Demam Campak Penyebab Pneumonia & Kematian Di Kalangan Orang Asli Suku Bateq

Situasi Terkini 16 Jun, 2019

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan situasi terkini kejadian kluster jangkitan saluran pernafasan di kalangan Orang Asli suku Bateq di Kuala Koh, Gua Musang Kelantan.

Sehingga 17 Jun 2019, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan telah mengesan sebanyak 113 kes dengan gejala saluran pernafasan berlaku di Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan dengan tiga (3) kematian. Dua (2) dari tiga (3) kematian ini adalah seperti yang dilaporkan kepada KKM sebelum ini.

Daripada jumlah ini, 37 kes telah disahkan measles melalui ujian makmal. Pada 17 Jun 2019, seramai 52 kes masih dirawat di hospital iaitu 49 kes di wad biasa dan tiga (3) kes di Unit Rawatan Rapi. Seramai 20 kes dengan gejala ringan berada di Rumah Inap Kesihatan Orang Asli (RIKA) di Gua Musang.

Kes kematian ketiga merupakan seorang kanak-kanak lelaki suku kaum Bateq yang berasal dari Kampung Orang Asli Kuala Koh, berumur 2 tahun enam bulan yang telah meninggal dunia pada 16 Jun 2019 di Hospital Raja Perempuan Zainab II dengan sebab kematian measles pneumonia with multiorgan failure.

Beliau telah mengalami gejala demam dan batuk untuk seminggu dengan cirit-birit selama empat hari. Beliau telah dibawa untuk rawatan awal di Klinik Kesihatan dan dirujuk ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan lanjut, dan telah dipindahkan untuk menerima rawatan di ICU Hospital Raja Perempuan Zainab II pada 9 Jun 2019.

Keadaan kes yang mengalami masalah kekurangan zat makanan yang teruk, menjadi faktor risiko berlakunya komplikasi measles termasuk kegagalan organ, walaupun rawatan rapi telah diberikan.

Sementara itu hasil bantuan pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), 12 mayat lagi telah berjaya ditemui dan dibuat post mortem.

Sampel-sampel yang diperolehi hasil post mortem dihantar ke makmal untuk ujian lanjut. Keputusan sampel post mortem yang dihantar ke makmal akan diperolehi dalam tempoh beberapa hari. Pasukan pakar forensik sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca sebenar kematian mayat yang telah ditemui. KKM juga telah menerima laporan kejadian kluster kes disyaki measles di kalangan Orang Asli di Kampung Gerdong, Hulu Terengganu, Terengganu (12 kes) dan Kampung Ulu Sat, Jerantut, Pahang (8 kes).

Siasatan awal mendapati terdapat sejarah kontak / pergerakan di antara kes yang disyaki di Hulu Terengganu dengan komuniti Orang Asli suku Bateq Kampung Kuala Koh. Manakala bagi kluster di Jerantut, terdapat sejarah pergerakan keluar masuk ahli komuniti tersebut ke Kampung Gerdong. Sebanyak 7 kes di Terengganu dan 4 kes di Pahang telah disahkan measles melalui ujian makmal. Pengesanan kes dan pemantauan status kesihatan penduduk masih diteruskan.

KKM terus bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan bagi mengawal wabak ini.  Buat masa ini kejadian wabak ini adalah terkawal. Orang ramai diminta tidak khuatir dan KKM akan memaklumkan perkembangan terkini kejadian ini dari semasa ke semasa

Sekian, terima kasih.

YB DATUK SERI DR. DZULKEFLY AHMAD
Menteri Kesihatan Malaysia
18 Jun 2019

Sumber: Kenyataan Akhbar Menteri Kesihatan Malaysia. Situasi Terkini Kluster Jangkitan Saluran Pernagasan Di Kalangan Orang Asli Suku Bateq.18 Jun 2019