Mengapa Vaksinasi Influenza Penting Untuk Jemaah Haji dan Umrah?

Influenza boleh membawa maut[1], usah meremehkannya!

Tahukah anda apa itu influenza? Ramai orang tidak mengambil serius tentang hal ini dan memberi komen-komen seperti,

“Demam selsema biasa sahaja itu.”

“Makan saja ubat eloklah nanti.”

“Rehat cukup-cukup kebahlah demam itu.”

Kata-kata di atas adalah tidak benar sama sekali.

Influenza adalah berbeza berbanding demam selsema biasa, meskipun simptomnya yang hampir sama[2]. Influenza jauh lebih memudaratkan kerana ia boleh mendatangkan pelbagai komplikasi serius seperti radang paru-paru dan jangkitan telinga, bahkan yang lebih teruk lagi boleh menyebabkan kematian[1].

Seramai 93.4% jemaah Malaysia dilaporkan mempunyai simptom penyakit berkaitan saluran pernafasan dan 78.2% daripada mereka memenuhi ciri-ciri penyakit seakan influenza (ILI)[3]. Influenza mudah merebak terutamanya kepada jemaah Haji dan Umrah yang berhimpit-himpit di dalam sesuatu kawasan[4],[5]. Apabila seseorang jemaah yang dijangkiti batuk atau bersin[6], virus influenza boleh tersebar kepada individu-individu yang lain dalam jarak 6 kaki[6].

Jemaah Haji dan Umrah Berisiko Tinggi Dijangkiti Influenza

Semua jemaah Haji dan Umrah berisiko untuk diserang jangkitan influenza. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa golongan individu yang lebih berisiko tinggi untuk dijangkiti influenza dan mendapat komplikasi serius. Golongan ini termasuk individu yang lanjut usia dan yang mempunyai penyakit kronik seperti penyakit diabetes, penyakit jantung dan juga paru-paru[1].

Semasa di Tanah Suci, faktor cuaca panas yang melampau, dahaga, serta kesesakan jemaah Haji atau Umrah semasa beribadah juga memberi tekanan fizikal dan mental yang mencabar kesabaran jemaah[4],[7]. Ini menyebabkan jemaah Haji lebih terdedah kepada komplikasi seperti jangkitan saluran pernafasan akut kerana penurunan kadar tindakbalas sistem imun tubuh[8].

Bagaimana Cara Untuk Mengatasi Penyebaran Influenza?

Antara cara yang utama bagi jemaah Haji dan Umrah untuk melindungi diri daripada jangkitan virus influenza semasa menunaikan ibadah Haji adalah dengan mengambil vaksin[3],[9]. Kajian yang dilakukan dalam kalangan jemaah Haji Malaysia mendapati vaksin influenza adalah 50-60% berkesan untuk mencegah radang paru-paru serta mengelakkan kemasukan ke hospital[4].

Jemaah Haji juga perlu memastikan diri sentiasa dalam keadaan bersih. Hal ini kerana virus influenza boleh hidup pada sesuatu permukaan tempat dalam jangka masa 48 jam[10], maka sekiranya jemaah Haji tidak memastikan permukaan yang tercemar dibersihkan dengan sempurna, sentuhan kepada permukaan tersebut boleh menyebabkan penyebaran virus influenza[6].

Selain itu, jemaah Haji perlu berhati-hati agar tidak terlalu rapat dengan jemaah lain yang jatuh sakit[6]. Jemaah yang sakit berupaya untuk menyebarkan virus influenza secara tidak sengaja sekiranya mereka tidak memakai topeng dan menutup mulut semasa batuk ataupun bersin[4].

Sewaktu musim Haji dan Umrah, jemaah dari seluruh negara akan berkumpul di Tanah Suci lalu boleh membawa pelbahai jenis virus influenza masuk. Hal ini seterusnya boleh menyebarkan jangkitan kepada jemaah lain malah orang di sekeliling mereka apabila mereka pulang ke negara masing-masing[11]. Justeru itu jemaah Haji dan Umrah perlu mengambil langkah penjagaan untuk melindungi diri daripada influenza.

Apakah Peranan Saya Sebagai Jemaah Haji atau Umrah?

Sebagai seorang jemaah Haji atau Umrah yang mengejar keberkatan Illahi disamping ingin mendapatkan ibadah yang diterima Allah swt, suntikan vaksin amat penting untuk membantu menghalang penyebaran virus-virus yang berpotensi membahayakan kesihatan jemaah lain juga. Vaksinasi bukan sahaja membantu untuk melindungi diri anda, malah individu di sekeliling anda.

Artikel ini dihasilkan oleh kempen Imunisasi Haji & Umrah anjuran program Immunise4Life bersama Persatuan Pakar Perubatan Keluarga Malaysia, Persatuan Perubatan Islam Malaysia dan Persatuan Perubatan Malaysia. Disokong oleh Sanofi Pasteur Malaysia.


References:
[1]CDC. (2018). People with high risk of developing flu-related complications. Retrieved May 7, 2018 from https://www.cdc.gov/flu/about/disease/high_risk.htm
[2]CDC (2018). Cold Versus Flu. Retrieved June 7, 2018 from https://www.cdc.gov/flu/about/qa/coldflu.htm
[3]Hashim et al. (2016). The prevalence and preventive measures of the respiratory illness among Malaysian pilgrims in 2013 hajj season. Journal of Travel Medicine. DOI: 10.1093/jtm/tav019
[4]Rahman et al.(2017). Mass Gatherings and Public Health: Case Studies from the Hajj to Mecca. Annals of Global Health. 83(2):386-393.
[5]Koul et al (2016). Influenza not MERS CoV among returning Hajj and Umrah pilgrims with respiratory illness, Kashmir, north India, 2014-15. Travel Medicine and Infectious Disease. doi: 10.1016/j.tmaid.2016.12.002
[6]CDC. (2017). How flu spreads. Retrieved April 30, 2018 from https://www.cdc.gov/flu/about/disease/spread.htm
[7]Parker, S. & Gaines, J. (2017). Saudi Arabia: Hajj/Umrah Pilgrimage. Retrieved April 30, 2018 from https://wwwnc.cdc.gov/travel/yellowbook/2018/select-destinations/saudi-arabia-hajj-umrah-pilgrimage
[8]Shah et al. (2016). Determining the Types of Diseases and Emergency Issues in Pilgrims During Hajj: A Literature Review . International Journal of Advanced Computer Science and Applications. 7(10):86-94.
[9]Charrel R.N., et al. (2015). Influenza vaccine for Hajj and Umrah pilgrims. The Lancet Infectious Diseases. 15(3):P267.
[10]CDC. (2018). Cleaning to prevent the flu. Retrieved May 7, 2018 from https://www.cdc.gov/immigrantrefugeehealth/pdf/seasonal-flu/contamination_cleaning_english_508.pdf
[11]Khan et al. 2010. Global Public Health Implications of a Mass Gathering in Mecca, Saudi Arabia During the Midst of an Influenza Pandemic. Journal of Travel Medicine. 17(2):75-81.

SPMY.TRAV.18.06.0148a (10/18)