Jangan Biarkan Taun Masuk Ke Dalam Minuman Anda!

0
Jangan Biarkan Taun Masuk Ke Dalam Minuman Anda!

Taun adalah penyakit cirit-birit yang disebabkan oleh jangkitan usus daripada bakteria Vibrio cholera. Bakteria taun boleh dijumpai secara semulajadi di air payau (tempat di mana air laut dan air tawar bercampur) dan perairan pantai.

Bagaimana Taun Merebak

Taun boleh merebak dengan pantas melalui makanan dan minuman yang telah dicemari oleh najis daripada orang yang telah dijangkiti oleh taun. Di negara membangun, ia merebak kebanyakannya melalui air yang tercemar. Ini bermaksud, individu yang tinggal di kawasan dengan rawatan air dan kebersihan yang tidak baik adalah berisiko untuk mendapat jangkitan taun. Di Malaysia, bencana seperti banjir kilat boleh mewujudkan keadaan yang sama.

Cirit-Birit seperti Air Beras yang Keruh

Cirit-birit, satu simptom utama taun selalunya digambarkan sebagai air beras yang keruh. Kebanyakan jangkitan taun adalah sederhana atau langsung tidak menunjukkan apa-apa simptom. Bagaimanapun, 1 dalam 10 kes (5-10%) mungkin menderita jangkitan yang teruk. Ciri-cirinya adalah cirit-birit berair yang banyak, muntah dan kekejangan kaki.

Tanpa rawatan segera, ia boleh menyebabkan kehilangan cecair badan yang banyak, dehidrasi yang teruk, kejutan malah kematian dalam masa beberapa jam. Jenis penyakit yang teruk boleh muncul dalam masa antara beberapa jam sehingga 5 hari selepas jangkitan.

Memastikan Taun di Bawah Kawalan

Sekarang vaksin taun boleh di dapati untuk kanak-kanak seawal usia 12 bulan. Sesiapa yang berusia melebihi 12 bulan juga boleh mendapatkan vaksin ini dengan mendapatkan nasihat doktor di hospital atau klinik berdekatan.

Taun juga boleh dicegah melalui 5 mesej pencegahan taun oleh Pusat Kawalan Penyakit (CDC):

  • Minum dan gunakan air yang selamat. Ini bermakna, minum hanya air botol, gunakan air yang bersih untuk memberus gigi, membuat ais, menyediakan makanan dan membasuh peralatan.
  • Membasuh tangan dengan kerap menggunakan sabun dan air yang selamat.
  • Gunakan tandas. Jangan membuang air besar di mana-mana kawasan air.
  • Masak makanan dengan betul. Elakkan makanan mentah selain daripada buah –buahan dan sayur- sayuran yang anda kupas sendiri.
  • Bersihkan diri anda, anak-anak anda, lampin dan pakaian sekurang-kurangnya 30 meter jarak daripada sumber air minuman.

WHO menyarankan agar kita menggunakan kaedah serampang dua mata, iaitu vaksin dan amalan kebersihan, untuk menghentikan penyebaran taun.