Berjangkit Tetapi Boleh Dicegah

Penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin atau VPD (Vaccine Preventable Diseases – contohnya tuberkulosis, batuk kokol, influenza, jangkitan rotavirus dan sebagainya) merupakan ancaman yang sentiasa wujud. Penyakit-penyakit ini boleh menjangkiti sesiapa jua tanpa mengira peringkat umur– kanak-kanak, orang dewasa dan orang tua – malah boleh menyebabkan komplikasi yang membawa maut. Kebanyakan penyakit tersebut mudah berjangkit dan boleh tersebar dengan sangat cepat ke seluruh komuniti.

Pusat Jagaan Harian & Sekolah

Sesetengah VPD yang menjangkiti kanak-kanak (contohnya demam campak dan cacar air) sangat mudah berjangkit dan disebarkan apabila kanak-kanak bermain, berkongsi barang dan berinteraksi antara satu sama lain. Vaksinasi adalah perlindungan yang terbaik terhadap VPD.Oleh sebab itulah, sesetengah sekolah swasta di Malaysia dan negara lain tidak akan menerima kanak-kanak yang tidak diberikan vaksinasi.

Klinik & Hospital

Anda boleh mendapat beberapa jenis VPD yang berjangkit semasa melawat saudara di bilik doktor atau di wad. Perkara ini tidak mengejutkan kerana senario sebegini mendedahkan anda terhadap ramai orang yang mempunyai penyakit. Di samping itu, kesihatan anda lebih mudah terjejas akibat jangkitan semasa anda sedang sakit kerana sistem imun anda berada dalam keadaan yang lemah. Oleh sebab itu, dapatkan vaksinasi untuk mengelakkan jangkitan

Tempat kerja

Kita mungkin berisiko setiap kali kita berinteraksi dengan rakan sekerja, klien dan pelanggan. Perbuatan biasa seperti bersalaman, bersin, batuk atau memegang telefon yang tercemar boleh menyebabkan kita mendapat VPD (seperti influenza, atau sesuatu yang lebih teruk). Jangkitan boleh mempengaruhi produktiviti anda, memaksa anda untuk mengambil cuti sakit dan anda terpaksa membayar bil perubatan yang mahal. Kesan ini lebih besar jika anda bekerja sendiri atau bergantung pada pendapatan harian. Jangan biarkan penyakit yang berjangkit mengganggu kerja dan kehidupan anda. Pilih untuk mendapatkan imunisasi.

Makanan & Minuman

Rakyat Malaysia suka makan di luar dan ini mungkin membuatkan kita berisiko untuk mendapat jangkitan penyakit seperti Hepatitis A atau demam kepialu yang disebarkan melalui makanan dan minuman. Ini berlaku kerana makanan yang tidak dimasak dengan betul, disediakan dalam keadaan yang kurang bersih atau dicemari oleh tukang masak yang dijangkiti oleh penyakit. Jangan biarkan penyakit berjangkit ini menukarkan makanan anda kepada pengalaman yang buruk. Dapatkan imunisasi hari ini.

Orang yang Tersayang

Ya, anda juga boleh mendapat VPD yang berjangkit daripada orang yang anda sayangi. Contohnya, hubungan seksual boleh menyebarkan sesetengah jangkitan seperti Human Papillomavirus (HPV), hepatitis B, dan penyakit meningokokus. Selain itu, pertusis atau batuk kokol mungkin disebarkan di antara ibu bapa, datuk nenek dan anak-anak melalui sentuhan, titisan air liur (daripada batuk dan bersin) malah juga melalui ciuman. Berikan perlindungan yang sepatutnya kepada orang tersayang dengan imunisasi.

Semasa Melancong

Pertubuhan Pelancongan Sedunia telah mengenalpasti pelancongan antarabangsa sebagai salah satu aspek kesihatan awam yangperlu diberi perhatian. Anda boleh mendapatkan VPD daripada penumpang yang dijangkiti, orang tempatan, atau makanan dan minuman anda. Risiko tersebut semakin meningkat apabila anda mengembara ke sesebuah negara di mana terdapat jangkitan VPD yang sentiasa wujud atau kawasan di mana sesuatu wabak sedang berlaku. Anda mungkin jatuh sakit atau mungkin tidak, tetapi anda berkemungkinan membawa pulang jangkitan itu bersama anda. Jadilah orang yang bertanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga, dan negara anda dengan mendapatkan vaksinasi sebelum anda mengembara atau melancong.