Anda Mempunyai Pilihan! Cacar Air Boleh Dielakkan!

Vaksin varicella memberikan perlindungan terhadap jangkitan cacar air. Di Malaysia, ia adalah satu vaksin tambahan yang disarankan dan boleh didapati di hospital dan klinik swasta. Vaksin varicella disarankan untuk kanak-kanak dalam 2 siri dos: dos pertama pada umur 12 bulan, dan dos kedua 8 minggu selepas dos pertama. Kedua-dua dos diperlukan untuk perlindungan yang optimum daripada jangkitan cacar air

Ia boleh diberikan dalam gabungan dengan imunisasi rutin kanak-kanak yang lain seperti vaksin campak, beguk dan rubella (MMR) yang juga diberikan pada umur 12 bulan. Ibu bapa boleh memilih untuk memberikan anak-anak mereka vaksin 4-dalam-1 MRRV (MMR + varicella). Ia boleh menghalang keempat- empat penyakit dalam dos tunggal. Ini juga dapat mengurangkan sebarang kesakitan atau ketidakselesaan daripada menerima pelbagai jenis vaksin. Walaupun anak anda tidak mendapat cacar air, penyakit itu akan menjadi kurang teruk jika mereka mendapat imunisasi.

Mendapatkan imuniti semulajadi terhadap cacar air adalah satu amalan keluarga yang biasa. Ibu bapa sanggup membiarkan anak mereka bermain bersama-sama dengan kanak-kanak yang dijangkiti cacar air supaya mereka boleh mendapat cacar air daripada kanak-kanak tersebut. Amalan ini menyebabkan anak anda perlu mengalami ketidakselesaan, kesengsaraan dan malahan beratus-ratus bintil-bintil merah untuk mendapatkan imuniti semulajadi terhadap cacar air. Juga, jangkitan cacar air ini boleh mengakibatkan kesan yang boleh mengancam nyawa.

Sebaliknya, kebanyakan individu yang mendapatkan vaksinasi varicella hanya akan mengalami kesakitan yang sedikit pada tempat suntikan. Reaksi lain yang biasa dilihat termasuklah kesakitan, kemerahan- merahan dan bengkak pada tempat suntikan. Sesetengah individu mungkin mengalami demam biasa dan ruam yang kelihatan seperti cacar air tetapi hanya pada beberapa tempat, kira-kira 2 minggu selepas suntikan.

Vaksin varicella disarankan kepada semua, tetapi keutamaan yang tinggi adalah bagi golongan berikut:

1. Kanak-kanak bawah 13 tahun.

2. Individu yang berumur 13 tahun ke atas yang belum pernah dijangkiti cacar air atau menerima vaksin cacar air:

  • Mereka yang dijangkiti cacar air sebelum hari lahir pertama mereka tidak mungkin dapat membentuk imuniti berpanjangan dan terdedah kepada risiko dijangkiti varicella-zoster semula pada usia yang tua
  • Pekerja pusat jagaan kanak-kanak
  • Guru
  • Wanita yang merancang untuk hamil
  • Remaja dan orang dewasa yang tinggal bersama kanak-kanak

3. Individu yang mempunyai masalah kesihatan yang berikut disarankan untuk mendapatkan nasihat doktor tentang keperluan untuk mendapatkan vaksinasi varicella:

  • Mempunyai HIV/AIDS atau penyakit lain yang melemahkan sistem imun
  • Sedang dirawat dengan ubat-ubatan yang memberi kesan kepada sistem imun, seperti steroid, selama 2 minggu atau lebih
  • Mempunyai sebarang jenis kanser
  • Sedang menerima rawatan kanser, sama ada dengan radiasi atau ubatan

Oleh itu, vaksin varicella adalah lebih selamat daripada dijangkiti. Imunisasi adalah cara terbaik untuk melindungi anak anda daripada cacar air, ketidakselesaan dan komplikasi-komplikasi lain. Jadi, pastikan keluarga anda divaksinkan dengan vaksin cacar air. Janganlah biarkan anak anda menerima jangkitan daripada kanak-kanak yang dijangkiti cacar air. Dengan ini, anda akan menyelamatkan keluarga anda daripada minggu yang penuh sengsara. Anak anda juga tidak perlu ponteng sekolah atau lebih buruk lagi, peperiksaan!

Merancang untuk Hamil, Rancanglah untuk Imunisasi Varicella

Kesemua wanita hamil atau yang merancang untuk hamil disarankan untuk mendapatkan nasihat daripada doktor mereka tentang perlindungan terhadap cacar air.

Sekiranya tiada imuniti terhadap cacar air, mendapatkan imunisasi varicella adalah langkah yang terbaik. Walau bagaimanapun, mereka tidak boleh menerima vaksin tersebut semasa kehamilan. Mereka boleh merancang untuk divaksinkan selepas kelahiran untuk melindungi diri dan anak-anak mereka dan sebagai persediaan untuk kehamilan seterusnya. Dos vaksin yang pertama boleh diambil sebaik sahaja selepas bersalin (sebelum anda keluar dari hospital) dan dos yang kedua boleh diambil pada minggu ke-6 hingga 8 selepas bersalin. Vaksin tersebut adalah selamat untuk ibu yang sedang menyusu.

Sebaliknya, bagi wanita yang merancang untuk hamil, mereka boleh mengambil imunisasi varicella. Tetapi mereka perlu merancang untuk mengambilnya sebelum kehamilan. CDC telah mengesyorkan supaya mengambilnya sekurang-kurangnya satu hingga tiga bulan sebelum kehamilan. Mereka tidak digalakkan untuk menerima imunisasi varicella dalam masa 30 hari sebelum kehamilan.

Bertanyakan tentang imuniti cacar anda haruslah menjadi sebahagian daripada proses perancangan keluarga anda. Perlindungan adalah dua kali ganda: untuk anda dan bayi anda. Tetapi ingat, jangan membuat perancangan 30 hari sebelum kehamilan.