Bantu Ibu Bapa Anda Kekal Kuat Dengan Vaksin Influenza

Setiap Hari Ibu, Hari Bapa atau Hari Ibu Bapa, anda pasti sangat teruja untuk meluahkan rasa cinta dan penghargaan atas semua pengorbanan ibu bapa terhadap anda. Tambahan pula, mereka sudah lanjut usia dan kini giliran anda pula untuk berkhidmat kepada mereka. Tentu anda gembira jika mereka menghargai setiap usaha anda. Namun, adakalanya mereka mungkin tidak sependapat dengan anda, contohnya apabila anda ingin memberi mereka vaksin untuk influenza (flu).

Anda tahu bahawa warga emas berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan influenza yang teruk. Anda risau kerana penyakit tersebut boleh menyebabkan mereka dimasukkan ke hospital, mengalami komplikasi yang serius[1] (menjejaskan paru-paru, jantung, buah pinggang, otak), malah turut boleh membawa maut.

Anda bimbang tentang kesihatan orang tua anda. Jadi, anda mencadangkan mereka untuk mendapatkan vaksin flu. Namun, mereka memberi pelbagai alasan mengapa mereka tidak memerlukannya. Berdasarkan kajian[2], ibu bapa anda (dan warga emas lain) biasanya akan berkata:

  • “Flu tidak berbahaya; ia cuma melecehkan.”
  • “Kalau dijangkiti flu, kita jumpa doktor sajalah.”
  • “Kami tak perlu ambil vaksin kerana masih aktif dan boleh menguruskan diri sendiri.”
  • “Orang lain mungkin boleh mati akibat flu kerana mereka lemah. Kami tidak.”
  • “Vaksin boleh menyebabkan kesan sampingan yang teruk.”

Kesemua pandangan ini salah dan membahayakan kesihatan kerana ia membuatkan mereka berasa seolah-olah mereka selamat/ terhindar daripada sebarang  penyakit. Kajian lain[3] mendapati, masalah utama ialah ramai orang tidak sedar bahawa mereka berisiko tinggi untuk dijangkiti flu walaupun telah berusia lebih 65 tahun dan/atau menghidap penyakit-penyakit kronik yang boleh mencetuskan insiden kecemasan perubatan akut jika dijangkiti flu.

Sekiranya anda memerlukan bantuan untuk meyakinkan ibu bapa anda untuk mendapatkan vaksin flu, cuba kongsikan fakta-fakta berikut kepada mereka:

  1. Sistem imun dan imuniti merosot apabila usia semakin bertambah[4]. Ini meningkatkan kecenderungan mereka dijangkiti flu dan mengurangkan keupayaan untuk melawannya.
  2. Flu menyebabkan masalah yang lebih teruk kepada warga emas[5]. Setiap tahun, jumlah kemasukan warga emas ke hospital adalah 10 hingga 30 kali lebih tinggi berbanding pesakit yang lebih muda. Purata tempoh rawatan di hospital akibat influenza meningkat daripada 5.8 hari bagi mereka yang berumur antara 5 hingga 49 tahun, kepada lebih 8 hari bagi mereka yang berusia lebih daripada 65 tahun.
  3. Kadar kematian berkaitan flu adalah tinggi dalam kalangan warga emas.[6]Kira-kira 90% daripada semua kematian berkaitan influenza berlaku pada individu yang berusia lebih 65 tahun, terutamanya mereka yang menghidap penyakit-penyakit kronik dan gangguan pada sistem imun badan. Individu yang berusia lebih 85 tahun adalah 16 kali lebih cenderung untuk meninggal dunia akibat penyakit berkaitan influenza dan 32 kali lebih cenderung untuk meninggal dunia akibat pneumonia berkaitan influenza berbanding mereka yang berusia antara 65 dan 69 tahun.
  4. Vaksin influenza membantu melindungi individu berusia 65 tahun ke atas[7]. Vaksinasi telah terbukti dapat mengurangkan penyakit seperti influenza sebanyak 35%, mengurangkan kemasukan ke hospital akibat pneumonia dan influenza sebanyak 33%, mengurangkan kadar kematian berikutan kemasukan ke hospital akibat pneumonia dan influenza sebanyak 47%, dan mengurangkan kadar kematian akibat semua punca sebanyak 50%.
  5. Vaksin influenza juga memberi manfaat kepada penghuni rumah penjagaan warga emas[8]. Vaksinasi dikaitkan dengan pengurangan sebanyak 50% kemasukan ke hospital dan 68% pengurangan kematian semasa musim influenza.
  6. Vaksin influenza penting untuk individu yang lanjut usia dan lemah[5]. Agak sukar untuk mengetahui jika seseorang itu dijangkiti flu. Ini kerana tanda-tandanya mungkin disalah anggap sebagai masalah kesihatan lain (seperti anoreksia, perubahan status mental, penyakit kardiovaskular, atau masalah paru-paru). Selain itu, simptom-simptom lazim untuk flu (seperti demam, sakit tekak atau sakit badan) mungkin tidak begitu teruk atau tidak berlaku dalam sesetengah kes.

Apabila bercakap dengan ibu bapa anda, bercakaplah dari hati. Selain memberikan fakta, terangkan kepada mereka bahawa anda ingin melihat mereka terus sihat dan tidak menderita akibat flu. Tentu mereka akan menghargai keprihatinan anda.

Melalui usia tua adalah tentang memastikan kualiti hidup yang baik.  Jadi, jika anda sedang mencari hadiah yang bermakna untuk ibu bapa anda, apa kata hadiahkan mereka perlindungan kesihatan, iaitu dengan memberikan mereka vaksin influenza? Ini boleh membantu mereka mencapai aspirasi masing-masing dan memanfaatkan sisa hidup mereka sebaik mungkin.

Artikel sumbangan program Immunise4Life oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, Persatuan Pediatrik Malaysia dan Persatuan Penyakit Berjangkit & Kemoterapi Malaysia, disokong Sanofi Pasteur. Belajar lebih lanjut di https://immunise4life.my/tewaskan-flu/?lang=ms


References:
[1]Flu Symptoms & Complications | CDC. (2019). Retrieved from https://www.cdc.gov/flu/consumer/symptoms.htm
[2]Cornford, C. S., & Morgan, M. (1999). Elderly people’s beliefs about influenza vaccination. The British journal of general practice : the journal of the Royal College of General Practitioners, 49(441), 281–284.
[3]Santos A., Kisyala, I., Machado, A., & Nunes, B. (2017). Beliefs and attitudes towards the influenza vaccine in high-risk individuals. Epidemiology And Infection, 145(09), 1786-1796
[4]Schaffner, W., Chen, W., Hopkins, R., & Neuzil, K. (2018). Effective Immunization of Older Adults Against Seasonal Influenza. The American Journal Of Medicine, 131(8), 865-873.
[5]Reber, A. J., Chirkova, T., Kim, J. H., Cao, W., Biber, R., Shay, D. K., & Sambhara, S. (2011). Immunosenescence and Challenges of Vaccination against Influenza in the Aging Population. Aging and disease, 3(1), 68–90.
[6]Lang, P. O., Mendes, A., Socquet, J., Assir, N., Govind, S., & Aspinall, R. (2012). Effectiveness of influenza vaccine in aging and older adults: comprehensive analysis of the evidence. Clinical interventions in aging, 7, 55–64
[7]Vu, T., Farish, S., Jenkins, M., & Kelly, H. (2002). A meta-analysis of effectiveness of influenza vaccine in persons aged 65 years and over living in the community. Vaccine, 20(13-14), 1831-1836
[8]Gross, P. (1995). The Efficacy of Influenza Vaccine in Elderly Persons. Annals Of Internal Medicine, 123(7), 518. doi: 10.7326/0003-4819-123-7-199510010-00008

SPMY.IFLU.19.04.0134 (05/19)