Influenza Membahayakan Penghidap Penyakit Yang Tidak Berjangkit

Ramai rakyat Malaysia hidup menderita akibat penyakit-penyakit yang tidak berjangkit (NCD). Menurut Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan tahun 2015 oleh Kementerian Kesihatan, warga Malaysia yang menghidap diabetes melitus (kencing manis) dan hipertensi (tekanan darah yang tinggi) masing-masing berjumlah kira-kira 3.5 juta dan 6.1 juta orang[1]. Penyakit kardiovaskular pula terus menjadi punca kematian yang utama dengan 36% kematian di negara ini[2].

Bagi penghidap NCD, penyakit yang dihadapi itu haruslah diuruskan dengan baik. Biasanya, pesakit perlu pergi berjumpa doktor secara tetap, memakan ubat mengikut arahan, dan menjalani gaya hidup yang sihat. Tambahan pula, pakar-pakar menyarankan untuk mendapatkan vaksinasi influenza setiap tahun untuk untuk menjaga kesihatan pesakit-pesakit ini[3].

Sungguhpun influenza boleh memburukkan NCD yang dihidapi dan menyebabkan pelbagai kecemasan perubatan, namun vaksinasinya mampu melindungi pesakit NCD[3]. Dalam sebuah kajian yang melibatkan lebih daripada 35,000 pesakit NCD yang sudah berumur, vaksinasi influenza didapati berjaya mengurangkan kadar kematian akibat strok (angin ahmar), diabetes (kencing manis), penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD), dan penyakit jantung, masing-masing sebanyak 65%, 55%, 45% dan 22%[4].

Influenza Boleh Mencetuskan Serangan Jantung

Persatuan Jantung Amerika dan Kolej Kardiologi Amerika mengesyorkan agar pesakit kardiovaskular yang menghidap penyakit koronari dan penyakit vaskular aterosklerosis lain, iaitu dua bentuk penyakit kardiovaskular yang paling lazim dihidapi, mendapatkan vaksinasi influenza setiap tahun[5],[6].

Pesakit kardiovaskular yang dijangikiti influenza adalah enam kali lebih berkemungkinan akan dimasukkan ke hospital akibat serangan jantung[7]. Influenza juga nyata meninggikan risiko mereka menemui maut[8].

Vaksinasi influenza turut disyorkan untuk pesakit kegagalan jantung, iaitu penyakit yang berlaku apabila otot jantung menjadi lemah disebabkan hipertensi dan serangan jantung yang terjadi berulang kali[6].

Apabila pesakit kegagalan jantung mendapat influenza, jangkitan tersebut mungkin boleh membebankan jantung dan mencetuskan serangan jantung[7][9]. Mujurlah vaksinasi influenza terbukti mampu mengurangkan kemasukan ke hospital dan kadar kematian walau apa puncanya, dalam kalangan pesakit menghidap kegagalan jantung[10].

Influenza dan Diabetes: Gabungan yang Berbahaya

Diabetes melitus (atau kencing manis) ialah penyakit yang berlaku apabila kandungan glukosa (gula) dalam darah sentiasa tinggi[11]. Influenza akan mengancam kesihatan pesakit diabetes dengan serius, termasuklah pesakit yang menguruskan penyakitnya dengan baik[12].

Jangkitan influenza boleh menyebabkan paras glukosa darah meningkat kepada tahap yang berbahaya (hiperglisemia). Hal ini meninggikan risiko berlakunya jangkitan lain dan mungkin menimbulkan komplikasi diabetes yang boleh mengancam nyawa[13],[14],[15].

Pesakit diabetes mungkin tidak dapat pulih dengan mudah atau cepat apabila mendapat influenza. Selain itu, ubat influenza yang tertentu boleh memburukkan hiperglisemia, malah meninggikan risiko berlakunya masalah jantung dan strok[14].

Oleh itu, pesakit diabetes patut mendapatkan vaksinasi influenza setiap tahun untuk mencegah penyakit ini sebelum terkena. Hakikatnya, vaksinasi influenza dalam kalangan pesakit diabetes jenis 2 didapati berjaya menurunkan kadar kematian sebanyak 24% berbanding dengan pesakit yang tidak mendapat vaksinasi[16].

Influenza Merosotkan Fungsi Ginjal

Diabetes dan tekanan darah yang tinggi merupakan punca utama[17] penyakit ginjal kronik (atau penyakit buah pinggang berpanjangan), yang sering kali mengakibatkan kegagalan ginjal peringkat akhir yang memerlukan rawatan dialisis[17].

Penyakit ginjal juga boleh diakibatkan oleh jangkitan yang serius, seperti influenza[18]. Jangkitan tersebut boleh menguraikan otot lalu mewujudkan hasil sampingan toksik yang merosakkan tubul-tubul ginjal[18]. Sebuah kajian yang dilakukan dalam 47 orang pesakit H1N1 mendapati bahawa dua pertiga antara mereka telah mengalami kecederaan ginjal atau kegagalan ginjal, manakala 11% terpaksa menjalani dialisis untuk menapis darah mereka[18].

Walau apa pun puncanya, penghidap penyakit ginjal mempunyai sistem keimunan yang lemah. Hal ini mungkin berlaku kerana adanya sisa toksin, status pemakanan kurang baik, ataupun akibat menggunakan ubat penindas keimunan[19].

Kesimpulannya, untuk menjaga kesihatan dengan baik, penghidap penyakit ginjal digalakkan mendapat vaksinasi influenza. Vaksinasi bukan sahaja dapat mengurangkan kemasukan ke hospital tetapi juga menurunkan kadar kematian, terutamanya dalam kalangan pesakit dialisis[20].


References:
[1]Ministry of Health Malaysia (2015). National Health & Morbidity Survey Fact Sheet. Retrieved from http://iku.moh.gov.my/images/IKU/Document/REPORT/nhmsreport2015vol2.pdf
[2]WHO (2014). World Health Organization – Noncommunicable Diseases (NCD) Country Profiles. Malaysia. Retrieved from http://www.who.int/nmh/countries/mys_en.pdf
[3]CDC (2017). Adults With Chronic Conditions: Get Vaccinated. Retrieved from https://www.cdc.gov/features/vaccineschronicconditions/index.html
[4]Palache et al (2014). The Link between Seasonal Influenza and NCDs: Strategies for Improving Vaccination Coverage. Health Journal, 6, 2724-2735.
[5]AHA (2015). Flu and Pneumonia Prevention. Retrieved from http://www.heart.org/en/health-topics/consumer-healthcare/flu-and-pneumonia-prevention.
[6]New York State Department of Health (2012). Types of Cardiovascular Disease. Retrieved from https://www.health.ny.gov/diseases/cardiovascular/heart_disease/types_of_cv.htm
[7]Kwong et al (2018). Acute Myocardial Infarction after Laboratory-Confirmed Influenza Infection. The New England Journal of Medicine
. 378:345-53.
[8]Mertz et al (2013). Populations at risk for severe or complicated influenza illness: systematic review and meta-analysis. BMJ;347:f5061. DOI: 10.1136/bmj.f5061
[9]Majdid et al (2007). Influenza epidemics and acute respiratory disease activity are associated with a surge in autopsy-confirmed coronary heart disease death: results from 8 years of autopsies in 34 892 subjects. European Heart Journal 28, 1205–1210
[10]Kagoglou et al (2017). Influenza infection and heart failure—vaccination may change heart failure prognosis? Heart Fail Review. 22(3): 329–336.
[11]NIDDK (2016). What is Diabetes? Retrieved from https://www.niddk.nih.gov/health-information/diabetes/overview/what-is-diabetes
[12]CDC (2017). Flu and People with Diabetes. Retrieved from https://www.cdc.gov/flu/diabetes/index.htm
[13]Hulme et al (2017). Influenza Virus and Glycemic Variability in Diabetes: A Killer Combination? Frontiers in Microbiology, 8: 861
[14]Diabetes.co.uk (nd). Flu and diabetes. Retrieved from https://www.diabetes.co.uk/flu-and-diabetes.html
[15]Lupsa et al (2014). Diabetic Ketoacidosis and Hyperosmolar Hyperglycemic Syndrome. Endocrine Emergencies: Recognition and Treatment, pp15-31. DOI 10.1007/978-1-62703-697-9_2
[16]Vamos et al (2016). Effectiveness of the influenza vaccine in preventing admission to hospital and death in people with type 2 diabetes. CMAJ, DOI: https://doi.org/10.1503/cmaj.151059.
[17]National Kidney Foundation Malaysia (2017). Kidney Failure. Retrieved from http://www.nkf.org.my/kidney_failure
[18]National Kidney Foundation (2010). Serious Kidney Injury Common in Very Ill H1N1 Patients. Retrieved from https://www.kidney.org/news/newsroom/nr/H1N1Patients
[19]Indian Society of Nephrology Vaccination Work Group (2016). Guidelines for Vaccination in Chronic Kidney Disease. Indian Journal of Nephrology; Suppl. 1: S2
[20]Kausz et al (2004). The Value of Vaccination in Chronic Kidney Disease. Seminars in Dialysis Vol 17, No 1, pp. 9–11

SPMY.IFLU.18.09.0246 (10/18)