Mengapa Jemaah Haji & Umrah Wajib Ambil Vaksin?

Jemaah Haji & Umrah wajar mengetahui mengapa mereka diwajibkan mengambil vaksin meningokokus dan pilihan jenis vaksin yang ada untuk mereka.[1]

Individu yang pernah menunaikan Haji atau Umrah tentu tahu tentang vaksinasi yang wajib diambil bagi kelulusan visa[1]. Tetapi ramai jemaah tidak begitu mengambil tahu tentang kebaikan vaksin ini dan hanya mengambil vaksin sebagai pencukup syarat kelulusan visa.  Ini menyebabkan ada yang memandang remeh dan lebih buruk ada yang cuba memalsukan sijil imunisasi supaya dapat ke tanah suci tanpa mengambil vaksinasi[2].

Jangan Biar Sejarah Berulang

Kerajaan Arab Saudi telah mewajibkan pengambilan vaksin meningokokus kuadrivalen pada Mei 2001 selepas berlakunya wabak penyakit meningokokus di seluruh dunia selama dua tahun berturut-turut yang melibatkan 16 buah negara selepas musim Haji[3]. Wabak tersebut telah menyebabkan kematian dan sakit tenat dikalangan jemaah Haji dan orang di sekeliling mereka[3]. Wabak ini telah mendapat perhatian dunia termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organisation, WHO)[4]. Pengwajiban vaksin meningokokus dilihat sebagai salah satu tindakan pencegahan paling baik kerana ia adalah cara yang efektif untuk menghalang wabak[5].

Mengapa Jemaah Haji & Umrah Perlu Lindungi Daripada Penyakit Meningokokus?

Penyakit meningokokus di dalam bentuk radang otak atau jangkitan bakteria di dalam darah boleh membawa maut atau cacat kekal[6],[7]. Risiko penyebaran jangkitan meningokokus di kalangan jemaah Haji & Umrah di Tanah Suci semasa musim Haji & Umrah adalah tinggi kerana perhimpunan manusia yang begitu ramai dari pelbagai negara di satu tempat[3]. Para jemaah juga boleh menyebarkan jangkitan kepada ahli keluarga pula apabila pulang ke tanah air[3]. Kebiasaan di Malaysia untuk jemaah Haji & Umrah yang pulang mengajak saudara mara dan sahabat handai untuk datang ke rumah bagi majlis kesyukuran juga menyebabkan terdapat risiko jangkitan.  Sudah tentunya para jemaah tidak mahu menjangkiti orang tersayang dengan penyakit yang boleh membawa maut.

Vaksinasi Sebagai Usaha Sebelum Tawakal

Pengambilan vaksinasi adalah salah satu usaha jemaah Haji & Umrah untuk menjaga kesihatan diri dan orang sekeliling mereka[3]. Ia bukan menidakkan kuasa Allah swt, malah mengikut aturan Sunnatullah dimana sebagai umat Islam perlunya usaha sebelum bertawakal[8]. Sekiranya mampu, jemaah juga disarankan untuk bukan sahaja mengambil vaksinasi untuk diri mereka sendiri tetapi juga untuk memberi vaksinasi kepada ahli keluarga mereka. Jemaah Haji boleh berjumpa dengan doktor untuk berbincang dengan lebih lanjut mengenai pengambilan vaksin meningokokus.

Semoga semua yang akan memunaikan ibadah Haji & Umrah akan dapat menyempurnakan ibadah dengan sempurna. Akhir kata, Bawa Pulang Barakah, Elak Mudharat.

Artikel ini dihasilkan oleh kempen Imunisasi Haji & Umrah anjuran program Immunise4Life di bawah seliaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) dan Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi (MSIDC) bersama Persatuan Pakar Perubatan Keluarga Malaysia (FMSA), Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA). Disokong oleh GlaxoSmithKline Malaysia.


Rujukan:
[1]Meningitis Research Foundation. 2017. Vaccination for Hajj and Umrah pilgrims. Retrieved March 19. 2018 from https://www.meningitis.org/meningitis/vaccine-information/vaccination-for-hajj-and-umrah-pilgrims
[2]Rahman, J., Thu, M., Arshad, N., & Der Putten, M. V. (2017). Mass Gatherings and Public Health: Case Studies from the Hajj to Mecca. Annals of Global Health, 83(2), 386.
[3]Shibl, A., Tufenkeji, H., Khalil, M., & Memish, Z. (2013). Consensus recommendation for meningococcal disease prevention for Hajj and Umra pilgrimage/travel medicine. Eastern Mediterranean Health Journal, 19(04), 389-392.
[4]World Health Organization. Department of Communicable Disease Surveillance and Response. (2002). Emergence of W135 meningococcal disease: Report of a WHO consultation, Geneva 17-18 September 2001 (WHO/CDS/CSR/GAR/2002.1). Geneva: World Health Organization, Communicable Disease Surveillance and Response.
[5]Razavi, S. M., Saeednejad, M., & Salamati, P. (2016). Vaccination in Hajj: An overview of the recent findings. International Journal of Preventive Medicine, 7(1), 129.
[6]CDC. (2017, March 28). Meningococcal: Diagnosis and treatment. Retrieved March 30, 2018, from https://www.cdc.gov/meningococcal/about/diagnosis-treatment.html https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmedhealth/PMH0047180/
[7]CDC. (2018, April 9). Meningococcal disease. Retrieved September 3, 2018, from https://www.cdc.gov/meningococcal/index.html
[8]8. Ebrahim, A. F. (2014). Vaccination in the Context of Al-Maqasid Al-Shari`ah : Objectives of Divine Law and Islamic Medical Jurisprudence. Oman Chapter of Arabian Journal of Business and Management Review, 3(10), 44-52.