjangkiti sesiapa sahaja. Anak anda boleh dijangkiti tanpa anda sedari. Namun begitu, jika anak anda telah diberi vaksinasi, anak anda akan dilindungi daripada penyakit ini.
5. Imunisasi kanak-kanak adalah cara terbaik untuk melindungi anak.
Selain mengelakkan penyakit, vaksin turut berfungsi baik seiring dengan alat kesihatan global yang lain seperti antibiotik dan penyusuan susu ibu. Kaedah ini selamat, efektif serta melindungi orang tersayang dan masyarakat. Malah, imunisasi kanak-kanak berjaya menyelamatkan kira-kira 2-3 juta kanak-kanak setiap tahun.
6. Imuniti akan berkurangan dari masa ke masa, jadi ingat untuk mengambil dos penggalak.
Imunisasi kanak-kanak memberi imuniti hanya untuk jangka masa tertentu. Oleh itu, suntikan penggalak diperlukan untuk merangsang semula sistem imun. Jika anak anda tidak mendapat dos penggalak pada masanya, perlindungan mereka mungkin berkurangan.
Elakkan daripada menangguhkan imunisasi anak anda!
Vaksin yang berlainan jenis diberikan pada selang waktu yang berbeza bagi membina imuniti dengan selamat. Sekiranya anak anda terlepas temu janji vaksinasi mereka, mereka mungkin berisiko dijangkiti oleh penyakit cegahan vaksin yang boleh mengancam nyawa mereka. Elakkan perkara ini daripada berlaku dengan mengikuti jadual imunisasi mereka. Beritahu doktor / jururawat anda dengan segera dan tetapkan tarikh temu janji yang baharu sekiranya anak anda terlepas temu janji vaksinasi mereka.