HPV & Anak Anda

Kanser serviks adalah kanser ketiga paling lazim di Malaysia. Lebih membimbangkan, ia adalah penyebab utama kematian kanser bagi wanita di seluruh dunia.

Kebanyakan kes kanser serviks adalah disebabkan oleh human papillomavirus (HPV). Jangkitan HPV kerap berlaku dan menjangkiti 1 daripada 2 wanita dan lelaki yang aktif secara seksual. Terdapat kira-kira 40 jenis HPV berlainan yang menjangkiti bahagian kemaluan.

Dengan adanya vaksin HPV, kes-kes kanser serviks yang disebabkan oleh HPV kini boleh dicegah. Selain itu, vaksin HPV memberikan perlindungan daripada kanser-kanser lain (contohnya kanser dubur, vulva dan faraj) serta ketuat genital.

Rencana ini akan menerangkan mengapa imunisasi HPV adalah baik untuk anak-anak anda (sama ada lelaki atau wanita).

Fakta Mengenai Kanser Serviks

Pada 2010, Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) telah mengeluarkan laporan yang menunjukkan bahawa ancaman kanser serviks adalah serius di negara kita:

  • Ia adalah kanser ketiga paling lazim di Malaysia.
    • 8.7 juta wanita yang berusia lebih 15 tahun mempunyai risiko mendapat penyakit ini.
    • Kira-kira 6 wanita didiagnos dengan kanser serviks setiap hari.
    • 631 daripada wanita-wanita ini akan meninggal dunia akibat kanser serviks.

Hampir kesemua kes kanser serviks adalah disebabkan oleh human papillomavirus (HPV).

Mengetahui Lebih Lanjut Tentang HPV

Terdapat lebih daripada 100 jenis HPV dan kira-kira 40 menjangkiti kawasan kemaluan bagi lelaki dan wanita. Jangkitan boleh merebak dengan mudah daripada seorang individu kepada individu yang lain, melalui aktiviti seksual, kerana kebanyakan mereka yang dijangkiti HPV tidak mengetahuinya. Ini kerana individu yang dijangkiti biasanya tidak akan menunjukkan apa-apa tanda atau masalah kesihatan. Setakat ini, tiada cara untuk mengesannya bagi lelaki. Namun bagi wanita, ujian Pap smear yang kerap boleh membantu mengesan jangkitan HPV.

Bagi sesetengah orang, sistem imun mereka boleh melawan jangkitan secara semula jadi dalam masa 2 tahun. Ada beberapa individu yang tidak boleh mengastasi jangkitan HPV. Sekiranya tidak dirawat, jangkitan HPV boleh membawa kepada komplikasi yang boleh mengancam nyawa.

HPV jenis 16 dan 18 mengakibatkan 70-80% daripada kesemua kes kanser serviks. HPV jenis 6 dan 11 pula boleh mengakibatkan ketuat genital. Ia juga boleh mengakibatkan kanser faraj, vulva dan dubur.

 

Perlindungan Daripada HPV

Terdapat vaksin-vaksin yang boleh melindungi lelaki dan wanita daripada jangkitan HPV.

  • Satu daripadanya melindungi daripada jenis-jenis HPV yang mengakibatkan kebanyakan kanser serviks. Ia juga melindungi daripada jenis-jenis HPV yang mengakibatkan kebanyakan ketuat genital di samping mengurangkan risiko mendapat kanser dubur, faraj dan vulva. Disebabkan perlindungan tambahan yang ditawarkan vaksin ini, ia disarankan untuk lelaki dan wanita.
  • Satu vaksin lagi melindungi daripada jenis-jenis HPV yang mengakibatkan kebanyakan kanser serviks. Ia disarankan untuk wanita.

Kedua-dua vaksin diberikan dalam 3 dos sepanjang tempoh 6 bulan.

Bagaimana Vaksin Bertindak?

Vaksin-vaksin HPV melindungi daripada jangkitan HPV dengan merangsang tindak balas imun yang serupa dengan tindak balasnya ketika menghadapi jangkitan HPV yang sebenar. Ini merangsang badan untuk menghasilkan antibodi yang boleh digunakan di masa hadapan bagi menghalang virus-virus HPV daripada menjangkiti sel-sel tubuh.

Siapa Yang Perlu mendapatkan Imunisasi

Lelaki dan wanita perlu mendapatkan imunisasi HPV secepat mungkin.

Bagi wanita, imunisasi HPV melindungi mereka daripada virus-virus HPV yang mengakibatkan kira-kira 70% kes kanser serviks. Dengan pemeriksaan Pap smear yang kerap, imunisasi HPV mengurangkan risiko untuk mereka mendapat kanser serviks.

Lelaki juga memerlukan perlindungan daripada HPV. Vaksin HPV melindungi daripada jenis-jenis HPV yang boleh mengakibatkan kanser dubur dan ketuat genital. Oleh kerana jangkitan HPV dan ketuat genital biasanya tidak dikesan, lelaki yang aktif secara seksual boleh menyebarkan HPV dengan mudah kepada individu lain. Memberikan imunisasi HPV kepada kaum lelaki akan membantu mengurangkan kadar penularan HPV.

Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) menyarankan supaya lelaki dan wanita mendapat vaksinasi HPV dari usia 11 hingga 13 tahun. Ini kerana kajian telah menunjukkan bahawa vaksin tersebut menjadi kurang berkesan sekiranya seseorang itu telah pun terdedah kepada HPV. Ia juga telah terbukti bahawa sistem imun memberi tindak balas yang lebih baik sekiranya seseorang itu mendapatkan vaksin HPV pada usia yang lebih muda.

Sejak 2010, Kementerian Kesihatan telah menawarkan vaksin HPV secara percuma kepada remaja-remaja perempuan yang berusia 13 tahun di Malaysia, asalkan mereka mendapat kebenaran daripada ibu bapa masing-masing.

Vaksin-vaksin HPV telah diuji dan dikaji di seluruh dunia. Ia juga telah digunakan secara meluas di United Kingdom, Kanada dan Amerika Syarikat. Di negara ini, Kementerian Kesihatan juga telah meluluskan penggunaannya.kebenaran daripada ibu bapa masing-masing.

Kesan Sampingan Yang Mungkin Dialami

Anak anda mungkin mengalami sedikit kesan sampingan, terutamanya sakit pada kawasan suntikan. Kadangkala mereka boleh mengalami demam, loya dan pening. Seseorang yang telah menerima vaksin tersebut juga mungkin pengsan. Untuk mengelakkannya, anda dinasihatkan untuk duduk atau baring selama 15 minit selepas menerima vaksinasi.

Walaupun sangat jarang berlaku, terdapat juga kesan sampingan yang lebih serius seperti darah beku, sawan, strok, apendisitis dan sindrom Guillain-Barre.

Vaksinasi HPV Tidak Menggalakkan Seks Rambang

Terdapat banyak kajian yang menangani isu ini. Namun, tiada satu pun yang dapat membuktikan bahawa vaksin HPV menggalakkan golongan remaja untuk aktif secara seksual pada usia yang muda. Malah, sebuah kajian yang diterbitkan pada 2012 menunjukkan bahawa remaja-remaja di Amerika yang berusia 12-13 tahun yang diberikan vaksin HPV di antara tahun 2006 dan 2007 tidak menunjukkan sebarang kenaikan risiko bagi kehamilan, jangkitan yang menular melalui seks dan masalah-masalah lain yang berkaitan dengan aktiviti seksual.