Makanan Sunnah Bukan Imunisasi

Umat Islam yang mempunyai tanggapan salah terhadap vaksinasi mengatakan ia bertentangan dengan ajaran Rasulullah(saw) kerana jika ia dibenarkan, pasti Rasulullah(saw) turut melakukannya pada zamannya.

Kita lupa bahawa Islam adalah agama pragmatik yang mengajar umatnya untuk belajar, memerhati, berfikir dan menganalisa. Ini menjadikan Islam sebuah agama yang releven dan sesuai hingga akhir zaman. Inilah yang membawa kejayaan kepada Islam dengan penemuan dan ciptaan pada ketika Eropah masih lagi dibelenggu zaman kegelapan yang menyekat pemikiran baru.

Rasulullah (saw) dan para sahabat menggalakkan pengambilan madu, minyak zaitun, kurma dan habattussauda yang kini telah dibuktikan dapat memperkuatkan system imun. Perlindungan yang diberikan oleh makanan kesihatan ini adalah bersifat umum dan tidak khusus terhadap penyakit berjangkit.

Salah satu dari anggapan salah di kalangan umat Islam adalah menganggap tahnik sebagai satu-satunya imunisasi yang diperlukan. Ibn Hajar al-Asqalani(rahimullah) menjelaskan bahawa tahnik ialah proses mengunyah sedikit makanan manis dan menyapunya pada lelangit mulut bayi.

Tahnik biasanya dilakukan dengan tamar (kurma) atau ruthab (kurmabasah). Tetapi jika kedua-duanya tidak dapat diperolehi, ia boleh dilakukan dengan sebarang makanan manis seperti madu.

Ulama menekankan bahawa manfaat tahnik ialah untuk memperkenalkan sesuatu yang manis ke dalam mulut bayi untuk merangsang bayi menghisap dan makan. Syaikh Muhammad Salih al-Munajjid Hafizzhullah dan Imam Nawawi (al-Nawawi, Sharh Sahih Muslim 1/462) menjelaskan tentang hikmah menggunakan tamar supaya makanan pertama yang masuk ke perut bayi ialah sesuatu yang manis.

Tidak terdapat sebarang hadis Rasulullah (saw) yang mengatakan tahnik adalah untuk tujuan imunisasi.

“Ulama menekankan bahawa manfaat tahnik ialah untuk memperkenalkan sesuatu yang manis ke dalam mulut bayi untuk merangsang bayi menghisap dan makan.”

Satu lagi tanggapan salah ialah pendapat bahawa penyusuan ibu sahaja sudah cukup untuk menguatkan sistem imun bayi tanpa vaksinasi. Susu ibu mempunyai IgA, lactoferrin, lysozim, anti-oksidan dan lain-lain bahan anti-jangkitan yang memberikan perlindungan awal terhadap penyakit cirit-birit dan jangkitan pernafasan yang teruk, punca utama kematian di kalangan bayi.

Namun begitu, paras antibodi ini mula menurun dan akhirnya hilang selepas beberapa minggu pertama bayi dilahirkan. Perlindungan anti-jangkitan dalam susu ibu hanya sementara sahaja kerana parasnya menurun mengikut masa.

Susu ibu juga tidak mengandungi antibodi khusus yang menumpukan kepada penyakit berjangkit seperti batuk kering, penyakit kerongkong berjangkit (dipteria), penyakit kancing gigi, penyakit batuk kokol, demam campak, polio, Hib dan rubella.

Contohnya bayi yang hanya mendapat susu ibu sahaja tanpa imunisasi di negara yang mengalami wabak penyakit batuk kokol mempunyai kadar kemasukan hospital yang sama dengan bayi yang minum susu formula. Penyakit batuk kokol menyebabkan pelbagai masalah paru-paru dan otak dan boleh mendatangkan maut kepada bayi kecil.

Manusia lumrahnya suka mencari sesuatu untuk dipersalahkan apabila mereka gagal menghayati sesuatu yang sukar difahami. Imunisasi diguna di seluruh dunia dan telah memperolehi banyak kejayaan, maka ia mudah dijadikan bahan tuduhan (scapegoat), contohnya untuk peningkatan penyakit autisma.

Wang dan ketamakan juga memainkan peranan dalam menambahkan lagi tanggapan salah. Kontroversi yang timbul telah menarik minat pengeluar produk alternatif yang mendakwa mereka ada penyelesaian untuk membasmi simptom, menyembuhkan kesan sampingan atau penyakit akibat dari imunisasi. Semakin besar kontroversi imunisasi digembar-gemburkan, semakin meluas minat terhadap cara mengatasinya dan semakin menguntungkan bagi pihak yang berkepentingan.

“(Ingatlah) di waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakana dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal dia pada sisi Allah adalah besar.” Surah An Nuur ayat 15.

“Contohnya bayi yang hanya mendapat susu ibu sahaja tanpa imunisasi di negara yang mengalami wabak penyakit batuk kokol mempunyai kadar kemasukan hospital yang sama dengan bayi yang minum susu formula.”

Amat penting bagi umat Islam berpandukan berita dan maklumat yang benar dan sahih. Kita mesti memahami sesuatu perkara berdasarkan fakta dari kajian saintifik yang dijalankan secara baik. Kita harus menjauhi daripada maklumat media sosial, blog dan sebagainya yang banyak mengandungi pembohongan, berita angin, dan maklumat yang tidak berasaskan bukti atau kajian sains yang kukuh.