8 Sebab Untuk Mendapatkan Imunisasi

Kita harus bersyukur kerana terdapat kemajuan dalam bidang perubatan yang dapat menghasilkan vaksin yang mampu melindungi kita daripada banyak penyakit yang mengancam nyawa seperti batuk kering (tibi), polio dan penyakit pneumokokus. Jika anda masih tidak yakin, fakta-fakta di bawah memberikan lebih banyak bukti dan sebab kenapa anda perlu mendapatkan imunisasi.

1. Imunisasi telah menyelamatkan jutaan nyawa.

Tanpa imunisasi, kira-kira 2 hingga 3 juta kanak-kanak dan orang dewasa meninggal dunia setiap tahun akibat jangkitan meningitis, difteria, demam campak dan pelbagai penyakit lain yang boleh dicegah melalui vaksin.

2. Imunisasi telah membasmi cacar dan menjadikan Malaysia sebuah negara bebas polio.

Cacar merupakan sejenis penyakit yang tidak boleh dirawat. Penyakit ini boleh membunuh 1 dalam setiap 3 orang yang dijangkiti. Pesakit juga akan mendapat parut serta boleh menjadi buta. Polio adalah penyakit merbahaya yang boleh melumpuh dan/atau membunuh jutaan kanak-kanak di serata dunia.

3. Imunisasi memastikan kehidupan yang lebih sihat.

Dengan vaksin baru, kita mampu melindungi diri daripada penyakit-penyakit yang dahulunya tidak boleh dicegah seperti tetanus, batuk kokol, difteria, penyakit pneumokokus dan banyak lagi.

4. Imunisasi melindungi kita daripada kanser.

Terdapat vaksin yang mampu mencegah kanser. Contohnya, vaksin human papillomavirus (HPV) dan vaksin hepatitis B; masing-masing memberi perlindungan terhadap kanser serviks dan kanser hati.

5. Imunisasi adalah satu-satunya pertahanan terhadap sesetengah penyakit.

Penyakit seperti hepatitis B kronik dan polio kekal sebagai penyakit yang tidak boleh dirawat walaupun dengan kecanggihan dunia perubatan.

6. Imunisasi melindungi kita daripada ancaman yang tidak dapat dilihat.

Penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin tidak dapat dihapuskan sepenuhnya. Malaysia mungkin bebas daripada polio, tetapi polio masih menyebabkan penderitaan di kalangan rakyat Afghanistan, Nigeria dan Pakistan. Pada zaman sekarang, kita boleh mengembara di serata dunia dalam masa sehari, maka tidaklah mustahil bagi penyakit untuk merebak dengan cara yang sama.

7. Air bersih dan kebersihan yang lebih baik tidak boleh menggantikan imunisasi.

Penyakit seperti cacar air tersebar dari seorang ke seorang walaupun terdapat air bersih dan kebersihan yang lebih baik. Hanya vaksin mampu menghentikan penyakit tersebut.

8. Imunisasi boleh melindungi keseluruhan masyarakat.

Penyebaran penyakit tidak akan berlaku apabila sebilangan orang yang cukup ramai telah mendapat imunisasi, walaupun terdapat segelintir orang yang tidak mendapat vaksin. Imunisasi tidak hanya melindungi kita sebagai individu, malah ia turut melindungi seluruh keluarga, masyarakat dan juga negara! Kesan ini dikenali sebagai imuniti kelompok.