Bukan Demam Biasa

Jemaah Haji & Umrah terdedah kepada penyakit meningokokus yang boleh disalah anggap sebagai demam biasa pada awalnya, sedangkan ia boleh menyebabkan kematian.[1],[2]

Keluarga dan sahabat handai Pn Fatima gembira menyambut kepulangannya dari menunaikan ibadah Haji. Namun sebulan kemudian mereka diselubungi kesedihan kerana Pn Fatima dan cucunya telah pulang ke rahmatullah selepas mengalami demam panas.  Sukar dipercayai tetapi bagi sesetengah keluarga, kisah Pn Fatima ini adalah realiti yang mereka telah hadapi. Demam panas yang disebabkan oleh penyakit meningokokus amat merbahaya dan boleh membawa maut dalam masa yang singkat[3].  Para jemaah Haji & Umrah amat berisiko mendapat penyakit ini dan menyebarkannya kepada orang lain sekiranya mereka tidak mengambil langkah pencegahan seperti pengambilan vaksinasi meningokokus.[1]

Bahaya Penyakit Meningokokus

Penyakit meningokokus berpunca daripada jangkitan bakteria Neisseria meningitidis dan boleh menyebabkan keradangan pada lapisan otak dan saraf tunjang serta jangkitan dalam darah[3]. Penyakit ini boleh menyebabkan berlakunya kematian atau cacat kekal seperti pekak dan hilang anggota badan jika tidak dirawat dengan segera [4]. Ia berjangkit secara langsung melalui rembesan dari mulut dan hidung seperti bersin, batuk dan berkongsi peralatan makanan & minuman[4]. Penyakit ini boleh menular dan menyebabkan wabak[4].Penyakit meningokokus boleh membunuh dalam masa 24 jam selepas simptom awal seperti demam panas muncul[4]. Peluang untuk merawat yang singkat, simptom yang tidak spesifik serta kadar kematian atau kecacatan yang tinggi dalam kalangan pesakit menyebabkan kaedah pencegahan amat penting[5].

Simptom/Gejala Jangkitan

Simptom awal penyakit ini boleh disalah anggap sebagai simptom demam biasa [2]. Terdapat kes dimana simptom yang lebih teruk hanya muncul apabila keadaan sudah terlambat dan peluang untuk sembuh sepenuhnya adalah rendah [6]. Antara simptom atau tanda – tanda jangkitan penyakit meningokokus adalah[3]:

Simptom/Gejala Jangkitan
Sakit Kepala
Demam Panas
Muntah
Kecelaruan Mental
Mata Sensitif Kepada Cahaya
Ruam Pada Badan Yang Tidak Hilang Apabila Ditekan

 

Vaksinasi, Pencegahan Terbaik

Terdapat 2 jenis vaksin meningokokus[1],[7]:

Jenis Vaksin Fungsi
Vaksin Konjugat ·         Melindungi diri dan orang yang terdekat

·         Boleh didapati di klinik swasta

Vaksin Polisakarida ·         Hanya memberi perlindungan kepada diri sendiri, anda masih boleh menjangkiti orang lain

 

Langkah Pencegahan Lain[8],[9]

Pastikan sentiasa menutup mulut ketika bersin/batuk
Elak dari individu yang mempunyai simptom seperti batuk, bersin dan muntah
Sentiasa cuci tangan selepas bersin atau batuk

 

Peluang untuk menunaikan Haji dan Umrah merupakan anugerah istimewa daripada Allah SWT.  Sebaiknya kita mengambil segala langkah termasuk mengambil vaksinasi bagi menjaga kesihatan kita untuk menunaikan ibadah sebaiknya dan mengelak daripada membawa jangkitan merbahaya pulang kepada ahli keluarga[2].  Bawa Pulang Barakah, Elak Mudharat.

Artikel ini dihasilkan oleh kempen “Imunisasi Haji & Umrah” anjuran program Immunise4Life di bawah seliaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) dan Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi (MSIDC) bersama Persatuan Pakar Perubatan Keluarga Malaysia, Persatuan Perubatan Islam Malaysia dan Persatuan Perubatan Malaysia. Disokong oleh GlaxoSmithKline Malaysia.


Rujukan:
[1]Shibl, A., Tufenkeji, H., Khalil, M., & Memish, Z. (2013). Consensus recommendation for meningococcal disease prevention for Hajj and Umra pilgrimage/travel medicine. Eastern Mediterranean Health Journal, 19(04), 389-392.
[2]National Foundation for Infectious Diseases. (2015). Facts about Meningococcal Disease for Adults. Retrieved September 3, 2018, from http://www.adultvaccination.org/vpd/meningitis/facts.html
[3]CDC. (2017, June 7). Meningococcal: Signs and symptoms. Retrieved September 3, 2018, from https://www.cdc.gov/meningococcal/about/symptoms.html
[4]WHO. (2018, February 19). Meningococcal meningitis. Retrieved September 3, 2018, from http://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/meningococcal-meningitis
[5]Crum-Cianflone, N., & Sullivan, E. (2016). Meningococcal Vaccinations. Infectious Diseases and Therapy, 5(2), 89-112.
[6]NICE (2010). Management of Bacterial Meningitis and Meningococcal Septicaemia in Children and Young People Younger Than 16 Years in Primary and Secondary Care. NICE Clinical Guidelines, No. 102. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmedhealth/PMH0047180/
[7]MSIDC (2016). Adult Immunisation Guideline 2nd Edition. Kuala Lumpur: Malaysian Society of Infectious Diseases & Chemotherapy. p103
[8]CDC. (2017, June 7). Meningococcal: Prevention. Retrieved September 3, 2018, from https://www.cdc.gov/meningococcal/about/prevention.html 2/2
[9]Alqahtani, A. S., Wiley, K. E., Tashani, M., Willaby, H. W., Heywood, A. E., BinDhim, N. F., … Rashid, H. (2016). Exploring barriers to and facilitators of preventive measures against infectious diseases among Australian Hajj pilgrims: cross-sectional studies before and after Hajj. International Journal of Infectious Diseases, 47, 53-59.