Lindungi Keluarga Anda Pada Musim Haji & Umrah Ini

Hargai keluarga anda, pastikan mereka mendapat vaksinasi influenza pada musim Haji dan Umrah ini.

Ibadah Haji dan Umrah merupakan peluang yang tiba hanya sekali seumur hidup untuk kebanyakan orang Islam termasuk keluarga anda. Jika ada ahli keluarga anda yang berpeluang untuk menunaikan ibadah Haji atau Umrah tahun ini, anda boleh membantu mereka untuk menjaga kesihatan sepanjang ibadah haji dengan cara memastikan bahawa mereka telah mendapatkan suntikan vaksin influenza.

Mengapa Vaksin Influenza?

Influenza ialah jangkitan virus yang sering dihidapi jemaah Haji dan Umrah[1]. Ia boleh disalahanggap sebagai demam biasa2. Wabak influenza juga sering berlaku semasa musim Umrah dan Haji.[1],[3] Jemaah Haji yang telah dijangkiti oleh virus influenza akan mempunyai simptom seperti[4]:

Simptom – Simptom
Batuk Selsema  
Pening Kelesuan
Muntah Cirit-birit
Demam Sakit tekak
Sengal otot

Faktor Risiko dan Komplikasi

Individu yang telah dijangkiti influenza berisiko untuk mengalami komplikasi yang serius seperti radang paru-paru, jangkitan paru-paru (bronkitis), jangkitan pada rongga hidung (sinusitis) dan jangkitan telinga[4]. Jika ahli keluarga anda terdiri daripada golongan warga emas atau mempunyai penyakit kronik terutamanya penyakit paru-paru, mereka berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi dan jangkitan sampingan yang boleh mengakibatkan kemasukan ke hospital[5].

Lebih membimbangkan, influenza juga boleh menyebabkan kematian. Pada tahun 2017, 22% kematian dilaporkan dalam kalangan jemaah Haji disebabkan oleh jangkitan pada saluran pernafasan[6]. Jangkitan influenza mudah merebak dan malangnya ramai tidak menyedari akan kepentingan untuk mendapatkan rawatan sehingga keadaan menjadi teruk. Rawatan untuk jangkitan influenza yang lewat boleh memudaratkan pesakit influenza[7].

Bagaimana Vaksin Dapat Membantu

Pihak berkuasa kesihatan Malaysia dan Arab Saudi menyarankan pengambilan suntikan vaksin influenza untuk jemaah Haji dan Umrah Malaysia[1],[8]. Kajian terhadap jemaah Haji Malaysia mendapati bahawa suntikan vaksin influenza adalah 50-60% berkesan untuk mencegah pneumonia serta kemasukan ke hospital, dan 80% berkesan dalam mencegah kematian pesakit yang berumur lebih dari 60 tahun[9].

Dalam keterujaan menjadi tetamu Allah dan beribadah serta mencari keredaan-Nya sepanjang berada di Mekah, pastikan aspek penjagaan kesihatan tersenarai sebagai perkara utama sebelum berangkat ke sana. Justeru, ingatkan ahli keluarga anda untuk mendapatkan suntikan vaksin influenza sekurang-kurangnya 2 minggu sebelum memulakan perjalanan ke tanah suci[10], atau lebih baik lagi, bawalah mereka ke klinik atau hospital berdekatan untuk mereka dapatkan suntikan vaksin. Ini adalah tanda kasih sayang dan keprihatinan anda terhadap mereka. Walaupun kelihatan kecil namun pemberian vaksinasi influenza ini mampu membantu mereka untuk menyempurnakan ibadah Haji dan Umrah.

Artikel ini dihasilkan oleh kempen Imunisasi Haji dan Umrah anjuran program Immunise4Life bersama Persatuan Pakar Perubatan Keluarga Malaysia, Persatuan Perubatan Islam Malaysia dan Persatuan Perubatan Malaysia. Disokong oleh Sanofi Pasteur Malaysia.


Rujukan:
[1]Zeitouni, M.O. et al. (2015). The Saudi Thoracic Society guidelines for influenza vaccinations. Ann Thorac Med. 10(4): 223-230.
[2]CDC (2018). Cold Versus Flu. Retrieved June 7, 2018 from https://www.cdc.gov/flu/about/qa/coldflu.htm
[3]Balkhy HH et al. (2004). Influenza a common viral infection among Hajj pilgrims: time for routine surveillance and vaccination. J Travel Med. 11(2):82-86.
[4]CDC (2017). Flu Symptoms & Complications. Retrieved May 7, 2018 from https://www.cdc.gov/flu/consumer/symptoms.htm
[5]Nichol et al. (1999). Relation between Influenza Vaccination and Outpatient Visits, Hospitalization, and Mortality in Elderly Persons with Chronic Lung Disease. Annals of Internal Medicine. 130(5):397-403.
[6]Tabung Haji. (2018). Data on file.
[7]Marta Rorat et al. (2013). The Clinical Course of Late Diagnosed Fatal Cases of A (H1N1) Influenza in Poland. Journal of Advances in Hygiene and Experimental Medicine Vol 67. pp595-600.
[8]MSIDC. (2016). Influenza. In Guidelines for Adult Immunisation 2nd Edition (pp 81). Cheras: Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
[9]Rahman J et al. (2017). Mass Gatherings and Public Health: Case Studies from the Hajj to Mecca. Annals of Global Health. 83(2):386-393
[10]CDC (2016). Influenza Prevention: Information for Travelers. Retrieved May 7, 2018 from https://www.cdc.gov/flu/travelers/travelersfacts.htm

SPMY.TRAV.18.07.0165a (10/18)