Bahaya Yang Menanti

Bakteria pneumokokus mungkin “bersembunyi” atau ia boleh membawa maut tanpa disangka-sangka.

Streptococcus pneumoniae atau pneumokokus merupakan bakteria yang mudah berjangkit dan boleh membawa maut. Dianggarkan satu juta kematian di seluruh dunia di kalangan kanak-kanak berusia bawah lima tahun adalah disebabkan oleh jangkitan pneumokokal.

Kira-kira 40-90% kanak-kanak adalah pembawa bakteria pneumokokus yang sering mendiami saluran hidung manusia. Pneumokokus boleh disebarkan dengan mudah melalui sentuhan dengan rembesan cecair pernafasan seperti lendir dan air liur daripada individu yang dijangkiti.

S. pneumoniae boleh menyerang pelbagai bahagian tubuh badan lalu menyebabkan penyakit pneumokokal dengan tahap keseriusan yang berbeza. Ia boleh mengakibatkan penyakit kurang serius tetapi boleh membawa kepada kecacatan seperti otitis media (keradangan di telinga tengah) atau penyakit serius pembawa maut seperti pneumonia (jangkitan paru-paru) dan septisemia (jangkitan darah) serta meningitis (jangkitan lapisan perlindungan otak dan saraf tunjang).

Kanak-kanak berusia bawah lima tahun di tadika atau pusat penjagaan kanak-kanak mempunyai risiko dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi untuk mendapat penyakit pneumokokus invasif dan otitis media akut. Kanak-kanak kecil lebih mudah dijangkiti kerana sistem imun mereka masih belum matang. Tambahan pula, mereka terdedah kepada ramai pembawa pneumokokus di tadika atau pusat penjagaan kanak-kanak.

Terdapat beberapa cara untuk melindungi anak anda daripada penyakit pneumokokus termasuk mengamalkan kebersihan yang baik dan vaksinasi. Bagaimanapun, ada ibu bapa yang enggan mengambil langkah pencegahan seperti memberi vaksinasi untuk anak-anak mereka. Mereka memilih untuk mengambil risiko dan gagal menyedari bahawa bakteria ini umpama bom jangka. Pneumokokus mungkin bersembnunyi selama berbulan atau bertahun. Tetapi apabila ia menyebabkan jangkitan serius, penyakit ini sukar dirawat, menyebabkan kemasukan ke hospital dan mempunyai impak negatif jangka panjang terhadap kesihatan serta boleh menyebabkan kematian.

Kes #1 Anak anda akan sukar untuk bernafas.

Menurut Datuk Dr Zulkifli Ismail, “Kanak-kanak yang menghidap pneumonia lazimnya mengalami demam panas, batuk dan kesukaran bernafas. Pneumonia selalunya menyebabkan kemasukkan ke hospital, terutamanya di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk rawatan bagi tempoh yang agak lama. Kanak-kanak tersebut juga mungkin terpaksa menjalani pembedahan dan bagi kes yang serius boleh mengakibatkan kematian.” Pakar perunding pediatrik dan pakar kardiologi pediatrik ini juga menekankan bahawa rawatan bagi jangkitan pneumokokus boleh menjadi rumit kerana ia mungkin tidak didiagnos atau dikenalpasti ditambah pula dengan kekebalan antibiotik yang semakin meningkat.

Contohnya, Lucy*, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun telah dimasukkan ke hospital selepas tujuh hari demam panas dan batuk berpanjangan. Demamnya mencecah 40°C meskipun mengambil antibiotik yang didapati dari klinik. Malangnya apabila dimasukkan ke hospital, Lucy* akhirnya didiagnos dengan pneumonia pneumokokus. X-ray menunjukkan paru-paru kanannya gagal berfungsi serta dipenuhi cecair. Akibatnya, Lucy mengalami kesukaran bernafas yang teruk. Tiub terpaksa dimasukkan ke dalam paru-paru kanannya untuk membuang kira-kira 250 ml cecair. Dia kemudian ditempatkan di bawah pemerhatian rapi di Unit Rawatan Separa Rapi (HDU) selama dua hari, di mana antibiotik intravena yang lebih kuat diberikan.

Mujur Lucy pulih selepas 10 hari rawatan di hospital. Dia bernasib baik kerana hanya pulang dengan satu parut di bahagian dada dan kesan trauma akibat dimasukkan ke hospital. Susulan dari itu, Dr Zulkifli mendapat tahu bahawa Lucy* tidak diberikan vaksin tarhadap jangkitan pneumokokal. Ibu Lucy* apabila ditanya berkata, jika diberikan pilihan dia akan mendapatkan vaksin untuk anaknya jika ia boleh mengurangkan kebarangkalian Lucy* terpaksa bertarung nyawa akibat pneumonia.

Kes #2 Demam tidak sepatutnya diambil ringan.

Menurut Dato’ Dr Musa Mohd Nordin, pakar perunding pediatrik & neonatologi, demam panas berpunca daripada jangkitan pneumokokus mungkin tanda pertama bakteria telah merebak ke bahagian otak. Penyakit yang dipanggil meningitis ini, biasanya membawa maut terutamanya di kalangan kanak-kanak bawah lima tahun.

Dr Musa menyebut satu kes di mana seorang bayi perempuan berusia lima bulan, Adlin* menjadi mangsa penyakit meningitis pneumokokus selepas empat hari menderita demam panas. Adlin* dibawa ke hospital oleh ibu-bapanya selepas demamnya tidak kebah walaupun setelah dua hari memakan ubat dari klinik. Di hospital, Adlin banyak meragam, kurang menyusu, dan muntah-muntah. Dia segera ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), diberi alat bantuan pernafasan, antibiotik intravena dan dipantau rapi. Malangnya, ujian cecair serebrospina Adlin mengesahkan jangkitan pneumokokus telah merebak ke bahagian otak dan saraf tunjangnya. Walaupun pasukan perubatan mencuba sebaik mungkin untuk menyelamatkannya, dia meninggal dunia 10 jam selepas dimasukkan ke hospital.

“Melihat ibu bapa bersedih kerana kematian anak mereka adalah amat sukar,” ujar Dr Musa. “Sebagai doktor perubatan kami maklum bahawa meningitis pneumokokus tidak mudah untuk dirawat. Kerana itulah para doktor lebih menggalakkan ibu bapa untuk mengambil langkah pencegahan, termasuk mendapatkan vaksin terhadap penyakit ini untuk anak mereka,” tambahnya lagi.

Kes #3 Jangkitan telinga mungkin menjejaskan perkembangan pertuturan.

Apabila merawat kanak-kanak yang mempunyai masalah lewat bercakap dan pembelajaran, Dr Yong Junina Fadzil, pakar perunding pediatrik dan pakar kardiologi pediatrik akan cuba untuk mengenal pasti sekiranya kanak-kanak terbabit pernah menghidap otitis media. Otitis media kronik adalah punca utama hilang pendengaran di kalangan kanak-kanak dan ia boleh berpunca daripada jangkitan pneumokokus.

Jangkitan mengurangkan kemampuan pendengaran kerana nanah yang berada di tengah telinga menghalang gegendang telinga dan tulang tengah telinga daripada bergetar dengan normal. Dalam kes yang lebih serius, nanah yang terlalu banyak akan mewujudkan tekanan kepada gegendang telinga dan merosakkannya. Tahap hilang pendengaran akibat otitis media boleh dikategorikan kepada ringan, sederhana, hingga ke tahap serius dan rumit. Jika hilang pendengaran ini berlaku pada waktu yang penting untuk perkembangan pertuturan dan bahasa, kanak-kanak ini berkemungkinan besar mempunyai masalah bertutur dan bahasa.

Selalunya, masalah pertuturan dan bahasa akan menyebabkan kesukaran belajar dan menjejaskan prestasi akademik. Masalah ini dialami oleh Zikri*, yang terdedah kepada jangkitan telinga berulang sejak lahir. Zikri* mempunyai masalah lewat bercakap dan pelat sehingga dia memasuki tahun pertama persekolahan. Ketika peperiksaan pertamanya di sekolah, prestasinya amat lemah hingga guru memutuskan untuk memasukkannya ke dalam kelas pendidikan khas. Ibunya, tidak menyedari bahawa masalah pelat anaknya mungkin disebabkan oleh jangkitan telinga yang kerap, tidak berjumpa dengan pakar telinga, hidung dan tekak sehinggalah Zikri* menghidap jangkitan telinga yang serius pada tahun berikutnya. Selepas menerima rawatan, pendengaran Zikri’* semakin baik dan prestasi akademik di sekolahnya juga meningkat.

Rencana ini disumbangkan oleh Persatuan Pediatrik Malaysia di bawah program Immunisasi Sepanjang Hayat (Immunise4Life, www.ifl.my), disokong oleh GSK. *Penafian: Nama telah diubah untuk melindungi privasi.