Pengalaman Dahsyat Bersua Dengan Rotavirus

Pada hari Isnin itu, Mira yang berusia dua tahun demam. Tidak lama kemudian, dia mula muntah-muntah dengan banyak dan cirit-birit. Najisnya cair, berwarna hijau dan sangat busuk baunya[1]. Ayahnya, Yusuf, mengambil keputusan untuk membawa Mira ke hospital sementara Liza, ibunya, menunggu di rumah untuk menjaga Halim, anak mereka yang berusia lapan bulan.

Mira kelihatan pucat dan letih kerana tidak berhenti-henti muntah dan mencirit. Setelah memeriksa Mira dengan rapi, Mira didapati mengalami dehidrasi yang teruk. Matanya cengkung dan dia terumbang-ambing antara sedar dengan tidak sedar[1].

“Doktor menghantar najisnya untuk diuji, dan hasilnya positif bagi jangkitan rotavirus.”

Mira terus dimasukkan ke hospital dan serta-merta diberi infusi intravena[1]. Terapi hidrasi semula melalui mulut telah dicuba tetapi dimuntahnya[1]. Doktor menghantar najisnya untuk diuji, dan hasilnya positif bagi jangkitan rotavirus.

Tetapi keadaan Mira jauh kurang mencemaskan berbanding dengan apa yang akan diharungi oleh adiknya, Halim. Pada hari Rabu, Halim mula demam, muntah-muntah dan tidak lama kemudian, cirit-birit. Ibu bapanya bimbang bahawa Halim dijangkiti rotavirus daripada Mira, dan sangkaan mereka itu betul. Apabila doktor memeriksa Halim, dia sudah begitu banyak kehilangan cecair sehinggakan dia menjadi tidak bermaya dan menangis tanpa air mata[1]. Halim serta-merta diberi infusi intravena. Halim ditempatkan di bilik yang sama dengan Mira supaya Liza dan Yusuf lebih mudah menjaga mereka berdua. Halim amat menderita dan menangis sepanjang masa sebaik sahaja dia terjaga daripada tidur. Ibu bapanya hanya mampu memujuk dan cuba menenangkannya.

“…menyesal kerana tidak membawa anak-anak mereka untuk menjalani vaksinasi ketika masih berpeluang.”

Oleh sebab dua beradik ini mempunyai perkaitan epidemiologi, maka doktor perlu menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dengan segera. Oleh itu, doktor mengambil keputusan untuk menyiasat dengan lebih lanjut. Ibu bapa mereka juga hairan bagaimana Mira dijangkiti virus tersebut. Menurut Liza, dia mula menghantar Mira ke pusat asuhan harian. Doktor menerangkan kepada mereka bahawa rotavirus terdapat di dalam najis pesakit yang terjangkit[2]. Virus tersebut mungkin telah menjangkiti Mira apabila dia menyentuh objek yang dicemari najis, kemudian memasukkan tangannya ke dalam mulut, tanpa disedarinya [2]. Virus ini boleh hidup selama berminggu-minggu pada sesuatu permukaan[3], terutamanya jika pusat asuhan itu tidak dibersihkan atau dicuci dengan baik. Berbekalkan maklumat yang telah dikumpulkan oleh doktor, beliau pun menghubungi pejabat kesihatan dengan segera.

Liza dan Yusuf menyesal kerana tidak membawa anak-anak mereka untuk menjalani vaksinasi ketika masih berpeluang. Kesengsaraan ini mungkin dapat dielakkan. Pada masa itu, mereka menganggapnya tidak berbaloi kerana vaksinasi itu tidak diwajibkan. Vaksin rotavirus ialah vaksin tambahan yang disyorkan dan diberikan atas permintaan sahaja.

Pada hari Khamis, Mira sudah cukup sihat untuk dibenarkan keluar daripada hospital tetapi Halim masih cirit-birit. Halim hanya beransur pulih pada hari Ahad dan akhirnya dibenarkan pulang pada hari Isnin. Yusuf berkata bahawa pengalaman mereka menghadapi rotavirus sangat perit dan dahsyat bagi mereka sekeluarga.

Setelah dua beradik tersebut keluar daripada hospital, doktor memantau kemasukan kanak-kanak lain akibat rotavirus, terutamanya mereka yang mungkin dihantar ke pusat asuhan yang sama dengan Mira. Mujurlah tidak ada kes lain.

“…tidak ada rawatan yang khusus bagi rotavirus”

Menurut Datuk Dr Zulkifli Ismail, pakar pediatrik dan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Immunise4Life, senario di atas agak lazim berlaku. Beliau menerangkan bahawa rotavirus ialah virus yang paling lazim menyerang bayi dan kanak-kanak kecil dan boleh membawa maut. Antara simptomnya ialah demam, loya, muntah-muntah dan cirit-birit yang cair, yang muncul dalam masa dua hari selepas terdedah kepada virus ini.

Beliau berkata, “Hampir semua kanak-kanak akan mendapat gastroenteritis rotavirus sebelum mencapai usia lima tahun. Tetapi tidak seperti beberapa penyakit lain, tidak ada rawatan yang khusus bagi rotavirus. Oleh itu, apabila jangkitan berlaku, kita hanya dapat mencuba setakat yang mampu untuk meringankan simptomnya.”

“…kehilangan nyawa begini boleh dicegah semuanya dengan vaksin yang diberi melalui mulut”

“Buat ketika ini, vaksin rotavirus ialah salah satu cara untuk melindungi kanak-kanak terhadap penyakit ini. Sungguhpun inisiatif kebersihan air, kebersihan diri dan kebersihan persekitaran barangkali dapat mengurangkan penyebaran virus, namun langkah-langkah ini tidak memadai,” tambah Datuk Dr Zulkifli.

Gastroenteritis rotavirus membunuh kira-kira 215,000 kanak-kanak bawah usia lima tahun seluruh dunia setiap tahun[4]. Ini suatu tragedi kerana kehilangan nyawa begini boleh dicegah semuanya dengan vaksin yang diberi melalui mulut [4].

Di Malaysia, vaksin rotavirus hanya boleh didapati di klinik swasta. Klik di sini untuk mencari klinik yang terdekat dan bincang dengan pakar pediatrik tentang langkah pencegahan rotavirus untuk anak anda.

Rotavirus dan kanak-kanak

 

Artikel sumbangan program Immunise4Life oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, Persatuan Pediatrik Malaysia dan Persatuan Penyakit Berjangkit & Kemoterapi Malaysia.  Ketahui lebih lanjut di Immunise2Protect.


References:
[1]NFID. n.d. Frequently Asked Questions About Rotavirus. http://www.nfid.org/idinfo/rotavirus/faqs.html (Accessed on March 11, 2019)
[2]CDC. 2018. Epidemiology and Prevention of Vaccine-Preventable Diseases. Retrieved from https://www.cdc.gov/vaccines/pubs/pinkbook/rota.html (Accessed on March 15, 2019)
[3]WebMD. n.d. What is Rotavirus? https://www.webmd.com/children/guide/what-is-rotavirus#1 (Accessed on March 13, 2019).
[4]WHO. 2018. Immunization, Vaccines and Biologicals. Retrieved from https://www.who.int/immunization/diseases/rotavirus/en/ (Accessed on March 15, 2019)
[5]5. WHO (2013). WHO Position Paper [Kertas Pendirian WHO]. Diambil daripada https://www.who.int/wer/2013/wer8805.pdf?ua=1. Dirujuk pada 15 Mac 2019
[6]6. Mayo Clinic (2019). Rotavirus. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/rotavirus/symptoms-causes/syc-20351300. Dirujuk pada 15 Mac 2019
[7]7. CDC (2016). Vaccines and Preventable Diseases [Vaksin Dan Penyakit Yang Boleh Dicegah]. https://www.cdc.gov/vaccines/vpd/rotavirus/index.html. Dirujuk pada 15 Mac 2019

Berkaitan:

CACAR AIR, BAHAYA KEPADA BAYI DAN KANAK-KANAK
DUA PERKARA SERING DIAMBIL RINGAN OLEH IBU BAPA